Kenaikan harga barang, Mahasiswa Malaysia desak buat protes jalanan

Noah Lee
2022.06.29
Kuala Lumpur
Kenaikan harga barang, Mahasiswa Malaysia desak buat protes jalanan Sekumpulan mahasiswa memegang poster '#turun' selepas menyatakan lima tuntutan kepada kerajaan pada satu sidang media yang diadakan di Gombak, Selangor, 29 Jun, 2022. -BenarNews/S.Mahfuz
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sekumpulan mahasiswa dari lima universiti tempatan Malaysia pada Rabu mendesak untuk mengadakan protes jalanan sekiranya kerajaan tidak memenuhi lima tuntutan mereka dalam menangani kenaikan harga barang di negara itu, termasuk memotong gaji menteri dan timbalan menteri.

Jurucakap gerakan mahasiswa berkenaan berkata pemotongan gaji menteri adalah sesuatu yang perlu dibuat bagi menunjukkan bahawa Menteri Kabinet bersama dengan rakyat semasa berdepan dengan masalah ekonomi.

"Kami menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri kerajaan yang tidak masuk akal. Dengan jumlah kabinet yang besar, adalah lebih baik jika para menteri menyahut tuntutan ini dan menunjukkan kebersamaan mereka bersama dengan rakyat,” kata jurucakapnya Aliff Naif Mohd Fizam, yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, semasa sidang media pada Rabu.

Selain meminta gaji menteri dipotong, gerakan berkenaan turut menuntut supaya subsidi kerajaan yang sedia ada dikekalkan, serta harga siling bagi dedak ayam ditetapkan bagi mengawal harga ayam yang semakin meningkat.

"Dengar tuntutan kami, atau kami turun!" kata Aliff, merujuk kepada rancangan untuk mengadakan bantahan di jalanan terhadap kerajaan berhubung isu kenaikan harga barang.

Kumpulan 20 gerakan mahasiswa itu turut menyeru badan bukan kerajaan serta parti politik dari kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang untuk menyertai mereka dalam mendesak kerajaan supaya menangani masalah rakyat itu.

Pada hari yang sama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kabinet untuk menubuhkan satu pasukan khas yang dianggotai lima orang menteri bagi mencari jalan menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.

"Pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

"Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis. Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia," kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri menambah bahawa pegawai khusus juga akan dilantik di setiap kementerian untuk berfungsi sebagai pegawai rujukan bagi memberikan maklum balas segera kepada pasukan khas tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dalam satu kenyataan turut mengumumkan keputusan jemaah menteri untuk tidak mengapungkan harga ayam standard dan sebaliknya akan meneruskan subsidi kerajaan untuk produk itu.

Menurut beliau, mesyuarat kabinet pada Rabu juga bersetuju untuk menetapkan harga siling baru ayam standard di Semenanjung Malaysia kepada RM9.40 (AS$2.14) sekilogram bermula 1 Julai depan, iaitu kenaikan sebanyak 50 sen (AS$0.11) berbanding harga siling semasa.

"Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim. Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup," kata Ronald.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu mengumumkan bantuan tambahan berjumlah RM630 juta (AS$143 juta) menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia fasa dua sebanyak RM1.1 bilion (AS$250 juta).

Dengan penambahan bantuan, jumlah yang akan diterima bagi isi rumah RM500 (AS$113.64) dan individu sebanyak RM100 (AS$22.73). Pengumuman itu menerima kritikan rakyat ekoran jumlah bantuan yang dikatakan tidak setimpal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.