Mahathir: Kerajaan Punya 'Kes Hampir Sempurna' Terhadap Bekas PM Najib

Hadi Azmi
2018.06.19
Kuala Lumpur, Malaysia
18-06-19-MY-1mdb-620.JPG Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika bertugas di pejabatnya di Putrajaya, Malaysia, 19 Jun, 2018.
[Reuters]

 

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa berkata, kerajaannya mempunyai kes yang hampir sempurna terhadap pemimpin terdahulu, Najib Razak, berhubung dakwaan mencuri wang negara, manakala sumber memberitahu BeritaBenar bahawa agensi anti-rasuah Malaysia bercadang untuk memfailkan pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk mendakwa  Najib mengikut akta pencegahan pengubahan wang haram dan menyalahgunakan hartanah berhubung dengan skandal kewangan melibatkan  dana negara, 1MDB, kata sumber-sumber yang rapat dengan kes itu. SPRM telah menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara baru minggu lepas.

"Cadangan mengenai pertuduhan itu tidak pernah berubah, ia sama seperti yang kami cadangkan kepada Peguam Negara Apandi (Ali) sebelum ini," kata sumber itu, yang tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media, kepada BeritaBenar.

Kertas siasatan itu yang dikemukakan pada 12 Jun lalu memberi tumpuan kepada wang RM42 juta (AS$10.6 juta) yang didakwa dipindahkan dari SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ke akaun bank peribadi Najib.

Ketika menjadi perdana menteri semasa penyiasatan SRC bermula pada 2015, Najib telah memecat Peguam Negara Abdul Gani Patail yang ketika itu sedang menyediakan satu kes pendakwaan terhadapnya. Pengganti Gani, Apandi, kemudian membersihkan Najib daripada semua kesalahan yang berkaitan dengan 1MDB dan SRC.

Satu sumber berkata, SPRM sedang mengendalikan dua kertas siasatan lain berhubung wang SRC sebanyak RM2.6 bilion ($650 juta)  yang berakhir dalam akaun Najib.

 

Najib menjadi tumpuan setelah kerajaan baru Malaysia berjanji untuk menyiasat skandal 1MDB dan kes-kes utama lain yang membabitkan rasuah dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan selepas mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui bekas perdana menteri itu pada pilihan raya umum bulan lalu.

Sejak Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei, polis berkata mereka telah menggeledah hartanah yang dikaitkan dengan Najib dan merampas RM114 juta ($28.75 juta) serta 284 kotak yang mengandungi beg tangan mewah.

Para pegawai Jabatan Kehakiman AS menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk sejak sekian lama", dengan menarik perhatian bahawa lebih $4.5 bilion (RM17.9 bilion) dicuri dari dana negara itu sejak ia ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sehingga lembaga penasihatnya dibubarkan pada 2016.

"Kami fikir kami sudah mempunyai kes yang hampir sempurna," kata Mahathir kepada agensi berita, Reuters.

Najib memainkan peranan utama dalam skandal itu, kata Mahathir.

"Dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya, dan kami mempunyai tandatangannya pada semua tawaran yang dimeterai oleh 1MDB. Oleh itu, dia bertanggungjawab, "kata Mahathir kepada agensi berita tersebut.

“Beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB. Tiada apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya dan kami mempunyai tandatangannya bagi  semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB. Oleh itu, beliau yang bertanggungjawab,” kata Mahathir kepada agensi berita itu.

Dalam jawapan balasnya, Najib menafikan sebarang salah laku dan memberitahu bahawa walaupun beliau telah memberikan arahan semasa di 1MDB, pihak pengurusan dan lembaga pengarah dana itu tidak terikat untuk bertindak. "Apa yang saya tahu, saya tidak melakukan apa-apa yang saya fikir sebagai salah," katanya kepada Reuters.

Kenyataan itu konsisten dengan penafian Najib berhubung 1MDB sebelum ini.

Mahathir juga mengesahkan bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor, sedang disiasat.

“Ada daripada wang itu dipercayai disalurkan kepadanya, wang yang banyak," kata Mahathir kepada Reuters. "Kami tahu tentang ini, tetapi mencari jejak dokumen adalah agak sukar dalam kes ini kerana beliau tidak menandatangani mana-mana kertas. Najib menandatangani banyak kertas. "

Kedua-dua Najib dan Rosmah telah disoal siasat oleh SPRM sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap SRC International.

Keutamaan Peguam Negara


Apabila dilantik sebagai peguam negara Malaysia pada 6 Jun, Tommy Thomas mengumumkan bahawa 1MDB akan menjadi keutamaan beliau.

Beliau berkata, pejabatnya memerlukan masa untuk mengkaji semula kertas siasatan itu tetapi ia menghargai "tindakan segera dan sensitiviti tugas mereka." Katanya beliau telah melantik dua pasukan untuk mengkaji kertas siasatan itu, satu daripadanya untuk dipertimbangkan bagi memulakan pendakwaan jenayah dan satu lagi untuk mempertimbangkan prosiding sivil.

"Anggota kedua-dua pasukan itu adalah timbalan pendakwa raya dan peguam kanan persekutuan yang berpengalaman dan akan melaporkan terus kepada saya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai SPRM awal bulan ini mengarahkan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, supaya segera menghubungi mereka bagi membantu siasatan 1MDB.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, pihak berkuasa mempunyai maklumat yang mencukupi bahawa Jho Low adalah antara suspek utama di sebalik skandal 1MDB.

Kerajaan juga meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam mengesan kedua-dua lelaki itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka, menurut laporan media.

"Mereka amat penting bagi siasatan kes itu," kata timbalan pesuruhjaya SPRM Azam ketika itu.

Jho Low, yang dikenali sebagai rakan rapat Najib, bersetuju untuk membantu, kata peguamnya dalam satu kenyataan sebagai maklum balas kepada arahan SPRM itu.

Kemudian, muncul pula laporan bahawa ahli perniagaan buruan itu cuba mendapatkan perjanjian daripada kerajaan Malaysia di mana beliau akan melepaskan tuntutan terhadap aset yang bernilai lebih daripada RM4 bilion  ($1 bilion) sebagai pertukaran bagi mendapatkan kekebalan daripada pendakwaan.

Dalam temu bualnya dengan Reuters, Mahathir berkata, beliau telah menolak tawaran Jho Low dan tidak akan mempertimbangkan apa-apa perjanjian serupa dengan Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.