Malaysia Tamat Perlantikan Mahathir Sebagai Penasihat Petronas

Razlan Rashid
2016.03.11
Kuala Lumpur
160311-my-petronas620 Ikon Malaysia, Menara Berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia, dapat dilihat melalui latar belakang logo syarikat minyak dan gas nasionalnya Petronas dari sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, 13 Ogos 2014.
AFP

Kabinet Malaysia sebulat surat menamatkan perkhidmatan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas, kerana tidak lagi menyokong kerajaan sedia ada, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

“Kabinet memutuskan, disebabkan Tun Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, jadi dengan itu, beliau tidak sewajarnya memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Petronas atau Petroliam Nasional Berhad adalah syarikat minyak dan gas milik kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1974 dan Mahathir telah mengambil alih peranan sebagai penasihat Petronas sebaik saja meletak jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 2003, selepas memimpin negara itu, lebih 22 tahun.

Mahathir yang mempunyai sebuah pejabat di Menara Berkembar Petronas, mercu tanda Kuala Lumpur, serta pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia, secara peribadi terlibat dalam usaha memacu perkembangan syarikat itu di luar negara selain sebagai jentera pembanguan ekonomi negara berkenaan.

Bekas perdana menteri berusia 90 tahun itu pernah meletak jawatan sebagai penasihat Petronas pada 2013 atas nasihat doktor berikutan keadaan kesihatannya, tetapi diminta Perdana Menteri Najib Razak untuk menimbang keputusannya itu dan terus berkhidmat.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, Mahathir menjadi suara paling lantang terhadap pentadbiran Najib yang masih dibelenggu dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas akhbar The Wall Street Journal membuat pendedahan dalam laporannya pada Julai tahun lepas.

Najib menegaskan beliau tidak mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadinya.

Akhir Febuari lepas, Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO, untuk kedua kalinya, sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Najib yang dicemari dengan skandal kewangan itu.

Pada tahun 2008, beliau pernah mengumumkan keluar dari parti terbesar di Malaysia itu, apabila hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri pada masa itu.

Selepas keluar dari UMNO baru-baru ini, Mahathir telah mengumumkan satu gabungan baru yang menggesa peletakan jawatan Najib, sebagai perdana menteri.

‘Deklarasi Rakyat’

Mahathir bersama 57 pemimpin lain dari seluruh spektrum politik dan sosial Malaysia, termasuk bekas musuh politik beliau, mengeluarkan "Deklarasi Rakyat" mengandungi 37 perkara yang mahu penyingkiran Najib daripada jawatannya.

Dokumen itu mengandungi senarai panjang dakwaan rasuah dan salah urus kewangan berhubung dengan dana pelaburan negara 1MDB dan syarikat-syarikat lain yang dikaitkan dengannya.

Najib yang mengambil alih kuasa pada 2009, menubuhkan 1MDB pada tahun itu sebagai alat untuk merangsang pembangunan. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB.

Dokumen itu juga mendakwa bahawa kerajaan Najib telah menyekat siasatan potensi pendakwaan rasuah terhadapnya, terutamanya yang berhubung deposit sebanyak RM2.08 bilion (US $ 681 juta) ke dalam akaun bank peribadinya semasa menjelangnya pilihan raya umum 2013.

Dalam pada itu, kenyataan dari pejabat Perdana Menteri mengenai penamatan pelantikan Mahathir menyebut "Kabinet hari ini telah membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas”

"Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pihak Petronas sebagai berkata, agensi minyak dan gas nasional negara itu menghormati sebarang keputusan kerajaan mengenai kedudukan penasihat syarikat berkenaan.

"Pelantikan penasihat Petronas adalah hak kerajaan Malaysia. Petronas menghormati sebarang keputusan dibuat kerajaan mengenai perkara itu," kata Petronas dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, media tempatan Malaysia melaporkan bahawa Petronas akan memberhentikan kira-kira 1,000 pekerjanya sejajar dengan langkah penyesuaian operasi bagi memastikan ia mampu bertahan dalam situasi harga minyak rendah ketika ini.

Kakitangan Petronas yang terlibat dalam penstrukturan semula syarikat itu dijangka ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) sebelum 1 April depan.

Timbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani berkata, tindakan itu melibatkan sektor perniagaan yang dilihat tidak berdaya maju berikutan penurunan harga minyak pada paras terlalu rendah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.