Pecah Amanah: SPRM Dakwa Dua Bekas Pengurus GLC
2016.09.21
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mendakwa dua bekas pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dua mahkamah berasingan di Malaysia pada Rabu atas kesalahan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM27 juta.
Di Kuala Lumpur, bekas pengurus kilang Malaysian Rubber Development Corporation Bhd (Mardec), Muhammad Faizal Sudin, 39 tahun yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah bernilai lebih RM18 juta, di antara tahun 2011 hingga 2012.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, bagi pertuduhan pertama, Muhammad Faizal didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah terhadap harta kilang bernilai RM767,466.95 antara Ogos hingga Disember 2011.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut seksyen yang sama atas kesalahan pecah amanah terhadap harta kilang bernilai RM17, 412,985.02 antara Januari hingga Oktober 2012.
Seksyen 409 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun selain sebatan dan denda.
Muhammad Faizal yang diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar, mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Pertuduhan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nurshuhaida Zainal Azaha.
Hakim Indra Nehru kemudian menetapkan ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Muhammad Faizal menyerahkan pasportnya kepada pihak mahkamah.
Pecah amanah RM9 juta di Sabah
Sementara itu dalam kes berasingan di Sabah, SPRM telah mendakwa bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SLDB) Juaari Majid, 63 tahun atas satu kesalahan pecah amanah melibatkan wang agensi tersebut yang bernilai hampir RM9 juta tiga tahun lalu.
Juaari dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu atas kesalahan pecah amanah dengan meluluskan wang berjumlah RM8,999,999.30 melalui empat transaksi kepada seorang pemilik syarikat kelapa sawit, How Kim San,* tanpa pengetahuan dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah SLDB serta Menteri Kewangan Sabah.
Menurut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, tertuduh didakwa membuat bayaran kepada Kim San sebagai bayaran pampasan terhadap tanah dan tanaman di Kampung Babason, Sook, dalam daerah Keningau di Sabah sedangkan tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) tersebut merupakan milik kerajaan Negeri Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Wisma Sabah Land Development Board di antara 22 Mac 2013 hingga 14 Ogos 2013.
Pertuduhan ke atas Juaari di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Juaari yang diwakili peguam Erwina Ansari, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Di mahkamah yang sama, SPRM turut mendakwa Kim San mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana menerima wang berjumlah RM8,996,000.00 melalui enam keping cek yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Kim San boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak melebihi RM5 juta atau kedua-duanya.
Kim San, yang diwakili peguam Sugumar Balakrishnan, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada tempat dan tarikh yang sama.
Hakim Abu Bakar kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin dan mereka turut diarah menyerahkan passport kepada pihak mahkamah.
Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.
Fokus SPRM terhadap perkhidmatan awam
SPRM yang kini diterajui oleh Dzulkifli Ahmad, yang sebelum ini mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara.
Beliau menggantikan Abu Kassim Mohamed yang memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya kerana ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA) iaitu sebuah Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia yang terletak di Austria.
Suruhanjaya itu semasa berada di bawah Abu Kassim telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan lepas oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.
Dalam satu temubual eksklusif bersama agensi berita nasional Bernama baru-baru ini, Dzulkifli berkata fokus utamanya adalah memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya dalam laporan itu.
S.Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.