Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad Disiasat Polis
2015.11.06
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang sering mengkritik penyandangnya, Najib Razak berkaitan skandal kewangan, telah disoalsiasat oleh polis pada Jumaat, selepas beliau mendakwa berlakunya rasuah di kalangan pemimpin parti pemerintah itu, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar.
Khalid yang mengesahkan bahawa bekas perdana menteri itu disiasat oleh polis berkata demikian melalui mesej WhatsApp pada Jumaat.
“Dr Mahathir telah memberi kenyataan berdasarkan dakwaannya bahawa terdapat beberapa pemimpin Umno terlibat dalam rasuah dan sogokan, Dr Mahathir disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan),” tambah beliau.
Bekas perdana menteri itu membuat dakwaan berkenaan dengan mengkritik Najib semasa berucap pada perhimpunan BERSIH 4.0 di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.
Pasukan tiga pegawai polis yang diketuai oleh Supt Azham Othman tiba di Bangunan Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur, sekitar 11 pagi, untuk mengambil keterangan berhubung siasatan dakwaan itu.
Beliau disiasat selama 45 minit mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahathir, paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri, menyertai kedua-dua hari perhimpunan BERSIH 4.0 yang telah diadakan selama 34 jam, bersama beribu-ribu orang yang lain mendesak Najib untuk meletakkan jawatan.
Semasa menghadiri perhimpunan itu, bekas perdana menteri berkenaan berkata, beliau tidak menyokong tuntutan BERSIH 4.0 sebaliknya mahu melihat Najib meletakkan jawatan.
"Satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang adalah melalui penyingkiran Perdana Menteri dan rakyat mesti menunjukkan kuasa mereka," katanya seperti dilaporkan beberapa portal media pada ketika itu.
Pada 22 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PDRM telah membuka tiga kertas siasatan berhubung aduan terhadap Mahathir dengan dua daripadanya melibatkan siasatan yang sedang dijalankan manakala satu lagi kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
‘Jawapan ringkas’
Sementara itu, pasukan peguam Mahathir yang diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tiga pegawai polis Bukit Aman mengambil keterangan bekas perdana menteri itu.
"Kami menasihati beliau supaya tidak menjawab sesetengah soalan dan Dr Mahathir memberi jawapan secara ringkas sahaja. Ia berjalan dengan sangat lancar,” katanya kepada pemberita.
Mohamed Haniff juga tidak pasti sama ada polis akan mengambil keterangan lagi daripada Mahathir.
“Itu kami tidak tahu, tetapi untuk hari ini, sudah selesai...kami tidak nampak sebarang sebab bagi polis untuk menyoal beliau lagi. Jika ada bukti (salah laku), tahan dan dakwalah (Dr Mahathir),” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir menyerahkan kepada pihak polis untuk memutuskan sama ada beliau harus ditahan selepas disiasat pegawai polis berkenaan berhubung kritikannya terhadap Najib.
"Ia terpulang kepada mereka," katanya kepada sekumpulan pemberita yang menunggu di luar pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary, semasa beliau beredar dari premis itu pada 1.15 tengah hari.
Mahathir juga tidak tahu siasatan terhadapnya dibuat mengikut undang-undang mana.
Ditanya sama ada beliau akan terus menjadi ahli Umno setelah disiasat polis, Mahathir menegaskan beliau tetap kekal sebagai ahli parti itu, yang pernah diterajuinya dan kini dipimpin oleh Najib sebagai presiden.
Mahathir lantang mengkritik Najib dan secara terbuka meminta beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri selepas mendakwanya gagal memerintah Malaysia dengan baik.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.