Malaysia Batalkan Projek Landasan Keretapi, Saluran Paip, Kata Mahathir Kepada China

Hadi Azmi
2018.08.21
Kuala Lumpur, Malaysia
Mahathir-China.jpeg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad (kiri) dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, pada majlis menandatangani perjanjian di Dewan Besar Rakyat di Beijing, 20 Ogos 2018.
[How Hwee Young/melalui AP]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengesahkan kepada pemimpin China bahawa beliau membatalkan projek landasan keretapi dan saluran paip gas bernilai berbilion dolar yang disokong negara itu kerana Malaysia tidak mampu serta tidak memerlukan projek itu sekarang.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita pada hari terakhir lawatan selama lima hari ke Beijing.

Sejak menyandang jawatan itu selepas Pakatan Harapan pimpinannya mengalahkan Barisan Nasional diterajui bekas Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum Mei lalu, Mahathir berkata kerajaannya mewarisi hutang sebanyak RM1 trilion (AS$244 bilion).

Mahathir, yang pulang ke Malaysia pada Selasa, berkata para pegawai China memahami masalahnya, tetapi beliau memberitahu bahawa membatalkan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip gas itu tidak akan membebaskan negaranya daripada menanggung kos berkenaan.

"Dengan hutang itu, jika kita tidak berhati-hati, kita boleh menjadi muflis," katanya dalam satu temu bual video yang disiarkan di laman berita Malaysiakini. "Ini adalah kerja Najib."

"China adalah kontraktor dan mereka meminjamkan wang itu, kita telah menjelaskan kepada mereka bahawa kita tidak mampu dan kita mesti mencari jalan untuk keluar daripada projek ini dengan kos yang paling rendah," kata Mahathir.

Beliau memberitahu bahawa Malaysia akan "membayar pampasan dan semua yang perlu, tetapi ini adalah akibat kebodohan kita sendiri, kita tidak boleh menyalahkan orang China."

"Saya tidak fikir China mahu kita muflis," lapor agensi berita negara Malaysia, Bernama, yang memetik perdana menteri sebagai berkata.

“Projek tidak diteruskan. Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini ia ditangguhkan sehingga kita mampu,” kata perdana menteri. Apabila wartawan meminta penjelasan lanjut, beliau berkata : “Ya ia (projek) dibatalkan buat masa ini.”

Bulan lalu, Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan telah menghentikan projek saluran paip itu.

Beliau menyatakan bahawa China Petroleum Pipeline Bureau, firma negara China yang dianugerahkan kontrak itu pada November 2016, telah membayar 85 peratus daripada nilai projek itu walaupun hanya menyelesaikan 13 peratus daripada kerja-kerja projek itu.

Sementara itu, akhbar The Star melaporkan minggu lalu bahawa kerajaan telah membayar RM19.68 bilion ($ 4.8 bilion) untuk projek ECRL dan hanya kira-kira 15 peratus daripada kerja itu telah selesai.

Pada Ogos 2017, Najib memuji ECRL sebagai pencetus perubahan untuk Malaysia dengan menyatakan bahawa projek sepanjang 688 kilometer (430 batu) itu, yang merangkumi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, akan siap pada 2024 dengan kos $13 bilion dan kebanyakannya disokong oleh pinjaman dari China.

Pada Julai lalu, Lim menyatakan bahawa kos projek itu meningkat sebanyak RM26 bilion (AS$ 6.4 bilion) kepada RM81 bilion ($20 bilion).

Kerajaan baru Malaysia menyokong Inisiatif ‘Belt and Road’.

Sebelum Mahathir meninggalkan China, kedua-dua negara itu mengeluarkan kenyataan bersama termasuklah mengenai sokongan dan penyertaan Malaysia dalam Inisiatif ‘Belt and Road’ China serta merancang program yang memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan sehingga 2022.

Inisiatif itu merupakan strategi besar Beijing untuk membina rangkaian jalan raya, laluan kereta api dan pelabuhan yang luas di Asia Selatan yang akan membolehkan China berdagang dengan lebih mudah dengan negara-negara Eropah melalui Lautan Hindi dan Asia Tengah.

Perdana Menteri China, Li Keqiang, yang bertemu dengan Mahathir berkata, kedua-dua negara percaya tentang perlunya menganjurkan perdagangan bebas dan menggalakkan globalisasi.

Semasa menjawab soalan mengenai prospek perang perdagangan dengan Amerika Syarikat, Li menekankan bahawa "dalam perang perdagangan, tidak ada pemenangnya."

"Seluruh dunia adalah rantaian perindustrian yang saling berhubung. Sekiranya terdapat perselisihan perdagangan di beberapa kawasan, orang akan mencari alternatif lain, " kata Li.

Sambil tersenyum mendengar kenyataan Li, Mahathir berkata "perdagangan bebas adalah caranya, tetapi perdagangan bebas juga harus menjadi perdagangan yang adil.

"Kita mesti sentiasa ingat bahawa tahap pembangunan antara negara-negara bukanlah selalunya sama," katanya.

Sementara itu, Oh Ei Sun, penasihat kanan hal ehwal antarabangsa di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia berkata, Malaysia kekal penting bagi China.

"Malaysia terletak secara strategik di persimpangan timur dan barat,  oleh itu, ia penting bagi daya maju Inisiatif ‘Belt and Road’,” kata Oh, sambil memberitahu bahawa negara itu adalah satu daripada ekonomi terbuka yang penting di dunia.

"Dalam dunia yang semakin melindungi ini, penting bagi China untuk bersekutu dengan lebih banyak ekonomi sebegitu."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.