Mahathir Mahu ‘Campur Tangan Diraja” Pecat Najib
2016.03.28
Shah Alam, Selangor
Kempen Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad mahu ‘campur tangan diraja’ dalam usaha melucutkan jawatan Najib Razak, yang diselubungi oleh pelbagai skandal kewangan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Beliau yang berucap pada perhimpunan pertama gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ sempena kempen Deklarasi Rakyat di Pusat Konvensyen Shah Alam, mengakui tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia yang membenarkan Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Perdana Menteri.
“Tetapi jika kempen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 37 perkara melalui penurunan tandatangan itu mendapat sokongan rakyat, ia boleh diserahkan kepada Raja-raja Melayu dengan memaklumkan bahawa rakyat mahu Najib disingkirkan dari jawatan Perdana Menteri. Saya sendiri akan membawa dan menyerahkan deklarasi itu ke Istana Negara,” katanya yang berucap pada perhimpunan berkenaan.
Mahathir yang merupakan antara 18 pemimpin yang berucap menambah, “Ya, Raja Melayu tidak mempunyai kuasa untuk buang Perdana Menteri seperti di dalam perlembagaan negara, tetapi jika Raja Melayu mendesak ada kemungkinan Najib boleh disingkirkan.
Perhimpunan yang dihadiri pelbagai lapisan pemimpin politik dan sosial termasuk dari pihak pembangkang turut juga disertai oleh bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan anak Mahathir, yang juga bekas menteri besar Kedah Mukhriz.
Kedua-duanya mereka masih lagi anggota parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti tulang belakang dalam kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia.
‘Boleh pecat jika….’
Dalam pada itu, Pakar undang-undang perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Selangor (UNISEL) menegaskan bahawa di sisi perlembagaan negara, tiada peruntukan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong memecat Perdana Menteri tetapi boleh bertindak memecat jika ketua kerajaan itu cuba menghancurkan perlembangan Persekutuan negara.
Sambil memberi contoh kes berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes krisis politik negeri Perak pada 2009 yang lalu, pakar undang-undang itu berkata kepada BeritaBenar, Yang di-Pertuan Agong boleh memecat Perdana Menteri iaitu sebagaimana Sultan Perak memecat Mohammad Nizar Jamaluddin, yang pada ketika itu memegang jawatan Menteri Besar.
“Itu teori saya berdasarkan apa yang dikatakan sebagai ‘reserved powers’ atau kuasa simpanan oleh ketua negara yang peranannya memastikan perlembagaan dan demokrasi tidak dicabul dan dimanipulasikan,’’ katanya.
Abdul Aziz juga menjelaskan bahawa Najib kini dilihat menggunakan segala institusi yang ada untuk menggagalkan proses demokrasi terutamanya undi tidak percaya dalam Parlimen apabila speaker Dewan Rakyat turut dilihat seolah bersekongkol dengan menimbulkan seribu satu alasan teknikal untuk menyekat proses perlembagaan itu.
“Kalau Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan Raja Melayu berani mengambil tindakan dengan menitahkan supaya Dewan Rakyat dibenarkan mengadakan sidang khas undi tidak percaya, tidak ada siapa yang boleh menyalahkan tindakan Baginda itu,
“Soalnya sekarang sanggupkah Baginda Yang di-Pertuan Agong berbuat demikian? ” persoal beliau semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin.
Abdul Aziz juga mengibaratkan Malaysia kini, berada dalam keadaan yang cukup kronik di mana memerlukan “bypass” dan “open heart surgery” dan bukan sekadar ubat pengurang sakit.
‘Bakal gagal’
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd. Azizuddin Mohd Sani merasakan usaha yang dibuat bekas perdana menteri itu akan gagal kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat sebaliknya hanya mempunyai kuasa untuk melantik.
Bagaimanapun beliau berpendapat cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong memecat Najib itu hanya dapat dilakukan sekiranya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dibuat dan tanpa pindaan tindakan itu adalah mustahil.
“Pemecatan hanya boleh dilakukan melalui undi tidak percaya di Parlimen atau melalui akuan bersumpah 112 ahli parlimen. Tiada cara lain melainkan Perdana Menteri hilang keupayaan untuk mentadbir dan beliau secara sukarela letak jawatan,
“Saya tidak nampak cara Mahathir akan berjaya. Saya rasa beliau hanya memainkan sentimen tersebut untuk rakyat terus menekan Najib meletak jawatan,” katanya lagi.
Mahathir, 90, yang menjadi perdana menteri selama lebih 22 tahun sejak tahun 1981, adalah antara pengkritik Najib yang paling lantang dan beliau sejak tahun lepas, menggesa supaya Najib meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan yang melibatkan deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu pada 2013
Pada 7 Mac lepas, Mahathir dan sebilangan besar bekas musuh politiknya melancarkan "Deklarasi Rakyat" yang menggesa supaya Najib disingkirkan secara aman, beliau sebelum itu, mengisytihar keluar daripada parti UMNO yang pernah diperintahnya.
Mahathir juga memfailkan saman terhadap Najib pada Rabu lepas, atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa serta mahu Perdana Menteri itu membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM2.6 bilion dan RM42 juta salah laku jawatan yang didakwa dilakukan semasa menyandang jawatan awam.
Najib yang mengambil alih kuasa pada 2009, menubuhkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun yang sama sebagai alat untuk merangsang pembangunan negara dimana Najib sendiri adalah Pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Pada Januari, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau, sebaliknya wang yang diterima Najib itu merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi, dengan sebahagian besar telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.
Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya.
Pada perhimpunan itu, Mahathir juga menggesa orang ramai menandatangani Deklarasi Rakyat tanpa perasaan takut kerana pentadbiran Najib “tidak mampu mengambil tindakan terhadap 1 juta orang” dengan lebih 150,000 telah berjaya dikumpul sejak dilancarkan 4 Mac lepas.
Semasa ucapan yang sama, bekas perdana menteri itu juga memaklumkan mengenai sebuah sekretariat khas yang akan dibentuk bagi menyelaraskan segala usaha untuk menukar kepimpinan Najib daripada pelbagai pihak walaupun berbeza ideologi politik.
‘Tindakan tatatertib’
Sementara itu, pemangku Timbalan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahli Majlis Tertinggi parti itu akan membuat keputusan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat akan datang berikutan kehadiran kedua-duanya pada pehimpunan berkenaan.
Muhyiddin yang tahu risiko beliau akan dipecat daripada UMNO kerana menghadiri perhimpunan itu berkata adalah menjadi haknya sebagai warganegara serta dijamin oleh Perlembagaan, sekalipun bekerjasama dengan pembangkang untuk menurunkan Najib.
“Itu hak saya sebagai warganegara untuk berhimpun dan mengambil bahagian. Mengikut Perlembagaan, tiada apa yang boleh menghalang saya. Saya sudah dipecat daripada kerajaan, saya digantung oleh parti (Umno). Apa yang lebih penting bukan kedudukan saya sebagai timbalan presiden Umno, tapi untuk menyelamatkan Malaysia,” tambah beliau