Mahathir Disoalsiasat Berhubung Kenyataan Mengenai Yang di-Pertuan Agong

S. Adie Zul
2016.06.03
Kuala Lumpur
160603-my-mahathir-620 Istana Negara dilihat melalui pintu utama di Kuala Lumpur, 14 Ogos 2014.
AFP

Polis Malaysia telah membuka siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad kerana didakwa membuat kenyataan di khalayak ramai mengenai Yang di-Pertuan Agong yang mungkin telah "diletakkan di bawah tahanan rumah," menurut peguam Mahathir.

Pada Jumaat Mahathir telah disoal siasat di pejabatnya di Kuala Lumpur oleh empat pegawai polis selama 40 minit, berhubung kenyataan beliau yang didakwa dibuat pada 19 Mei, dimana beliau menggesa pihak DiRaja campur tangan dalam kempen untuk menyingkir Najib daripada jawatannya atas tuduhan salah laku rasuah, kata peguamnya, Mohamad Haniff Khatri.

“Terdapat 37 soalan yang ditanya, dimana dua pertiga daripadanya berkaitan dengan kenyataan Mahathir mengenai Yang di-Pertuan Agong dan "tahanan rumah," Haniff Khatri memberitahu BeritaBenar.

Mahathir, salah seorang pengkritik sengit Najib dan juga bekas anggota parti perdana menteri itu, sejak awal Mac telah menerajui kempen Deklarasi Rakyat, mencari serta mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk petisyen bagi menggulingkan Najib tanpa menggunakan keganasan.

Mahathir dan penyokong kempen itu berharap mendapat perkenan pihak DiRaja serta boleh menyerahkan petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pihak polis juga menyoal Mahathir mengenai Deklarasi Rakyat, kata peguam itu.

Soal siasat pada Jumaat adalah kali ketiga dalam tempoh kurang daripada setahun terhadap bekas perdana menteri berusia 90 tahun, mengenai komen awam yang dibuatnya berkaitan Najib Razak.

‘Palsu dan nakal’

Sejak tahun lepas, Mahathir telah menggesa Najib untuk meletak jawatan atas tuduhan rasuah, terutamanya skandal yang melibatkan deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri itu yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib enggan meletak jawatan dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan peribadi.

Empat hari selepas keluar dari Parti UMNO, yang diketuainya semasa memerintah Malaysia, Mahathir bekerjasama dengan beberapa tokoh politik lain dan pemimpin masyarakat sivil untuk melancarkan kempen Deklarasi Rakyat menuntut penyingkiran Najib.

Pada 13 Mei, Mahathir mengumumkan bahawa Deklarasi Rakyat telah berjaya mencapai sasarannya dengan mengumpul 1.2 juta tandatangan.

Beliau kemudiannya dipetik sebagai berkata di khalayak ramai bahawa Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja  mungkin telah "diletakkan di bawah tahanan rumah" untuk menghalang mereka daripada menerima tandatangan terkumpul petisyen itu.

Pada 23 Mei, penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri mengenai dakwaan beliau itu, dengan berkata ia adalah "palsu dan nakal."

“Perlembagaan Persekutuan negara menjelaskan kedudukan sebenar dan peranan yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan (Majlis Raja-Raja) sebagai cabang keempat dalam sistem itu, untuk menjalankan sekatan dan imbangan terhadap tiga perkara penting kerajaan," kata peguam utama Mahathir, Haniff.

Beliau merujuk kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman dalam kerajaan serta Perlembagaan DiRaja di Malaysia, di mana kedudukan Agong bersilih ganti setiap lima tahun di kalangan sultan dan raja dari negeri-negeri di negara itu.

"Sudah tentu, ia boleh berada dalam bidang kuasa perlembagaan DiRaja sama ada untuk memerintah Najib mengambil cuti daripada jawatannya bagi tempoh tertentu atau langkah yang difikirkan sesuai mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong agar pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan - atau memerintah Najib untuk meletakkan jawatannya, " kata Haniff.

Abdul Aziz Bari, profesor perlembangaan undang-undang berkata, Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan terhad dalam mengimbangi kuasa.

"Mereka boleh campur tangan seperti raja-raja di negara lain selagi keputusan akhir adalah untuk mempromosikan demokrasi dan objektif Perlembagaan," katanya kepada BeritaBenar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.