Mahathir dakwa PM Anwar rasis, sekat kebebasan Melayu suarakan hak
2023.03.20
Kuala Lumpur
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Isnin mendakwa Anwar Ibrahim seorang yang rasis dan menyekat kebebasan bersuara selepas penganjuran majlis berunsurkan Melayu nasionalis yang disifatkan kontroversi pada hujung minggu lalu terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Pembatalkan penganjuran majlis menandatangani manifesto oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebuah parti politik baharu yang bertujuan mengajak orang Melayu untuk bersatu terpaksa dibuat apabila pihak pengurusan sebuah pusat konvensyen tidak mahu majlis berkenaan diadakan di tempat mereka.
Sebaliknya majlis yang bertujuan mengajak orang Melayu untuk bersatu setelah terdapatnya peningkatan kegusaran dalam komuniti bahawa hak istimewa mereka akan terhakis di bawah kepimpinan kerajaan Anwar terpaksa dibuat di pejabat parti itu yang terletak di Kuala Lumpur dengan dihadiri kira-kira 50 ahlinya.
“Kerajaan Anwar telah memutuskan bahawa sesiapapun tidak boleh bercakap tentang bangsa dan agama. Jelas, undang-undang ini ditujukan kepada orang Melayu. Undang-undang ini sebenarnya rasis kerana ia menidakkan hak-hak orang Melayu.
“Bercakap tentang kaum berbilang bangsa dan agama dibolehkan. Ia dibolehkan kerana ia memberikan kelebihan kepada bangsa-bangsa lain. Ini juga rasis,” kata Mahathir dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Twitter pada Isnin.
Menurut bekas perdana menteri berumur 97 tahun itu, tindakan kerajaan menghalang Melayu untuk membincangkan masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian bagi permasalah itu adalah tidak demokratik dan anti-Melayu.
Perjumpaan yang digelar Proklamasi Orang Melayu itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad itu bagaimanapun menurut sumber terpaksa dibatalkan oleh pemilik premis setelah mendapat arahan dari ‘pihak atasan’.
BenarNews cuba untuk mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri berkaitan dakwaan bahawa pembatalan program itu adalah atas arahan kerajaan, bagaimanapun gagal, kerana tidak menerima sebarang maklum balas.
“Program digerakkan oleh Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu itu bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya ia hanya untuk menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah, disamping memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai situasi politik negara muktahir ini,” demikian menurut Pengerusi jawatankuasanya, Marzuki Yahya kepada BenarNews.
Program tersebut dijangka menghimpunkan sejumlah 2,000 peserta dan beberapa individu dijadualkan untuk memberi ucapan sebelum program ditamatkan dengan majlis menandatangani Proklamasi Orang Melayu disaksikan Mahathir.
Namun, setelah gagal untuk mendapatkan tempat baharu bagi menganjurkan program tersebut, pihak penganjur bertindak untuk menggunakan ibu pejabat Putra sebagai tempat program.
“Sebenarnya kerajaan tidak tahu apa yang akan disebut dalam perjumpaan itu. Deklarasi yang dikeluarkan itu juga tidak menyalahkan bangsa-bangsa lain. Ia menyalahkan pemimpin Melayu yang telah didapati bersalah mencuri wang Kerajaan, menggubah wang haram dan rasuah.
“Kalau benar Kerajaan betul-betul serius dalam menangani rasuah, ia sepatutnya membenarkan perhimpunan awam untuk perasmian deklarasi itu tetapi ini sebaliknya. Atas sebab itu, nampak Kerajaan tidak ikhlas dalam usahanya menentang rasuah,” kata Mahathir lagi.
Menurutnya sehingga setakat ini, kempen anti rasuah cuma memperlihatkan tindakan terhadap pemimpin parti pembangkang manakala yang ada di dalam kerajaan dan diketahui terlibat dalam perkara yang bertentangan dengan undang-undang tidak disiasat.
“Ini menunjukkan bahawa kempen ini adalah bertujuan untuk menyekat pemimpin pembangkang supaya tiada pembangkang kepada kerajaan dalam pilihan raya negeri nanti,” kata Mahathir lagi.
Selepas mengambil alih pentadbiran susulan kejayaan Pakatan Harapan pimpinan Anwar membentuk kerajaan dengan sokongan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan juga blok parti politik di Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri itu mengumumkan dasar kerajaan yang lebih bersifat telus dan menentang rasuah.
Anwar turut mengumumkan setelah meneliti beberapa dokumen bahawa ada yang tidak kena dengan dana yang dianugerahkan oleh kerajaan terdahulu di bawah program Jana Wibawa yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu kontraktor bumiputera semasa dan selepas pandemik COVID-19.
Ekoran dari pengumuman itu, beberapa individu termasuk Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8, Muhyiddin Yassin telah disiasat dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa dan juga pengubahan wang haram berkait Program Jana Wibawa.
Muhyiddin mendakwa ianya pendakwaan terpilih bagi mencemarkan imej beliau dalam menghadapi PRN nanti namun Anwar menafikannya.
Mainan politik
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri berkata laungan berkaitan hak Melayu tergugat cumalah retorik politik.
“Secara ringkasnya, hak orang Melayu tidak tergugat. Semuanya termaktub di bawah Perlembagaan. Tiada seorang pun atau mana-mana parti boleh mengubahnya,” kata Syaza kepada BenarNews sambil menambah itu cuma mainan politik pembangkang.
“Mereka tiada bahan lain yang boleh digunakan untuk menghentam kerajaan maka hampir setiap kenyataan atau perdebatan di Parlimen adalah berkaitan bangsa dan agama. Rakyat akhirnya percaya naratif mereka bahawa Melayu terancam dan ini seterusnya menaikkan sentimen bangsa.
“Kalaulah orang politik berhenti menggunakan isu bangsa dan agama, tiada siapa pun dapat membezakan kerajaan sekarang ini dengan yang terdahulu,” kata beliau lagi.
Dari sudut pandangan Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun pula, Mahathir mengatakan hak orang Melayu terancam kerana politik orang Melayu itu terlampau berpecah dan kerana itu hak dan kuasa orang Melayu akan terhakis.
Menurut Oh, yang bangkit sekarang bukanlah sentimen bangsa Melayu tetapi Islam.
“Ia adalah selari dengan peningkatan di seluruh dunia yang tampak terlihat di negara-negara majoriti Islam yang lain seperti Indonesia dan Afghanistan. Tetapi di Malaysia ini, bangsa dan agama sengaja dihangatkan terutamanya dalam kalangan orang Melayu jadi ia memberikan peningkatan dalam impresi bahawa ia adalah peningkatan gelombang sentimen Melayu.
Anwar pada Jumaat telah memberikan amaran bahawa kerajaannya tidak akan memberikan peluang kepada sesiapa pun untuk menaikkan suhu perkauman dan agama yang boleh menganggu keamanan dan keselamatan dalam negara.
Beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk memantau dan mengambil tindakan yang tegas bagi menangani individu yang terus berdegil menganggu gugat hubungan antara kaum dalam negara itu.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.