Mahathir Akui Kerajaan Tunaikan Satu Per Tiga Janji
2018.08.17
Kuala Lumpur, Malaysia
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, pada Jumaat berkata kerajaan baru pimpinannya hanya dapat menunaikan satu per tiga daripada janji-janji pilihan raya dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan, dengan menyalahkan pentadbiran terdahulu yang menyebabkan negara berada dalam keadaan jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan.
Beliau berkata Pakatan Harapan, yang dapat meraih kuasa pada pilihan raya umum Mei lalu, berjaya menyampaikan 21 daripada 60 janji yang dibuat dalam manifesto pilihan rayanya.
"Tetapi proses itu mula memenuhi janji-janji lain," kata Mahathir, yang berusia 93 tahun dan merupakan perdana menteri tertua di dunia. Beliau menyenaraikan langkah-langkah yang diambil untuk mencapai matlamat tersebut.
Mahathir berkata, masalah kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang dibelenggui pertuduhan rasuah, adalah lebih buruk daripada yang dijangkakan dan ia menghalang keupayaan pentadbiran baru untuk membawa hasil dengan lebih cepat.
“Beban yang besar yang ditinggalkan oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrilion ringgit (A$243.77 bilion), untuk membayar faedah sahaja boleh jadikan kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok,” kata beliau.
“Kalau hendak cerita tentang kesalahan pemerintah dahulu, masa berhari-hari diperlukan,” kata Mahathir dalam Perutusan Perdana Menteri sempena 100 hari pentadbiran kerajaan PH yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara. “Oleh itu kita akan tumpukan kepada tindakan memenuhi janji dalam manifesto kita.”
Beliau berkata, satu daripada janji yang ditunaikan dengan segera oleh kerajaannya adalah menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikecam ramai.
Kerajaan bakal memperkenalkan regim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang meliputi pelbagai item dan perkhidmatan yang lebih meluas tetapi belum mengumumkan kadar levi bagi pelaksanaan semula cukai itu.
Mahathir juga mempertahankan keputusan kerajaannya untuk tidak mengadakan - seperti yang dijanjikan – suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal berprofil tinggi dan dakwaan rasuah yang melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan termasuk skandal berbilion dolar membabitkan dana kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata bahawa kes-kes itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa dan kerajaan akan membiarkan mahkamah untuk membuat keputusan terhadapnya.
Najib telah didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta empat pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengan penyelewengan dana bekas anak syarikat 1MDB.
Antara janji-janji pilihan raya lain yang belum dikotakan oleh kerajaan baru dalam tempoh 100 hari pemerintahannya adalah menyamaratakan gaji minimum dan memperkenalkan skim "penjagaan kesihatan".
Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak perlu meminta maaf kepada rakyat kerana tidak menyampaikan semua janjinya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Tidak perlu, (meminta maaf kepada rakyat). Mungkin bukan seperti apa yang kita harapkan, tetapi kami telah cuba melakukan yang terbaik, "katanya.
Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre, dua per tiga pengundi Malaysia berpuas hati dengan prestasi kerajaan baru dan lebih separuh daripada responden berkata negara itu menuju ke arah yang betul.
Kebimbangan utama 1,160 pengundi berdaftar itu, yang ditinjau antara 7 dan 14 Ogos oleh pusat tersebut, adalah berkaitan ekonomi dengan lebih daripada separuh menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan langkah-langkah untuk menangani tekanan kos sara hidup.
Pada Mei, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan menanggung hutang RM1 trilion dan pada Julai pula, beliau menggantung tiga projek mega yang disokong China sementara negara mencari cara untuk mengurangkan kos dalam menangani hutang yang semakin meningkat.
Mahathir lawat China
Mahathir, yang memulakan lawatan kerja selama lima hari ke China pada Jumaat, akan mengadakan perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping, mengenai kemungkinan merundingkan semula syarat-syarat projek mega yang terhenti itu kerana dianggap tidak adil bagi Malaysia.
Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai, dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kerajaan baru harus menunjukkan kesungguhannya dalam melaksanakan janji-janji yang belum ditunaikan.
Beliau mencadangkan kerajaan supaya membentangkan perancangannya kepada orang ramai dengan memperincikan apa yang boleh dijangkakan dalam tempoh enam bulan atau 12 bulan.
"Dari mula lagi, kita tahu 100 hari adalah tempoh masa yang mustahil. Mereka terlalu bercita-cita tinggi, "katanya.
"Untuk menyatakan bahawa hutang negara terlalu besar dan memberikan alasan lain tidak akan mengubah apa-apa. Mereka kini mestilah menunaikan janji-janji itu, "katanya kepada BeritaBenar.
Awang Azman Awang Pawi, profesor pengajian sosial Universiti Malaya, berkata, kerajaan mungkin telah memberikan "lebih tumpuan" untuk mendedahkan salah laku yang dikatakan Najib.
"Mereka mestilah berhenti merungut tentang masa lalu," kata Awang Azman.
Mantan menteri kabinet, Wee Ka Siong, memberitahu BeritaBenar bahawa parti pakatan Mahathir sepatutnya melakukan kajian mendalam sebelum membuat janji-janji, dan berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu atas kegagalan menunaikan janji-janjinya.