Najib Berjaya Batalkan Saman Mahathir Berhubung Dakwaan Salah Guna Kuasa

Hata Wahari
2017.04.28
Kuala Lumpur
170428-my-mahathir-620.jpg Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa ditemu bual dengan agensi berita AFP mengenai dakwaan rasuah melibatkan Perdana Menteri Najib Razak dan dana negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB] di pejabatnya di Putrajaya, 6 Disember 2016.
AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat membenarkan permohonan Perdana Menteri Najib Razak untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan dua bekas pemimpin UMNO berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Hakim Abu Bakar Jais yang membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan berkata Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah pegawai awam yang menyandang jawatan awam.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Najib untuk menolak saman itu dan memerintahkan Mahathir dan dua individu berkenaan membayar kos ganti rugi RM30,000 kepada Najib.

Pada 23 Mac tahun lalu, Mahathir serta bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin, 41, selaku plaintif  memfailkan saman terhadap Najib bagi dakwaan salah laku, dalam usaha mereka menyingkirkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri.

Mahathir, Khairuddin dan Anina juga menyaman Najib dengan meminta beliau membayar kepada kerajaan sebanyak RM2.6 bilion (US$681 juta) sebagai ganti rugi teladan dan RM42 juta (AS$10.1 juta) sebagai ganti rugi teruk atas dakwaan salah laku jawatan yang didakwa dilakukan semasa menyandang jawatan awam.

Salah laku jawatan itu didedahkan dalam siasatan terhadap salah laku kewangan di bawah kepimpinan Najib termasuk dakwaan salah laku berkaitan dengan dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Failkan rayuan

Sementara itu, peguam yang mewakili Mahathir, Hanif Khatri Abdulla ketika dihubungi BeritaBenar memberitahu, anak guamnya akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh yang dibenarkan untuk rayuan iaitu 30 hari.

Menurutnya, tuntuan yang dibuat oleh anak guamnya adalah berdasarkan kepada fakta bahawa pejabat "awam" atau pegawai "awam" ditentukan melalui sifat dan skop kerja atau tugas seseorang itu.

“Jika skop kerja atau  tugas adalah "awam", maka kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang. Hakim seolah-olah meletakkan penekanan kepada jawatan yang disandang dan bukan kepada jenis tugas atau tanggungjawab.

“Di sini, kami percaya Hakim telah terkhilaf dalam undang-undang dan fakta,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Hanif Khatri menambah kata, berdasarkan kepada keputusan  itu, tindakan undang-undang secara sivil atas salah laku oleh penjawat awam seperti setiausaha negeri, polis dan ahli bomba boleh diambil tetapi tidak pula bagi salah laku yang dibuat Perdana Menteri atau pun Menteri di dalam kapasiti jawatan mereka.

Dalam pada itu,  peguam Najib, Mohd. Hafarizam Harun ketika ditemui pemberita memberitahu, Hakim Abu Bakar membuat keputusan itu berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Interpretasi di mana Perdana Menteri tidak boleh dianggap sebagai pegawai awam walaupun bekerja dalam pejabat awam sebaliknya hanya sebagai anggota pentadbiran.

“Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen hanya anggota pentadbiran di pejabat awam,”katanya.

Menurutnya, hakim berkenaan mengakui keputusannya mungkin tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak tetapi beliau hanya mentafsir undang-undang.

“Hakim berkata mahkamah tidak boleh mempersoalkan perkara itu kerana ia adalah tugas Parlimen untuk membuat keputusan begitu.

“Mahkamah juga memerintahkan Mahathir dan dua lagi membayar kos RM30,000 kepada Najib dan hakim juga membatalkan saman berkenaan tanpa mendengar merit permohonan,” katanya pada Jumaat.

Najib turut diwakili peguam terkemuka, Cecil Abraham.

Mahathir, 90, yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003, adalah antara pengkritik Najib yang paling lantang. Sejak tahun lepas, beliau menerajui gesaan supaya Najib meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan terutamanya berhubung deposit wang sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya pada  2013.

Pada Januari tahun lepas, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap Perdana Menteri ditutup dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau.

Apandi berkata, wang sebanyak AS$681 juta itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya.

Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya.

Dana pelaburan negara, 1MDB, akan membayar AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) kepada sebuah firma yang berpangkalan di Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada keputusan timbang tara bagi menyelesaikan pinjaman yang gagal dilunaskan pada tahun lepas, kata Bursa Saham London pada Isnin.

1MDB akan membayar kepada International Petroleum Investment Co. (IPIC) dalam dua ansuran iaitu sebanyak $600 juta (RM2.6 bilion) pada 31 Julai dan 31 Dis mengikut syarat-syarat perjanjian itu yang diputuskan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London. Pertikaian itu dibawa ke mahkamah berkenaan tahun lepas.

Dana kendalian kerajaan Malaysia itu, yang sedang mengalami masalah kewangan, kini berdepan dakwaan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara selain terikat dengan dakwaan rasuah yang membelenggui Najib, yang menafikan sebarang salah laku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.