Tiada Kompromi Kepada Menteri, Ketua Kerajaan Sabit Rasuah, kata Mahathir

Hadi Azmi
2018.08.15
Kuala Lumpur, Malaysia
180815-MY-Mahathir-Rasuah620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad semasa berucap pada Majlis Town Hall Perdana Menteri bersama warga Pegawai Tadbir dan Diplomatik [PTD] di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya [PICC], Putrajaya, 15 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Khamis memberi amaran kepada anggota kabinet dan ketua jabatan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mereka yang didapati terlibat dengan perbuatan rasuah dan penyelewengan, dengan perkhidmatan mereka akan ditamatkan, sekiranya didapati bersalah.

Pemimpin berusia 93 tahun itu juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak menurut perintah pihak atasan secara membabi buta jika ianya bertentangan dengan undang-undang.

“Bila rasuah sudah menjadi sebahagian daripada mereka, maka tiada lagi ubat untuk memulihkannya kerana pihak berkuasa yang sepatutnya melihat perkara tersebut turut korup,” kata Mahathir semasa berucap di Majlis Town Hall Perdana Menteri bersama warga Pegawai Tadbir dan Diplomatik [PTD] di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya [PICC], Putrajaya, pada Selasa.

Beliau menambah, “Kalau ada pemimpin kerajaan yang menunjukkan tauladan tidak baik mereka perlu keluar daripada perkhidmatan awam, tiada kasihan, tiada pertimbangan, tiada perlindungan, buat salah kita tolak kerana kita hendak tunjuk tauladan baik,"

Perdana Menteri itu turut mengingatkan pegawai kerajaan mengenai ketaatan mereka terhadap kerajaan ada hadnya.

“Kesetiaan tidak sehingga bersekongkol untuk melakukan jenayah. Jika saya menyuruh kamu membunuh seseorang, kamu buat tak?” Mahathir bertanya kepada yang hadir yang kemudiannya disambut dengan jawapan tidak.

Mahathir turut memaklumkan bahawa dalam pemerhatiannya terhadap sesetengah pegawai kerajaan, ada yang sanggup melanggar undang-undang apabila disuruh menyembunyikan bukti, contohnya, yang jelas satu perbuatan salah bagi seseorang pegawai tertinggi, dan memaksa orang bawahan turut sama bersekongkol dengan mereka.

“Ini adalah salah. Anda tidak perlu ikut semua arahan dan hanya perlu mengikut arahan yang berpandukan kepada prinsip kerajaan,” kata perdana menteri itu.

Mereka yang hadir memberitahu BeritaBenar bahawa mereka anggap Mahathir hanya berseloroh ketika bercakap mengenai negara China.

“Tapi secara dasarnya perdana menteri mahu semua mengambil serius tentang rasuah dan kita ambil maklum,” menurut seorang pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

Beliau yang tidak mahu namanya dikenali berkata beliau menjadi lebih bersemangat selepas mendengar ucapan Mahathir yang menekankan apa yang beliau jangkakan dari pegawai kerajaan.

“Mahathir turut menekankan tentang polisi kerajaan baharu yang bersih, cekap dan amanah,” kata pegawai tersebut.

Mahathir yang menentang keras rasuah setelah kembali berkuasa ekoran kejayaan kempen pilihanraya terhadap mantan perdana menteri yang dikatakan korup, turut bergurau dengan mereka yang hadir bahawa “beliau tidak kisah mencontohi negara China dalam mengendalikan isu korupsi.

Sejak Presiden Xi Jinping mengambil alih kuasa pada 2012, Beijing telah menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah kes rasuah. Yang terbaru adalah pada 29 Mac di mana seorang Timbalan Datuk Bandar dijatuhkan hukuman mati kerana menerima rasuah bernilai RM656 juta pada 2014.

Walaupun tiada data rasmi yang dikeluarkan, badan bukan kerajaan Amnesty International melaporkan, sekurang-kurangnya 931 individu dijatuhkan hukuman mati di antara tahun 2014 dan 2016 dan ini termasuk kes yang melibatkan rasuah.

Walaubagaimanapun, Mahathir berkata idea beliau ditolak  menteri kabinet setelah usul itu dibawa di dalam mesyuarat.

Perdana Menteri yang berada di Jepun dalam rangka lawatan kerja ke negara matahari terbit itu minggu lepas turut membandingkan budaya Jepun hara-kiri atau bunuh diri terhormat sebagai satu tanda untuk mendapatkan semula maruah seseorang itu berbanding budaya di Malaysia dengan berkata “bila seseorang itu dikatakan pencuri, mereka akan tersenyum.”

Transparency International turut meletakkan Malaysia di nombor 62 disamping negara Cuba dalam Indeks Persepsi Rasuah 2017 jatuh dari tangga 55 sebelum itu.

Menurut data dari Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, seramai 191 pegawai kerajaan telah ditahan bersabit rasuah tahun ini dengan 64 tangkapan daripada keseluruhan dilakukan di antara Mei dan Julai selepas Mahathir kembali berkuasa.

Sejak minggu pertama Ogos, SPRM dilaporkan sedang menyiasat kemungkinan adanya unsur rasuah berkaitan seorang pegawai Menteri Pertahanan, bekas ahli politik, dua pegawai tentera laut, 17 pegawai keselamatan di Jabatan Perdana Menteri. Seorang pegawai di Majlis Amanah Rakyat MARA), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menolong rakyat negara yang miskin dengan memberikan dana untuk mendapatkan kemahiran, telah ditangkap.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.