Bekas Perdana Menteri Berusia 92 Tahun Mahu Kembali Memimpin Malaysia
2018.05.02
Kuala Lumpur, Malaysia
Di penghujung kerjaya politiknya, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mahu kembali memimpin pada usia 92 tahun dengan cuba menghancurkan parti yang pernah membantu beliau mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang paling makmur di Asia Tenggara.
Sepanjang 22 tahun kepimpinannya yang bermula pada 1981 - yang paling lama dalam sejarah Malaysia - Mahathir membawa kemakmuran dengan sokongan padu daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, parti utama dalam gabungan pemerintah yang menguasai politik Malaysia sejak mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 1957.
Tetapi Mahathir, bekas doktor perubatan yang popular dikenali sebagai ‘Dr M’ meninggalkan UMNO dan kembali ke dunia politik dua tahun lalu, sebagai tanda protes susulan tuduhan-tuduhan salah laku kewangan terhadap Perdana Menteri Najib Razak, bekas anak didiknya.
Beliau berkata UMNO perlu ditewaskan.
"Tidak mudah bagi saya untuk memusnahkan parti yang saya sayangi selama 60 tahun," kata Mahathir, yang merujuk kepada UMNO. "Tetapi sekarang, hari ini, saya berjuang untuk menumbangkannya."
Pemimpin lama itu membuat kenyataan tersebut semasa berucap pada satu konvensyen Januari lalu, di mana beliau diterima untuk menerajui pakatan pembangkang utama dalam pertempuran menentang Barisan Nasional (BN) yang diketuai Najib pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
Mahathir mengejutkan negara apabila beliau menyertai pembangkang dan bergabung dengan musuh utamanya, bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pernah dipenjarakannya bagi pertuduhan liwat.
Mahathir mengetuai Pakatan Harapan (PH), sebuah amalgam yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti pelbagai kaum yang dipimpin orang Melayu, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah). Semua parti berkenaan berkempen menggunakan logo PKR selepas pihak berkuasa baru-baru ini menolak permohonan pakatan pembangkang itu untuk didaftarkan sebagai gabungan parti politik dan turut membatalkan pendaftaran Bersatu sebagai sebuah parti.
Mahathir, semasa wawancara dengan BeritaBenar pada September 2016, menyifatkan UMNO sebagai "sukar dipulihkan, sukar untuk mengembalikannya kepada keadaan sebelum ini.”
“Ia menjadi amat teruk. Ia dengan amat jelas dan ketaranya menjadi sangat korup. Pemimpin-pemimpinnya korup. Mereka tidak menyuarakan pandangan rakyat. Oleh itu, kami tidak mempunyai pilihan tetapi membentuk sebuah parti lain’.
'Terlalu Ghairah Untuk Mengawal'
Najib, yang sedang menerajui kempen yang menjanjikan pertumbuhan ekonomi menerusi projek-projek infrastruktur, menjelaskan tentang perseteruannya dengan Mahathir ketika diwawancara oleh Bloomberg News minggu lalu.
“Saya fikir beliau begitu ghairah untuk mengawal, berkuasa dan malah, semasa kami agak rapat dulu, beliau pernah mengesyorkan tentang penubuhan 'Council of Elders'. "Sudah tentu anda dapat mengagak siapakah yang akan mempengerusikan majlis itu dan saya rasa, sebagai perdana menteri, setiap kali selepas mesyuarat Kabinet, saya terpaksa bergegas ke bilik beliau untuk mendapatkan persetujuannya. Beliau mahu saya mengusahakan perkara itu."
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Mahathir kembali menjadi perhatian dunia politik berikutan pelbagai serangannya terhadap Najib, bekas anak didik politiknya, yang dibelenggui skandal kewangan berjuta-juta dolar melibatkan 1MDB, dana pelaburan negara.
Mahathir dan para pemimpin serta aktivis pembangkang yang lain juga menuduh Najib mengubah kawasan persempadanan pilihan raya dalam beberapa minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya umum negara untuk memihak kepada calon-calon UMNO. Tetapi Najib memberitahu Bloomberg News bahawa Mahathir juga telah beberapa kali mengubah sempadan daerah ketika bekas mentor politiknya itu masih berkuasa.
Para pengkritik juga menuduh Najib mahu terus membendung kerajaan pimpinannya daripada teguran dan kritikan selepas melaksanakan langkah pencegahan "berita palsu" pada April. Parlimen meluluskan undang-undang itu yang menjadikan perbuatan menyebar “fitnah” atau penciptaan berita palsu sebagai kesalahan yang boleh dihukum sehingga enam tahun penjara dan denda maksimum sehingga RM500,000 (kira-kira AS$128,000).
Pada Rabu, pihak berkuasa memberitahu mereka sedang menyiasat Mahathir mengikut undang-undang baru itu atas dakwaan minggu lepas bahawa beliau mengesyaki perbuatan sabotaj terhadap pesawat persendirian yang sepatutnya membawa beliau dari ibu kota Kuala Lumpur ke daerah Langkawi, di mana beliau bertanding merebut kerusi Parlimen itu.
"Kami telah membuka siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadap Mahathir," kata ketua polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim kepada pemberita.
Pengamal perubatan
Mahathir akan berumur 93 tahun pada 10 Julai ini. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981 selepas memulakan kerjaya politiknya pada 1946 dengan menyertai UMNO.
Mahathir, anak kepada seorang pengetua sekolah, menerima pendidikannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, satu daripada sekolah tertua dan paling berprestij di Malaysia yang bertempat di negeri kelahirannya, Kedah, yang terletak di utara Malaysia.
Selepas menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Malaya Singapura, Mahathir bekerja sebagai pegawai kesihatan kerajaan dan kemudian menjalankan amalan perubatan persendirian di Kedah selama tujuh tahun. Beliau kemudian dipilih sebagai anggota Parlimen pada 1964.
Pada tahun-tahun 1940-an dan 1950-an, dengan menggunakan nama pena "Che Det," Mahathir menulis artikel tentang politik dan isu-isu ekonomi Melayu untuk The Sunday Times.
Pada 26 Sept 1969, Mahathir dipecat daripada UMNO oleh perdana menteri pertama negara itu, Tunku Abdul Rahman, yang dilaporkan berang dengan pendapat Mahathir mengenai nasionalisme orang Melayu. Beliau menyertai semula parti itu selepas peletakan jawatan Tunku Abdul Rahman pada September 1970.
Ekonomi Malaysia di bawah pimpinan Mahathir pesat berkembang dari 1991 hingga 1995 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan mencatatkan pertumbuhan purata 8.7 peratus dan kadar pengangguran yang rendah kira-kira 2.5 peratus. Menurut Bank Dunia, negara yang majoriti umat Islam itu yang kini terkenal dengan kilang-kilang semikonduktornya, telah mencatatkan anggaran KDNK 2017 sebanyak AS$989 bilion, menjadikannya negara terkaya ketiga di Asia Tenggara, selepas Singapura dan Brunei.
Kecenderungan sebagai autoritarian
Semasa tempoh awal Mahathir sebagai perdana menteri, beliau memperkukuhkan kuasanya dengan ketara apabila mengurangkan kuasa raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri di Malaysia.
Mahathir juga dituduh mempunyai kecenderungan sebagai autoritarian selepas beliau mengarahkan penangkapan dan penahanan lebih daripada 100 orang, termasuk pemimpin pembangkang dan aktivis, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987.
Pada 2017, Mahathir tidak memohon maaf tetapi sedia dipersalahkan bagi tindakan itu.
"Saya sedia dipersalahkan walaupun penahanan itu bukanlah keputusan saya," katanya dalam satu catatan blog, berabad-abad selepas pelaksanaan operasi itu yang dikenali sebagai Ops Lalang.
"Saya kini diberitahu bahawa tahanan berkenaan telah diseksa. Saya kesal tahanan Ops Lalang diseksa. Ini bertentangan dengan undang-undang, "katanya.
Anggota Parlimen yang lama Lim Kit Siang, pemimpin Parti Tindakan Demokratik, dan anaknya yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, adalah antara mereka yang ditahan dalam tindakan keras itu yang digambarkan sebagai usaha untuk mencegah rusuhan kaum. Lim menghabiskan masa selama 17 bulan dalam penjara manakala anaknya dipenjara selama 12 bulan.
Tiga akhbar - The Star, Sin Chew Daily serta Watan - juga digantung.
Namun, industri teknologi tinggi Malaysia, termasuk kejuruteraan perisian, berkembang luas di bawah kepimpinan Mahathir ketika negara itu turut menyaksikan pembinaan projek-projek mega termasuk Menara Berkembar Petronas - bangunan tertinggi di dunia sehingga 2004.
Di puncak kepimpinannya, Mahathir membangunkan dan menjadikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru negara pada 1999 bagi menggantikan bandar lama Kuala Lumpur.
Malaysia juga tidak terjejas dalam krisis kewangan Asia pada 1990-an selepas Mahathir mengetepikan Tabung Kewangan Antarabangsa dengan memperkenalkan kawalan mata wang kontroversi yang secara berkesannya membendung negaranya daripada akibat ekonomi global.
Mengakui kesilapan membuat keputusan
Semasa temu bual dengan Sin Chew Daily di pejabatnya di Putrajaya pada Mac lalu, Mahathir berkata, beliau tidak akan memecat Anwar sekiranya beliau boleh memutarkan kembali masa itu dan dipilih semula.
Mahathir berkata, beliau membuat keputusan yang silap apabila bertindak tegas terhadap Anwar pada 1998.
"Dari segi politik, saya tidak akan melakukan tindakan ini. Ketika saya menjadi perdana menteri, saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak melakukan apa-apa yang membuat orang membenci saya," kata Mahathir.
Pada 29 Feb 2016, Mahathir meninggalkan UMNO selepas bantahan awam berhubung dakwaan bahawa Najib telah membantu menggelapkan dana dari 1MDB.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat [AS] mendakwa bahawa antara 2009 dan 2014, eksekutif utama 1MDB dan sekutu Najib telah menyelewengkan sekurang-kurangnya $4.5 bilion daripada dana itu dalam skim pengubahan wang haram yang rumit menerusi pengambilalihan hartanah dan deposit bank di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan negara-negara lain.
Mengikut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS dalam kes sivil yang bertujuan untuk mendapatkan semula wang berkenaan, kira-kira AS$681 juta telah dimasukkan dalam akaun bank peribadi Najib. Najib berkata, wang tunai itu merupakan sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi. Beliau menafikan salah laku yang berkaitan dengan 1MDB.
"Saya meninggalkan UMNO atas satu sebab," kata Mahathir kepada pemberita. "Iaitu kerana ia sekarang menjadi parti yang melindungi Najib sepenuhnya, daripada segala kesalahan yang telah dilakukannya."
Hareez Lee and Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.