Mahathir Mohamad fail saman fitnah RM150 juta terhadap Perdana Menteri

Bekas perdana menteri itu berkata seteru politiknya membuat tuduhan tidak berasas mengenai penyalahgunaan kuasa untuk mengumpul kekayaan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.05.05
Kuala Lumpur
Mahathir Mohamad fail saman fitnah RM150 juta terhadap Perdana Menteri Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan bahawa gabungan baharu politik pimpinannya, Gerakan Tanah Air, akan menggunakan logo parti tersebut semasa Pilihan Raya Umum ke-15 di Putrajaya, 11 Okt. 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas pemimpin Malaysia Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Anwar Ibrahim bagi menuntut ganti rugi sejumlah AS$33.8 juta di mana Perdana Menteri itu dikatakan telah memfitnah dirinya dengan dakwaan mengumpulkan kekayaan semasa memerintah negara.

Mahathir, 97, memfailkan saman RM150 juta itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, tetapi pejabatnya hanya mengumumkan mengenainya kepada umum pada Jumaat yang merupakan pertikaian terbaharu antara dua seteru politik yang telah bermusuh sejak beberapa dekad lalu.

Dalam saman tersebut, yang mana dokumennya telah dilihat BenarNews, Mahathir menuduh Anwar dengan sengaja telah merosakkan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dan dipandang tinggi sebagai seorang negarawan.

"Tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap Mahathir bukan sahaja telah merosakkan imej dan reputasinya tetapi juga memalukan beliau serta keluarga," menurut dokumen mahkamah itu.

"Dakwaan-dakwan tersebut juga membantutkan sokongan dan kepercayaan terhadap Plaintif dari segi peluang perniagaan, pendapatan serta politik. Mengambil faktor posisi Defendan sebagai Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa dan tenaga kerja untuk menyelidik dan memastikan sebarang fakta sebelum ianya dituturkan.

“Plaintif sepatutnya berkelayakan untuk menuntut sejumlah wang gantirugi tauladan yang tinggi sebagai pengajaran kepada mana-mana menteri atau pemimpin untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa dan untuk tujuan mengumpul ‘political points’ sahaja."

Saman yang difailkan Mahathir itu adalah berkaitan dengan satu ucapan dibuat Anwar kepada para penyokongnya ketika satu Kongres Khas dianjurkan Parti Keadilan Rakyat pada 18 Mac lalu.

Para penganalisis bagaimanapun percaya tindakan sivil tersebut berkemungkinan tidak mempunyai kesan terhadap kedudukan Anwar sebagai perdana menteri.

Mahathir menuntut sejumlah RM50 juta (AS$11.3 juta) sebagai ganti rugi am, dan RM100 juta (AS$22.5 juta) ganti rugi teladan.

Beliau juga memohon supaya mahkamah memerintahkan Anwar membuat satu permohonan maaf kepadanya secara bertulis serta menarik balik semua dakwaan yang dibuat, selain perlu membayar faedah tahunan sebanyak 5% ke atas ganti rugi yang ditetapkan.

Peguam Allif Benjamin Suhaimi yang mewakili Anwar mengesahkan bahawa pejabatnya telah menerima salinan saman tersebut pada Rabu.

"Anak guam kami mempunyai masa 14 hari untuk memberikan respon kepada saman tersebut dan 14 hari lagi untuk memfailkan pernyataan pembelaan, dan setakat ini belum ada respon dari pihak kami," kata Aliff kepada BenarNews.

Dalam satu serangan politik yang dibuat secara berkias pada Mac, Anwar telah mengkritik seorang individu tanpa menamakannya tetapi menyebut bahawa orang tersebut pernah memegang kuasa selama lebih dua dekad, dan mendakwa yang individu berkenaan telah mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan keluarganya sementara komuniti Melayu di Malaysia telah hilang segalanya.

"Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya," kata Anwar dalam ucapannya.

"(Mereka kata Melayu telah) hilang harta, hilang saham, hilang mana tidak hilang? Kalau kamu bolot untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu? Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat! Jangan perbodohkan rakyat!"

Mahathir merupakan pemimpin yang pernah memegang jawatan perdana menteri paling lama di Malaysia, iaitu selama 22 tahun ketika kali pertamanya sebelum kembali menjawat jawatan tersebut sekali lagi selama 22 bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada 2018.

Mahathir bagaimanapun terpaksa meletak jawatan pada 2020 selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya ketika itu hilang kuasa.

Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Mahathir berkata tindakan undang-undang berkenaan adalah sesuatu yang perlu diambil.

"Tindakan ini diambil selepas mengambil kira tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan fitnah seperti ini tidak seharusnya dibuat oleh seseorang yang memegang jawatan perdana menteri di Malaysia, yang mana beliau sepatutnya berkhidmat untuk negara dan bukannya berpolitik.

"Saman yang difailkan terhadap beliau menuntut supaya Anwar menarik semua kenyataannya dan menghentikan sebarang tuduhan serupa daripada diulangi di masa depan, selain menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta kerana mengambil kira tuduhan fitnah dibuat seorang perdana menteri."

Prosiding teknikal berkenaan dengan saman tersebut telah ditetapkan bermula pada 31 Mei depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Perasan kecewa

Konflik di antara Mahathir dan Anwar telah menjadi antara warna-warni dalam landskap politik Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu. Pada 1998, Mahathir telah memecat Anwar yang pada waktu itu adalah timbalan perdana menteri dengan Anwar kemudiannya telah dipenjarakan atas dakwaan liwat dan rasuah.

Dua tokoh berkenaan kemudian telah berbaik pada 2016 di mana mereka bersama-sama membentuk gabungan Pakatan Harapan sebelum berjaya mengalahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang dilanda pelbagai skandal dalam pilihan raya umum 2018.

Hubungan baik mereka bagaimanapun tidak kekal lama selepas Mahathir mengingkari janjinya untuk membuat peralihan kuasa kepada Anwar, yang telah diberikan pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 2018.

Selepas pilihan raya umum terbaharu November lepas, yang menyaksikan Mahathir kalah di kerusi Parlimen Langkawi, bekas perdana menteri itu dilihat cuba memulihkan kerjaya politiknya dengan menggunakan isu hak bangsa Melayu serta pentadbiran, dan selalu mengkritik kerajaan campuran pimpinan Anwar.

Penganalisis politik berkata mereka tidak menjangkakan saman berkenaan akan mempunyai kesan negatif terhadap Anwar kerana ianya berkemungkinan dilihat tidak lebih daripada perseteruan politik antara kedua-dua ahli politik terbabit.

"Saya tidak rasa ia akan memberikan kesan terhadap imej Anwar sangat," kata Syaza Shukri, seorang pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

"Anwar mungkin dilihat sebagai hero oleh para penyokongnya kerana melawan isu ini di mahkamah, tetapi kes ini mungkin susah difahami oleh orang biasa, kerana kes saman fitnah kurang mendapat perhatian disebabkan ia bukanlah kes jenayah."

Syaza berkata kes itu juga adalah sesuatu yang rumit kerana tuduhan dibuat Anwar dalam ucapannya tidak merujuk kepada Mahathir secara terus, dan kedua-dua belah pihak sedang mempertahankan pendirian masing-masing.

"Tetapi saya rasa tindakan undang-undang ini mengesahkan lagi pandangan orang ramai bahawa perseteruan dan permusuhan antara mereka sentiasa wujud selama ini, walaupun ia sedikit kendur pada 2016," tambahnya.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan, pula berkata keputusan mahkamah akan menentukan sama ada kes berkenaan akan mempunyai kesan terhadap imej Anwar.

"Ketika ucapannya, Anwar tidak menyebut secara spesifik nama Mahathir Mohamad, jadi saya percaya ia akan menjadi satu kes saman malu yang menarik kerana dua pemimpin ini telah lama menjadi musuh. Ia sudah tentunya menambah lagi rasa tidak puas hati sesama mereka," kata Azmi, yang merupakan felo kanan di Akademi Kajian Strategik Nusantara, kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.