UMNO 'Sukar Dipulihkan': Mahathir Mohamad

Nani Yusof, Razlan Rashid, Hata Wahari & Muzliza Mustafa
2016.09.09
Putrajaya
160909_MY_MAHATHIR_1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad ketika temu bual oleh BeritaBenar di pejabatnya di Putrajaya, 6 September, 2016.
Muzliza Mustafa/BeritaBenar

Dalam temu bual dengan BeritaBenar minggu ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menjawab pelbagai soalan yang merangkumi soal kesihatannya hinggalah ke arena politik.

Mahathir melahirkan rasa kesalnya mengenai beberapa orang yang beliau pilih sebagai timbalannya semasa menerajui jawatan tertinggi itu dalam tempoh dua dekad, dan antara lainnya, bercakap tentang dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan perdana menteri sekarang yang berpunca daripada skandal kewangan 1MDB.

Awal tahun ini, Mahathir yang kini berusia 91 tahun,  bertindak meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang mengetuai kerajaan campuran Barisan Nasional yang memerintah negara, berikutan dakwaan yang membelenggui Najib Razak.

Mahathir dan bekas pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang lain telah melancarkan sebuah parti pembangkang baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang permohonannya untuk mendaftar sebagai sebuah parti telah diluluskan sementara oleh kerajaan pada Khamis.

Berikut adalah sorotan daripada temu bual selama sejam itu di pejabat Mahathir di Putrajaya:

BB: Apakah tindakan yang paling Tun kesali semasa menerajui pemerintahan?

Mahathir: ... Nampaknya, ada banyak tindakan. Tetapi kebanyakan daripadanya adalah melantik orang yang tidak sepatutnya. Saya seolah-olah tidak dapat mengenal pasti orang yang baik - atau sekurang-kurangnya mereka kelihatan baik, tetapi selepas diberi kuasa, mereka menyalahgunakannya.

BB: Adakah Tun mahu menamakan mereka?

Mahathir: Ya, baiklah, ia bermula dengan Musa Hitam dan kemudian Anwar Ibrahim, diikuti dengan Abdullah Badawi, dan kini Najib.

BB: Bagaimana Tun membalas kritikan terhadap pendaftaran parti politik baru ini, yang ramai memperkatakannya sebagai parti berasaskan kaum?

Mahathir: Pada mulanya, kami cuba untuk mengelak daripada membentuk sebuah parti lain kerana ia [boleh] memecahbelahkan pengundi dan menjadikan mereka lemah. Kami fikir kami  boleh menghidupkan semula parti berasaskan kaum seperti UMNO.

Ia [Parti Pribumi Bersatu Malaysia] mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan, dan telah terbukti selama ini bahawa parti berasaskan kaum boleh diterima oleh semua kaum dan mampu [membentuk] sebuah kerajaan yang baik, kerajaan yang kuat.

Tetapi, kami sedar, bahawa [UMNO] mempunyai pemimpin yang tidak baik, kepimpinan yang tidak baik. Pada mulanya, kami menyangka jika kami boleh menyingkirkan pemimpinnya, maka, kami akan dapat memulihkan UMNO. Malangnya, hari ini kami mendapati bahawa UMNO tidak dapat dipulihkan, sukar untuk mengembalikannya kepada keadaan sebelum ini.

Ia menjadi amat teruk. Ia dengan jelas, dan ketaranya menjadi sangat korup. Pemimpin-pemimpinnya korup. Mereka tidak menyuarakan  pandangan rakyat. Oleh itu, kami tidak mempunyai pilihan tetapi  membentuk sebuah parti lain. Kini, terdapat beberapa parti berbilang kaum tetapi hakikatnya menunjukkan bahawa ia tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Mereka tidak dapat mengalahkan UMNO, sebagai contoh. Mereka tidak dapat memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Oleh itu, walaupun golongan elit, golongan bijak pandai, merasakan perkauman adalah salah, namun pada akar umbi, rakyatnya masih [memikirkan] aspek kaum dan orang Melayu, khususnya, bimbangkan tentang masa depan mereka. Mereka lemah dari segi kewangan, dari segi ekonomi, dan mereka melihat bahawa mereka hanya boleh diselamatkan melalui politik ...

BB: Adakah Tun yakin bahawa [parti baru ini] boleh menjatuhkan pentadbiran Najib Razak ...?

Mahathir: Tiada apa yang pasti, sudah semestinya... kerana kami tahu bahawa Barisan Nasional, yang diketuai oleh Najib, mempunyai banyak wang dan tidak takut memaparkan penggunaan wang.

Dalam pilihan raya kecil, mereka memberi wang kepada rakyat, mereka memberi peralatan dapur untuk rakyat secara terbuka. Oleh itu, kami perlu berjuang menentang rasuah, dan perjuangan menentang rasuah bukanlah mudah.

Tetapi, jika kami tidak melakukan apa-apa langsung, negara ini akan menjadi lebih teruk dari masa ke masa dan rasuah terus berleluasa dan menjadi satu cara hidup di Malaysia ....

BB: Apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugasnya dengan baik sekarang berikutan perkembangan terkini dalam [Malaysia]?

Mahathir: Nampaknya, adalah. Yalah, nampaknya mereka lakukan sesuatu ... tetapi, kes rasuah terbesar tidak ditangani pun.

Mungkin SPRM mengetahui tentangnya. Sebenarnya, SPRM telah mengemukakan laporan mereka. Laporan mereka telah ditolak oleh AG [Peguam Negara] dan kini dijadikan sebagai [satu] rahsia rasmi. Jadi, SPRM agak kurang berkuasa untuk berbuat apa-apa kerana ia tidak boleh melakukan pendakwaannya sendiri – dengan membawa perkara itu ke mahkamah.

BB: Mengenai 1MDB ... Apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu itu?

Mahathir:
Tiada apa-apa yang boleh dilakukan bagi semua perkara  salah mengenai 1MDB. Ini semata-mata kerana kedaulatan undang-undang tidak lagi berfungsi lagi di Malaysia.

Jika anda membuat laporan mengenai perkara salah yang dilakukan berkaitan dengan 1MDB, anda akan disoal siasat oleh polis, anda akan ditahan dan anda akan didakwa di mahkamah kerana melakukan sabotaj bagi pelbagai jenis perkara...

Jadi, proses yang sepatutnya, tidak berlaku di Malaysia. Undang-undang tidak berfungsi. Anda boleh ke Parlimen dan meminta undi tidak percaya tetapi, malangnya, parti kerajaan - yang merupakan majoriti - terhutang budi kepada perdana menteri dan ia adalah undi tidak percaya terhadap perdana menteri. Orang beliau tidak akan menyokong undi tidak percaya, jadi, kita tidak boleh mendapat sokongan majoriti.  Oleh itu, Parlimen pun tidaklah berdaya berbuat apa-apa...

Jadi, di dalam negara sekarang, undang-undang tidak terbuka lagi. Kedaulatan undang-undang telah terabai atau disalah guna... Sebab itu, kita perlu mencari cara lain untuk membawa perkara ini kepada perhatian rakyat.

BB: Mengenai pelantikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Zulkifeli Mohd Zin sebagai Ketua Pengarah MKN (Majlis Keselamatan Negara), penganalisis berpendapat pelantikan itu tidak sepatutnya berlaku.

Mahathir: Saya ingin bercakap sedikit tentang Majlis Keselamatan Negara. Ia mempunyai kuasa yang luar biasa. Sebagai contoh, jika suatu pembunuhan berlaku di kawasan itu, tidak akan ada inkues; tidak akan ada bedah siasat ... Dan, ini boleh terpakai kepada pegawai tentera, pegawai polis atau orang awam.

Jadi, ini adalah kuasa besar dan ia diberikan kepada seorang jeneral. Hanya beliau seorang sahaja yang boleh membuat banyak keputusan, dan beliau dikenali sebagai seorang yang rapat dengan perdana menteri. Itulah sebabnya beliau tidak boleh dilantik (ke jawatan itu). Ia sepatutnya disandang oleh seseorang yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana pihak.

BB: Apakah rahsia Tun bagi panjang umur?

Mahathir: Pertama, saya tidak merokok. Saya tidak minum minuman keras dan saya sederhana dalam segala-galanya, termasuk pengambilan makanan. Saya juga melakukan senaman.

BN: ... Pada usia 91 tahun, Tun masih tegap dan tajam pemikiran.

Mahathir: Agaknya, seperti yang saya katakan tadi, tabiat saya tidak menjejaskan kesihatan saya. Saya tidak merokok. Itulah yang paling penting. Saya tidak minum minuman keras dan saya amat  sederhana dalam soal pengambilan makanan dan sebarang perkara yang saya lakukan.

BB: Bagaimana Tun mengekalkan tahap stres rendah sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun?

Mahathir: Saya tidak mudah kecewa tentang sesuatu. Saya menganggapnya sebagai semula jadi bagi seorang ahli politik untuk dikritik, dihamun dan dilabel serta dipersetankan, dan macam-macam lagi. Itu perkara biasa. Semua ahli-ahli politik perlu menerima hakikat bahawa mereka harus bersedia untuk berdepan dengan semua perkara itu.

BB: Berapa lama lagi Tun akan berkecimpung dalam politik?

Mahathir: Selagi saya boleh berdiri di atas kaki sendiri dan bercakap - mengenai perkara yang ada makna - saya fikir saya akan kekal dalam politik. Jika tidak, sudah pasti (hidup saya) amat membosankan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.