Ahli Politik, orang awam bidas kenyataan perkauman Mahathir Mohamad

Bekas PM semasa ditemuramah televisyen India memberi komen mengenai kesetiaan rakyat Malaysia bukan Melayu terhadap negara itu.
Iskandar Zulkarnain & Ili Shazwani Ihsan
2024.01.16
Kuala Lumpur
Ahli Politik, orang awam bidas kenyataan perkauman Mahathir Mohamad Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad menunjukkan kad keahlian sebagai penasihat Parti Putra di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, 1 Mac, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Beberapa pemimpin dari pelbagai aliran politik dan ramai kalangan pengguna media sosial membidas mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa kerana cuba mencetuskan perbalahan dengan mendakwa masyarakat India tidak setia sepenuhnya kepada negara Asia Tenggara tersebut.

Baru-baru ini, Mahathir dalam satu temubual dengan saluran satelit India mendakwa masyarakat India dan Cina masih ‘terikat’ dengan negara asal usul mereka, satu dakwaan yang disifatkan sebagai “tidak bertanggungjawab” oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memandangkan ia dilontarkan oleh ahli politik veteran yang telah mentadbir Malaysia selama lebih dua dekad.

‘Malaysia milik mereka yang telah membentuk Malaysia. Terdapat sebahagian dari mereka yang masih menganggap diri mereka sebagai masyarakat India atau Cina. Mereka langsung tidak bertutur dalam bahasa tempatan, mereka mempunyai sekolah, bahasa dan budaya mereka sendiri. Jadi mereka berbeza dengan kumpulan asal yang telah membentuk negara ini.

“Mereka mahu dikenali berdasarkan negara asal usul mereka. Jika mereka mahu menjadi rakyat Malaysia, mereka harus sedar bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dan bukannya migran dari negara lain. Masalah saya adalah mereka menuntut bahawa negara ini milik mereka,” ujar Mahathir dalam temubual berdurasi hamper 31 minit itu.

Dalam reaksinya, Anwar menempelak kenyataan bekas mentornya itu sebagai tidak bertanggungjawab dari seorang bekas pemimpin tertinggi yang paling lama memegang jawatan di negara berkenaan.

“Saya tidak anggap kenyataan Tun Mahathir itu relevan. Ia kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang mantan perdana menteri sekian lama, kemudian menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti.

“Dia memang terkenal. Bagi dia Melayu malas melainkan dia. India dan China kurang ‘loyal’ melainkan beberapa kroni dia. Kenyataan itu kita bantah keras. Saya ingat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media di Selangor pada Selasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan turut senada dalam membidas kenyataan Mahathir, yang menurutnya tidak mengambarkan kedudukan beliau sebagai seorang negarawan.

“Tun Mahathir, sepatutnya sebagai negarawan dia tidak patut mewujudkan isu sensitif, isu perkauman. Kalau kita tengok negara kita, semua rakyat Malaysia, semua yang duduk di Malaysia ini, mereka orang Malaysia.

“Saya India, tapi darah saya ini Malaysia. Saya lahir di sini. Kalau kita tengok jiran-jiran sebelah kanan sebelah kiri saya semua orang Malaysia.

“Nak cakap dia berkhidmat untuk negara, carilah askar-askar polis-polis yang sudah berkhidmat untuk negara ada yang memberikan nyawa untuk negara. Itu tak cukup bagi Tun Mahathir lagi nak bagi apa,” ujar Ahli Parlimen Sungai Buluh itu kepada media pada Selasa.

Perbuatan menghasut

S. Subramaniam, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat mantan perdana menteri itu di bawah Akta Hasutan dan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh 3R (Institusi raja, agama dan kaum).

Beliau mendakwa Mahathir sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman dengan mengeluarkan kenyataan yang membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

“Kita semua tahu, Dr Mahathir sering membuat kenyataan-kenyataan kontroversi untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa negara tetapi wawancara bersama Thanti TV dari negara India merupakan sesuatu yang sungguh memalukan sistem demokrasi negara kita.

“Kenyataan Mahathir Mohamad yang mengatakan masyarakat Cina dan India di negara kita tidak patriotik sama sekali tidak tepat. Kenyataan daripada seorang bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini, sungguh memalukan. Dr Mahathir Mohamad perlu disiasat di bawah Akta Hasutan dan 3 R,” tegas Subramaniam dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya lagi: “Kelakuan Mahathir Mohamad sungguh memalukan dan saya rela menolak perasaan hormat saya terhadap Mahathir Mohamad dan beliau tidak layak dianggap sebagai seorang negarawan.”

“Saya pasti kenyataan Mahathir Mohamad adalah dari sudut hatinya yang terpendam selama ini. Malah, ia bukan kali pertama bekas perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan memperkecilkan kaum Cina dan India.”

Mengulas mengenai desakan itu, Jabatan Siasatan Jenayah mengesahkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Mahathir.

Dalam pada itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Dominic Lau Hoe Chai menegaskan kenyatan Mahathir itu “adalah sangat memalukan” dan tidak sepatutnya datang daripada seorang bekas Perdana Menteri yang pada suatu ketika dulu membawa agenda Wawasan 2020.

“Ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah!

“Rakyat Malaysia perlu bersatu, menerima faktanya bahawa negara ini adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan, dan benih pemahaman dan silatuhrahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Polarisasi kaum

Para penganalisis politik menyifatkan kenyataan Mahathir itu bertujuan mewujudkan polarisasi kaum bagi mendapatkan sokongan kaum Melayu Bumiputera di negara itu.

“Dengan menyerang kaum-kaum minoriti, ia akan memaksa kerajaan untuk membela mereka, secara tidak langsung ia digunakan untuk menarik sokongan Melayu.

“Beliau berbuat demikian kerana retorik perkauman telah berakar. Beliau sedang mencambahkan polarisasi kaum,” ujar Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia kepada BenarNews.

Azmi Hassan, geostrategist Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bersetuju dengan pandangan bahawa Mahathir cuba meraih sokongan masyarakat Melayu.

“Beliau sedang cuba meraih sokongan orang Melayu. Kenyataan beliau diatur selari dengan strategi PAS (Parti Islam Se-Malaysia) untuk meletakkan kaum-kaum lain pada sudut pandang yang negatif, ini telah menjadi strategi PAS sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita sedia maklum yang Mahathir kini bekerjasama rapat dengan PAS di bawah Perikatan Nasional, beliau memilih ungkapan-ungkapan sedemikian atau melontarkan idea-idea yang tidak logik untuk meraih sokongan Melayu sebagaimana yang dilakukan oleh PAS dan PN,” katanya kepada BenarNews.

Para pengguna media sosial di Malaysia turut berkongsi kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap kenyataan Mahathir.

Hassan Mamat Hassan Chempaka berkata: “Kenyataan Tun M tiada apa-apa kecuali sekadar berpura-pura membela Melayu untuk mendapat simpati orang Melayu terhadap masalahnya sekarang.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Satar Mausu: “Mahathir lupa diri, senang je cakap. Tapi (masa) dia jadi PM dan manusia sokong dia, sebelum ini (termasuk) kaum Cina dan India. Dia pun dari India. Demi raih sokongan buat kenyataan tidak berasas, ini ke negarawan.

Seorang lagi pengguna media sosial Rongali Devadoo menyifatkan Mahathir berdendam dengan pentadbiran Anwar.

“Orang tua yang kecewa ini penuh dengan dendam terhadap Kerajaan Perpaduan dan bertindak menyebarkan racun,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna media sosial Teh Chin Cheng berkata: “Adalah sesuatu yang memalukan dan menyedihkan apabila mendengar seorang ahli politik terkenal pada tahap beliau mencetuskan sentimen perkauman melalui kenyataannya.. Kita semua rakyat Malaysia, Tun Mahathir sila fahami ini sehingga nafas anda yang terakhir.”

Minderjeet Kaur di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.