Bekas PM Malaysia Tubuh Parti Politik Baru Cabar Kerajaan Muhyiddin
2020.08.07
Kuala Lumpur , Malaysia
Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Jumaat mengumumkan penubuhan sebuah parti baru yang beliau dan anaknya bakal terajui dengan memaklumkan yang parti terbaru itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan, beberapa jam selepas permohonan mencabar keputusan penguguran keahlian parti yang pernah ditubuhkannya, BERSATU gagal.
Pengumuman mengenai pembentukan parti baru yang masih belum diberikan nama itu kata Mahathir akan memfokuskan kepada perjuangan Melayu, Bumiputera yang berasaskan semangat dan bukannya wang.
“Parti baru yang kami tubuhkan tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran – tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga dengan Perikatan Nasional, dengan asas perjuangan masih untuk menghapus rasuah dan kleptokrasi,” kata Mahathir semasa sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mahathir yang pernah memimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) telah menubuhkan BERSATU bersama Muhyiddin dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Najib Razak, yang terpalit dengan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016.
BERSATU adalah satu daripada empat parti komponen utama Pakatan Harapan, gabungan parti politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14 pada Mei 2018 dan telah membentuk kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, setelah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, pimpinan Najib, yang telah berkuasa selama 61 tahun.
Bagaimanapun, pakatan pemerintah yang dipimpin Mahathir Mohamad tumbang pada akhir Februari susulan pertikaian dalaman dan satu kerajaan baharu-Perikatan Nasional- yang tidak dipilih rakyat pimpinan Muhyiddin Yassin, yang mengambil alih kuasa pada awal Mac dan beliau sebagai Perdana Menteri ke-lapan.
Menyedari bahawa penubuhan parti baru itu akan menambahkan bilangan parti Melayu yang sedia ada dan memecahkan sokongan Melayu, Mahathir berkata apa yang dilakukan oleh beliau adalah sesuatu yang perlu kerana berhadapan dengan masalah luar biasa.
“Parti politik yang kami tubuh, BERSATU adalah bertujuan untuk menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Razak tetapi telah ‘dihijack’ oleh Presiden BERSATU. Sekarang perjuangan parti yang dihijack sudah dialih dari menentang dan menghapuskan kerajaan kleptokrasi kepada bekerjasama dan menghidup semula kerajaan kleptokrasi.
"Bahagian yang tidak dapat dihijack masih berpegang kepada perjuangan asal dan dengan itu terpaksalah kami bebaskan diri atau menjadi ahli parti yang baru,” tambah Mahathir yang berusia 94 tahun itu.
Mahathir dan anaknya Mukhriz yang juga Timbalan Presiden bersama tiga pemimpin kanan parti tersebut telah dipecat daripada parti yang ditubuhkannya melalui sepucuk surat rasmi pemecatan bertarikh 28 Mei lepas, yang dilihat oleh BeritaBenar.
Beliau kemudiannya menyaman Muhyiddin dengan memohon perisytiharan bahawa mereka masih ahil BERSATU yang sah, memegang jawatan dalam parti dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.
Bagaimanapun pada Jumaat, Mahkamah mengeluarkan keputusan dengan membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mengenepikan kesemua saman oleh Mahathir itu apabila Hakim Rohani Ismail dalam keputusannya berkata bekas Perdana Menteri dan beberapa plaintif lain tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan mahkamah.
"Sehubungan itu mahkamah tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar atau menentukan tuntutan plaintif," demikian menurut agensi berita nasional Malaysia – Bernama.
Parti baru susah bertahan
Penubuhan parti baru oleh Mahathir akan menambahkan lagi jumlah parti yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera dalam negara.
Selain daripada BERSATU, UMNO, PAS dan parti Warisan dari Sabah turut mempunyai kumpulan sasaran yang sama dengan parti politik kecil memperjuangkan kedua-dua kumpulan sasaran serupa di Sabah dan Sarawak.
Walaupun parti beliau berasaskan perjuangan untuk bangsa Melayu dan Bumiputera, Mahathir mengeluarkan satu janji bahawa mereka akan menjadi sebuah parti yang lebih inklusif serta berfahaman sederhana, di mana hak-hak bangsa lain untuk mendapatkan layanan adil juga akan dilindungi.
"Parti ini akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip. Dengan ini kami juga akan pastikan yang rakyat Malaysia dari kaum-kaum yang lain juga akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya," kata Mahathir dalam sidang media itu.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berkata bahawa parti baru yang ingin ditubuhkan Mahathir itu menyerupai BERSATU dan oleh itu ia adalah cermin kepada UMNO.
Beliau memberitahu BeritaBenar bahawa adalah menjadi sesuatu yang tidak mudah untuk parti baru itu dapat bertahan dalam arena politik Malaysia, memandangkan ianya dikatakan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan sedia ada.
"Ia adalah sesuatu yang menarik apabila visi parti baru ini adalah serupa dengan BERSATU, yang mana ia juga adalah bayangan kepada UMNO kerana matlamat penubuhan BERSATU sendiri adalah untuk menggantikan UMNO sebagai pejuang hak Melayu.
"Jadi ianya adalah bertepatan untuk menyatakan bahawa parti baru Mahathir ini, adalah sama dengan BERSATU dan juga UMNO. Saya mengharapkan sesuatu pembaharuan, tetapi ia adalah berbalik kepada pelan lama, “ kata Azmi dengan menambah parti baru itu berdepan kesukaran untuk bersaing memandangkan corak politik Malaysia bergantung banyak kepada sokongan ahli akar umbi.
"Dan dengan Pilihanraya Umum Ke-15 dijangka tiba dengan pantas, saya tak merasakan bahawa parti Mahathir ini akan mampu mengumpulkan ahli yang mencukupi untuk mempengaruhi senario politik negara," katanya.