Malaysia, Indonesia, Filipina Bersama Interpol Sertai Operasi Anti-Keganasan
2017.10.31
Kota Kinabalu, Sabah
Pasukan polis dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei bekerjasama dengan Interpol dalam usaha menangkap anggota militan asing yang cuba menyusup ke sempadan negara terlibat apabila pelancaran operasi bersama selama dua minggu yang bermula pada Rabu, kata pegawai.
Kesemua negara terlibat akan menggunakan pangkalan data melibatkan 75 juta orang, termasuk mereka yang disyaki pengganas, yang disediakan oleh Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) yang berpangkalan di Perancis.
"Asia, seperti setiap rantau di dunia, telah dan terus menjadi sasaran pengganas," kata Harald Arm, pengarah sokongan dan analisis operasi Interpol, kepada pemberita pada acara media di Sandakan, Malaysia, semasa majlis pelancaran Operasi Maharlika itu.
"Maharlika" bermaksud "lelaki bebas” dalam bahasa Filipina kuno.
Semua empat negara berkongsi sempadan di Kepulauan Borneo, yang terletak berdekatan dengan selatan Filipina di mana pejuang yang berkaitan dengan Negara Islam [IS] telah berjuang dalam pertempuran selama lima bulan dengan pasukan kerajaan di bandar Marawi sehingga minggu lalu. Lebih daripada 1,200 orang terbunuh dalam pertempuran, yang berlaku sejak 23 Mei.
“Operasi seperti Maharlika adalah salah satu cara di mana Interpol bekerja dengan negara anggota untuk membantu mereka mengamankan sempadan mereka dan mencegah pergerakan pengganas dan bahan yang boleh digunakan dalam serangan," katanya.
Operasi itu akan menjadi penting dalam memperkemaskan usaha antara negara anggota dalam "masa nyata," tambah Harald.
"Pangkalan data Interpol mengandungi 75 juta rekod dan, pada tahun 2016, sebanyak tiga billion semakan dibuat," kata Harald. "Hari ini, pangkalan data Interpol diperiksa 200 kali sesaat."
Beliau berkata akses kepada pangkalan data Interpol akan membolehkan negara-negara peserta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan keganasan di rantau itu.
Lebih daripada 1,200 orang terbunuh dalam pertempuran di Marawi. Pertempuran itu berlaku pada 23 Mei, ketika pasukan Filipina bergerak untuk menangkap Isnilon Hapilon, pemimpin Filipina kumpulan militan Abu Sayyaf yang juga ketua IS bagi Asia Tenggara.
Beliau serta pejuangnya mendapat sokongan oleh militan asing, termasuk rakyat Malaysia dan Indonesia, kata ketua tentera Filipina. Hapilon terbunuh pada hari terakhir pertempuran, seperti juga Mahmud Ahmad, seorang lagi pemimpin militan tertinggi rakyat Malaysia dan seorang bekas profesor universiti.
Pertempuran itu, termasuk pengeboman harian yang dibuat oleh tentera Filipina, menghancurkan bandar tepi tasik yang indah yang mempunyai penduduk sekitar 200,000 orang.
Gajet dan pangkalan data
Semasa Operasi Maharlika, polis daripada empat negara itu akan menjalankan operasi di wilayah masing-masing dengan sokongan dan latihan serta peralatan dari Interpol, kata Zulkifli Abdullah, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis DiRaja Malaysia.
Usaha bersama itu bertujuan untuk mencegah militan asing bergerak di rantau ini, katanya.
Interpol akan menyediakan peralatan yang mengandungi data mengenai individu, yang membolehkan pegawai penguatkuasa undang-undang memeriksa rekod jenayah seseorang di tempat kejadian, katanya.
“Kami akan tahu sama ada orang itu dikehendaki di negara ini atau di tempat lain," kata Zulkifli.
Operasi itu, Zulkifli berkata, akan meliputi lapangan terbang, laut dan sempadan. Keputusan akan dibincangkan semasa mesyuarat wakil kerajaan pada akhir tahun ini, katanya.
"Kami tidak boleh bercakap dengan spesifik tentang bagaimana operasi itu akan berfungsi. Kami tidak dapat mendedahkan operasi kami, " kata Zulkifli kepada wartawan.
Zulkifli berkata Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE) akan menjadi tumpuan utama operasi di Malaysia. Negeri Sabah terletak berhampiran selatan Filipina.
"Sekiranya operasi berjaya, kami akan mengkaji semula dan meneruskannya pada masa akan datang. Sekiranya terdapat kemasukan pengganas asing sempadan, kami akan berkongsi maklumat dalam masa nyata, "katanya.
Awal bulan ini, Malaysia, Indonesia dan Filipina melancarkan Trilateral Air Patrol (TAP), untuk meningkatkan usaha dalam maritim secara bersama yang bertujuan untuk menghapuskan ancaman ekstremis yang berkaitan IS di sempadan bersama.
"Tiada negara yang selamat daripada cengkaman Negara Islam. Tetapi hari ini kami telah menghantar isyarat bahawa jika anda menggangu kami, maka kami akan bekerjasama untuk menentang anda, " kata Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammuddin Hussein kepada pemberita semasa pelancaran TAP di Subang, Malaysia.
Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu (kiri) berganding bahu dengan rakan-rakannya dari Malaysia, Hishammuddin Hussein (tengah) dan Filipina, Delfin Lorenzana, untuk sesi foto selepas pelancaran rondaan udara bersama di pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia di Subang, Selangor, 12 Okt 2017. [AP]