Malaysia: Mahathir, Seteru Bersatu Gesa Penyingkiran PM Najib
2016.03.04
Kuala Lumpur
Kemaskini pada 5.30 petang, ET - 2016-03-07
Bekas perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Jumaat mengumumkan satu gabungan baru, merangkumi bekas musuh politiknya, yang menggesa perletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak, yang dibelenggui dakwaan rasuah.
Mahathir dan 57 pemimpin lain dari seluruh spektrum politik dan sosial Malaysia, mengeluarkan "Deklarasi Rakyat" mengandungi 37 perkara yang mahu penyingkiran Najib daripada jawatannya.
"Gerakan ini akan menyaksikan terbitnya fajar baru bagi usaha pembaharuan menyeluruh dalam sistem negara yang lumpuh di bawah kepimpinan Najib," kata Malek Maszlee, profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BeritaBenar.
Namun, bagi memastikan kejayaan gerakan baru itu, kumpulan itu yang diketuai oleh Mahathir perlu menghimpunkan momentum secukupnya bagi melaksanakan perjuangannya, kata beliau.
"Rakyat juga mahukan jaminan" bahawa, sekiranya Najib disingkirkan sebagai PM tanpa keganasan, beliau tidak akan digantikan oleh seorang pemimpin "yang akan melakukan lebih banyak masalah selepas itu," kata Malek.
Ahmad Atory Hussain, saintis politik dan bekas profesor di Universiti Sains Malaysia, pula menyifatkan gerakan baru itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku.
"Saya tabik kepada Mahathir kerana semua pemimpin pembangkang yang memusuhinya sejak sekian lama, kini mengikuti belakangnya. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Ahmad kepada BeritaBenar.
Namun, beliau menyuarakan keraguannya sama ada gerakan itu boleh membawa perubahan politik di negara itu.
Pada pandangannya, Najib kekal mantap dan bukannya mudah untuk menggantikan beliau kerana beliau mendapat sokongan daripada 3.3. juta ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - parti yang mengetuai gabungan yang memerintah Malaysia selama hampir 60 tahun - dan Mahathir baru sahaja bertindak keluar daripada parti itu sebagai tanda protes berhubung skandal rasuah di bawah kepimpinan Najib.
"Saya yakin beliau [Najib] mampu mengawal masalah ini. Bagi saya, beliau akan dapat menyelesaikan isu ini," kata Ahmad.
'Berlaku kerosakan'
Pada Jumaat, Mahathir dan pelbagai ahli politik yang menjadi seterunya semasa beliau berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur di mana mereka mengumumkan satu deklarasi bersama.
"Kami ingin menarik perhatian rakyat Malaysia kepada kerosakan yang dilakukan kepada negara ini di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato 'Sri Najib Tun Razak," kata deklarasi itu di bahagian awalnya.
Dokumen itu mengandungi senarai panjang dakwaan rasuah dan salah urus kewangan berhubung dengan dana pelaburan negara yang dibelenggui masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat lain yang dikaitkan dengannya.
Najib yang mengambil alih kuasa pada 2009, menubuhkan 1MDB pada tahun itu sebagai alat untuk merangsang pembangunan. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB.
Dokumen itu juga mendakwa bahawa kerajaan Najib telah menyekat siasatan potensi pendakwaan rasuah terhadapnya, terutamanya yang berhubung deposit sebanyak RM2.08 bilion (US $ 681 juta) ke dalam akaun bank peribadinya semasa menjelangnya pilihan raya umum 2013.
Minggu ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa deposit keseluruhan itu sebenarnya melebihi US$1 bilion dan wang mula disalurkan ke dalam akaun Najib seawal 2011. Menurut akhbar itu, para penyiasat dunia percaya bahawa "kebanyakan adalah berpunca" daripada 1MDB.
Najib telah menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang daripada $681 juta itu untuk kepentingan peribadi. Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia membersihkan PM daripada potensi pertuduhan rasuah, dan berkata wang itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Memandangkan berapa siri skandal 1MDB menyelubungi Najib, "hari ini imej Malaysia amat buruk sekali," kata deklarasi itu yang ditandatangani oleh Mahathir dan 57 orang yang lain.
“Selain diklasifikasikan antara 10 negara paling korup, Malaysia juga dianggap tidak demokratik,” kata deklarasi itu.
“Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup dalam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis Keselamatan Negara digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan (bukannya Yang di-Pertuan Agong) kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan di mana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa di bawah prosedur yang melanggar batas keadilan yang diterima.
Ia berakhir dengan gesaan supaya Najib disingkirkan sebagai perdana menteri "menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan," serta semua mereka yang "bersekongkol bersama-sama dengannya."
Dokumen itu turut menggesa pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian yang "jelas melanggar hak-hak asasi" yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan pemulihan integriti institusi-institusi, yang didakwanya, telah dilemahkan di bawah kepimpinan Najib seperti polis diraja Malaysia, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
'Gesaan diadakan pilihan raya umum'
Semasa beliau berkuasa, Mahathir sendiri terkenal dengan gaya tadbir urus autokratik.
Selepas Mahathir dan sekutu barunya mengeluarkan deklarasi mereka, Pejabat Perdana Menteri membalasnya dengan kenyataan yang menolak gesaan supaya Najib disingkirkan serta merta.
"Hari ini, Tun Mahathir dan bekas musuh beliau telah mempamerkan oportunisme dan keadaan terdesak mereka dalam politik,” kata pejabat Perdana Menteri.
“Mekanisme untuk menukar kerajaan dan perdana menteri sudah sedia ada. Ia dikenali sebagai pilihan raya umum. Dan, ia adalah satu-satunya mekanisme yang sah di sisi undang-udang, demokratik dan memenuhi kehendak rakyat," kata pejabat PM.
Antara bekas seteru Mahathir yang menyertai beliau dalam melancarkan gerakan "Selamatkan Malaysia" ialah Hishamuddin Rais, aktivis yang dipenjarakan semasa kerajaan Mahathir di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang tidak lagi berfungsi kini, dan Lim Kit Siang, ketua pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) .
Kit Siang memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengetepikan permusuhan lampaunya dengan Mahathir yang berusia 90 tahun, dan memberi tumpuan untuk bekerja dengan bekas perdana menteri itu serta tokoh-tokoh lain "bagi menyelesaikan masalah 30 juta rakyat di negara ini yang berhadapan dengan pelbagai isu seperti ekonomi, harga barangan yang tinggi, inflasi dan sebagainya. "
Deklarasi itu dikeluarkan sehari selepas ketua pembangkang yang sedang dipenjara Anwar Ibrahim - seorang lagi musuh ketat Mahathir - mengumumkan sokongannya terhadap beliau dan yang lain yang cuba menyingkirkan Najib dari tampuk kuasa.
Namun, walaupun timbalan presiden parti Anwar menghadiri sidang akhbar itu pada Jumaat, ia tidak jelas sama ada Anwar berhasrat meletakkan tanda tangan beliau pada dokumen itu.
Apabila ditanya sama ada beliau akan berkempen supaya Anwar dibebaskan dari penjara atas sabitan liwat, Mahathir memberitahu pemberita, "Fokus kami ialah menyingkirkan Najib."