SPRM tahan 37 lagi penguat kuasa disyaki seludup warga asing
2024.09.13
Kuala Lumpur
Agensi anti-rasuah Malaysia telah menahan 37 pegawai penguat kuasa termasuk anggota imigresen dan polis lapangan terbang yang disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan warga asing melalui pintu masuk udara utama negara itu, kata ketua pesuruhjayanya pada Jumaat.
Tangkapan itu merupakan sebahagian daripada operasi di seluruh negara dalam membongkar sindiket 'menetapkan kaunter' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membawa masuk warga asing membabitkan rasuah berjumlah RM1 juta (AS$232,280) melalui penemuan jongkong emas, jam tangan berjenama, barang kemas dan lain-lain barangan.
“Wang itu dipercayai hasil daripada rasuah yang diterima kerana memudahkan kemasukan warga asing di KLIA,” kata Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam satu kenyataan.
Seramai 37 suspek yang ditahan melibatkan 27 lelaki dan 10 wanita, berumur antara 20-an dan 40-an kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.
Operasi itu menyasarkan pegawai korup yang dikaitkan dengan rangkaian penyeludupan, dengan pihak berkuasa percaya ia telah beroperasi selama beberapa tahun dan menjadikan KLIA, pintu masuk antarabangsa sebagai pusat operasi.
Wang tunai sejumlah RM500,000 (AS$115,327) ditemui dalam simpanan seorang suspek di Pahang, RM200,000 (AS$46,131) di Selangor, RM170,000 (AS$39,212) di Johor, dan RM100,000 (AS$23,065) di Negeri Sembilan, dedah Azam.
Tahanan reman
Suspek yang ditahan dibawa ke mahkamah majistret di beberapa negeri pada Jumaat untuk mendapatkan perintah reman.
Seramai sembilan pegawai iaitu lima lelaki dan empat wanita direman selama lima hari di Putrajaya, manakala di Selangor, lapan pegawai lelaki dan tiga pegawai wanita turut menerima perintah reman lima hari.
Di Negeri Sembilan, tujuh pegawai lelaki direman tujuh hari manakala di Melaka, tiga lelaki dan seorang wanita direman lima hari.
Tiga lelaki di Kuala Lumpur diarah kekal dalam tahanan selama enam hari, dengan tiga pegawai wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan.
Ini bukan kali pertama Malaysia mengambil tindakan terhadap kes rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa imigresen atau kawalan sempadan.
Lokasi negara yang strategik di Asia Tenggara menjadikannya titik transit utama untuk penyeludupan manusia, kata pihak berkuasa sebelum ini.
Pada Ogos, pegawai anti-rasuah membongkar sindiket yang melibatkan kakitangan kerajaan yang korup dalam operasi yang sama, yang telah memudahkan kemasukan pendatang secara haram dari seluruh Asia selama lebih dua tahun.
Pada bulan lepas, SPRM telah menahan 12 individu berhubung kes tersebut.
Dalam kes itu, pihak berkuasa telah mengesan transaksi lebih RM4 juta (AS$919,540) ke dalam akaun yang dipercayai milik pegawai penguat kuasa, dengan operasi haram dilapor dijalankan membabitkan kerjasama orang dalam dengan menetapkan kaunter laluan khas bagi memudahkan kemasukan pendatang dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal.