Dua lelaki Mengaku Bersalah Dalam Serangan Bom Tangan Kelab Malam

Fahirul N. Ramli & Haireez Azeem Azizi
2016.07.25
Kuala Lumpur
160725-MY-suspects-620.jpg Anggota polis sedang membawa Imam Wahyudin Karjono (depan) dan Jonius Ondie keluar daripada Mahkamah Petaling Jaya, 25 Julai 2016.
[Fahirul N. Ramli/BeritaBenar]

Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, hujung bulan lepas, mengaku bersalah pada Isnin manakala empat yang lain didakwa atas peranan mereka dalam serangan keganasan pertama yang berjaya dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam yang dipanggil (IS) di bumi Malaysia

Penganggur yang dikenali sebagai Imam Wahyudin Karjono, 21, dan seorang operator kilang Jonius Ondie alias Jahali, 24, menghadapi lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, termasuk cubaan membunuh lapan pelanggan yang cedera, dan pemilikan senjata api yang terikat dengan penggunaan bom semasa serangan itu.

Kedua-dua mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman. Mereka kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan, enggan bercakap apabila Azhaniz bertanya sekiranya mereka mempunyai apa-apa untuk dinyatakan  kepada mahkamah.

Kedua-dua mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah dengan mahkamah menetapkan 21 September ini, untuk menjatuhkan hukuman.

Dalam serangan pada 28 Jun lepas di kelab malam Movida di Puchong, yang terletak di selatan ibu negara Kuala Lumpur itu, telah menyebabkan lapan orang cedera semasa mereka sedang menonton perlawanan bola sepak Euro 2016.

Dalam tempoh beberapa jam selepas serangan itu, Abu Hamza Al-Fateh, seorang lelaki Malaysia yang dikenali sebagai Muhammad Wanndu Mohamed Jedi, yang sedang berjuang di Syria untuk IS mencatatkan mesej di laman Facebook beliau, mendakwa anggota kumpulan pengganas itu yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Pihak berkuasa pada awalnya berkata persaingan perniagaan di kalangan samseng tempatan merupakan motif serangan berkenaan tetapi pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa IS adalah dalangan dalam serangan itu.

Empat lain didakwa

Empat lagi yang dipercayai membantu dalam serangan berkenaan didakwa di tiga buah mahkamah iaitu di Klang, Kuala Lumpur dan Ampang pada Isnin.

Di Klang,  Mohmad Zaimi Mohmad Isa dan Roshelmyzan Husain, kedua-duanya berusia 31, didakwa dengan masing-masing dua pertuduhan kerana memberi sokongan kepada dua rakan mereka yang melakukan serangan itu.

Mohmad Zaimi telah dituduh melindungi Jonius Ondie daripada ditahan pihak berkuasa, yang diketahuinya melakukan keganasan pada 29 Jun itu. Roshelmyzan pula didakwa dengan pengetahuan mencari sokongan bagi kedua-dua rakan pengganas melalui aplikasi Telegram melalui telefon bimbitnya.

Di Kuala Lumpur, seorang penghantaran surat syarikat insurans, Fazar Nor Md Reduan, 32, didakwa dengan dua pertuduhan memberikan sokongan melalui aplikasi Telegram menerusi telefon bimbitnya manakala di Ampang, Mohd Asrol Mohamad, 29, menghadapi tuduhan yang sama juga berkaitan dengan aplikasi Telegram.

Penahanan pada Sabtu

Sementara itu, polis menahan seramai 14 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan pada Sabtu lepas, di mana seorang daripadanya dikatakan mempunyai pengetahuan bagaimana untuk membuat bahan letupan (IED).

Polis tidak menamakan kesemua mereka tetapi berkata mereka berusia antara 20 dan 49 tahun.

"Salah seorang daripada mereka mengakui bahawa beliau menerima arahan daripada Wanndy untuk membuat bahan letupan IED untuk serangan yang dirancang di Lembah Klang itu. Beliau juga telah berkongsi pengetahuan cara-cara untuk membuat IEDs melalui aplikasi Telegram dengan ahli IS yang lain, "kata Khalid.

Mengikut statistik polis Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 222 individu dengan disyaki mempunyai kaitan dengan IS, 71 daripada mereka telah didakwa di mahkamah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.