Panel RCI Syor Siasat Mahathir, Anwar Berhubung Kerugian Forex Pada 1990-an

Ray Sherman
2017.11.30
Kuala Lumpur
171130-my-corruption-politic-1000.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad (kanan) dan timbalannya, Anwar Ibrahim, turut berdoa pada sambutan sempena ulang tahun ke 50 parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu di Kuala Lumpur, 10 Mei 1996.
[AFP]

Dengan pilihan raya umum semakin hampir, suruhanjaya kerajaan Malaysia mengesyorkan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dua pemimpin pembangkang - bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim - berkaitan dengan kerugian berbilion dolar bank pusat pada 1990-an.

Syor itu terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diumumkan pada  Khamis, beberapa hari selepas timbalan perdana menteri berkata bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada separuh kedua Februari 2018, menurut media tempatan.

"Suruhanjaya berpendapat bahawa Menteri Kewangan ketika itu telah dengan sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan yang mengelirukan kepada Kabinet," kata laporan itu, yang merujuk kepada Anwar, yang juga menteri kewangan ketika bank pusat itu menanggung kerugian RM 31.5 bilion  (AS $ 7.7 bilion) dalam dagangan wang asing di antara 1992 dan 1994.

"Suruhanjaya ini juga berpendapat bahawa Perdana Menteri ketika itu telah mengizinkan perbuatan Menteri Kewangan," menurut laporan setebal 524 muka surat oleh suruhanjaya itu, yang tidak menamakan Mahathir dan Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat.

Laporan itu menunjukkan bahawa buat  pertama kalinya Mahathir, 92, dan Anwar, 70, didakwa secara rasmi terhadap potensi salah laku jenayah berkaitan dengan kerugian bank pusat itu, yang secara rasmi dikenali sebagai Bank Negara Malaysia (BNM), lebih daripada 20 tahun yang lalu.

Ia menyatakan bahawa ramai pegawai kerajaan, termasuk perdana menteri dan menteri kewangan, mungkin melakukan jenayah pecah amanah atau menipu, dengan melakukan transaksi spekulasi forex  dan kemudian menyembunyikan kerugian itu.

Mahathir dan Anwar, yang sebelum ini bermusuhan, baru-baru ini bergabung untuk memimpin pakatan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan, dalam  menentang Perdana Menteri Najib Razak dan partinya, Pertubuhan Melayu Kebangsaan (UMNO), yang menguasai politik Malaysia di seluruh negara sepanjang 60 tahun dahulu.

Mahathir merupakan antara pengkritik Najib yag paling lantang, dengan mengetuai gesaan supaya beliau meletak jawatan perdana menteri berikutan dakwaan yang membabitkannya dalam skandal rasuah berkaitan dana negara 1MDB. Najib menafikan sebarang salah laku dalam urusan 1MDB.

'Tindakan politik'

Suruhanjaya itu yang dianggotai panel lima orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, memulakan siasatannya empat bulan lalu terhadap dakwaan kerugian besar dagangan mata wang asing (forex) yang dialami bank pusat  itu pada 1990-an. Seramai 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan panel itu, yang turut mengumpulkan dan memeriksa 42 dokumen yang berkaitan.

Pada 13 Okt., suruhanjaya diraja itu menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun ia tidak disenaraikan dalam agenda persidangan Parlimen pada Khamis, laporan itu, yang dicetak dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, diletakkan di atas meja setiap Anggota Parlimen.

Anggota-anggota pembangkang Malaysia bertindak balas dengan mengkritik waktu laporan itu dikeluarkan – iaitu pada hari terakhir persidangan Parlimen bagi tahun ini.

"Laporan itu sudah siap dan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong [Malaysia] enam minggu yang lalu, sepatutnya ia diberikan kepada kami dengan lebih awal juga," kata Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar dan pemimpin semasa Parti Keadilan Rakyat (PKR), kepada wartawan di Parlimen.

"Hari ini, apabila kami meminta untuk membahaskan hasil laporan ini, ia telah ditolak. Ini menunjukkan bahawa apa yang kami jangkakan berlaku sebelum ini, kini menjadi kenyataan, ia adalah tindakan politik terhadap isu yang dibangkitkan selepas bertahun-tahun lamanya demi membabitkan pihak lawan politik mereka, "kata Wan Azizah.

Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang dan setiausaha agung parti pembangkang, Parti Tindakan Demokratik, berkata, laporan itu perlu dibahaskan kerana ia adalah penting.

"Apabila saya bangun untuk meminta Ahli Parlimen dibenarkan berbahas mengenai laporan itu, menteri berkenaan berkata, keputusan itu akan dibuat kemudian," katanya.

'Amat terkejut'


Azalina Othman, menteri undang-undang yang bertanggungjawab bagi hal ewal  Parlimen, meminta pembangkang memohon secara bertulis supaya laporan itu dibahaskan oleh badan penggubal undang-undang itu

"Beliau tidak menulis surat kepada kami, jadi tolong beri saya masa untuk perkara ini. Saya akan memaklumkan kepada kerajaan dan membalasnya secara bertulis, "katanya, merujuk kepada Lim.

Pada Khamis, seorang peguam Mahathir menuduh kerajaan "menyerang"  kliennya dengan mengeluarkan laporan itu kepada Parlimen tanpa notis awam yang mencukupi atau memberikannya satu salinan.

Peguam Haniff Khatri berkata, beliau akan mengulas laporan itu setelah berpeluang membaca dengan sepenuhnya.

"Saya amat terkejut bahawa terdapat rujukan  dalam Laporan ini yang mendakwa berlakunya perbutan melakukan jenayah seperti jenayah pecah amanah, sedangkan bahan-bahan yang dirujuk oleh RCI adalah sedikit dan tidak mencukupi untuk membuat  kesimpulan sedemikian, "kata peguam itu, yang memetik laporan media berhubung kandungan laporan RCI itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.