Mahkamah Rayuan Malaysia perintah haramkan semula buku “Gay is Ok!”

Keputusan panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah khilaf dalam memihak kepada penerbit dan penulis buku tersebut.
Iskandar Zulkarnain & Minderjeet Kaur
2023.09.25
Kuala Lumpur
Mahkamah Rayuan Malaysia perintah haramkan semula buku “Gay is Ok!” Seorang wanita sedang membaca buku laporan berjudul "I Don’t Want to Change Myself: Anti-LGBT Conversion Practices, Discrimination, and Violence in Malaysia", yang dikeluarkan oleh Human Rights Watch dan Justice For Sisters di Chow Kit, Kuala Lumpur, 10 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Isnin telah menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kembali mengharamkan buku “Gay is Ok! A Christian Perspective” yang telah diharamkan oleh Kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya pada 2020.

Kumpulan hak asasi negara berkenaan pula mendakwa keputusan terbaharu itu merupakan satu lagi petanda peningkatan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ di negara tersebut.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa di New York telah menegaskan bahawa pentadbirannya tidak akan mengiktiraf hak LGBTQ, namun pada masa sama tidak membenarkan gangguan ke atas komuniti tersebut.

Kumpulan aktivis hak asasi berterusan mengingatkan yang tindakan diskriminasi berpotensi membawa kepada keganasan dan gangguan.

Hakim Mahkamah Rayuan Wong Kian Kheong semasa menyampaikan keputusan majoriti 2-1 berkata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah khilaf dalam membuat keputusan dan membatalkan pengharaman yang dibuat kerajaan pada tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau dan Hakim Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim juga telah meneliti kandungan buku bertajuk “Gay is OK! A Christian Perspective” secara keseluruhan.

“Berdasarkan kepada penilaian objektif, kami berpuas hati bahawa keseluruhan isi kandungan dan tajuk buku tersebut memberi gambaran umum bahawa gaya hidup homoseks tidak dilarang oleh agama Kristian.

“Kami turut berpuas hati bahawa seorang menteri yang bersikap munasabah akan membuat keputusan bahawa berkemungkinan buku itu adalah prejudis terhadap ketenteraman awam, moral and kepentingan awam,” ujarnya lagi ketika mengumumkan keputusan membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Wong dan Azizah memutuskan tindakan Menteri Dalam Negeri adalah sejajar dengan undang-undang, rasional dan tidak melanggar keadilan semula jadi.

Menurutnya, Menteri Dalam Negeri membuat justifikasi yang betul dengan mengeluarkan perintah larangan berlandaskan kepada Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 jika berpendapat ia mungkin memprejudiskan kepada ketenteraman awam walaupun tiada apa-apa yang berlaku selepas tujuh tahun buku tersebut berada di pasaran.

Justeru, kedua hakim berkenaan telah membuat keputusan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah pengharaman keatas buku tersebut yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 27 November 2020.

“Saya bersetuju dengan dapatan dan keputusan Hakim Wong. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah dengan ini diketepikan,” ujar Azizah.

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan kos RM15,000 (AS$3,201) dibayar kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan.

Dalam keputusan yang bertentangan seorang lagi ahli panel hakim, Hakim Gunalan Muniandy berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menggunapakai prinsip undang-undang yang relevan apabila memutuskan pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri perlu diketepikan kerana ia dibuat tanpa rasional dan melanggar keadilan semulajadi.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi adalah betul apabila memutuskan fakta asas kes tersebut, termasuk fakta bahawa buku itu telah diterbitkan tujuh tahun sejak September 2013.

“Tidak ada sebarang bukti laporan yang buku itu mengancam ketenteraman awam atau moral ataupun bercanggah dengan kepentingan awam, serta tiada bukti respon negatif oleh orang ramai terhadap isu homoseks dalam buku itu,” ujar Gunalan ketika membaca hujah penghakimannya.

Cabar perintah pengharaman

Buku “Gay is OK! A Christian Perspective” itu dikarang oleh Ngeo Boon Lin dan diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise pada September 2013.

Pada November 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan percetakan, penerbitan, impot, jualan, agihan dan pemilikan di seluruh Malaysia atas alasan kemungkinan ia berprejudis terhadap ketenteraman awam, moral dan kepentingan masyarakat.

Pada 17 Februari 2021, Chong Ton Sin bagi pihak Gerakbudaya Enterprise dan Ngeo telah menfailkan saman melalui permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pengharaman buku tersebut dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 22 Februari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin telah mengetepikan pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri.

Bagaimanapun pada Mac tahun lalu, Menteri Dalam Negeri dan Putrajaya telah menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam reaksi kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin, peguam Edmund Bon berkata beliau akan merujuk kepada anak guamnya untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

Undang-undang disalahgunakan

Wathshlah Naidu, pengarah eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ) menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak selari dengan agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar selama ini.

“Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 disalahgunakan dengan berleluasa bukan sahaja terhadap golongan LGBTQ tetapi juga digunakan dengan sewenang-wenangnya.

“Seksyen 7 akta itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan tidak selari dengan agenda reformasi. Ia bertentangan dengan hak asasi. Keseluruhan akta itu adalah berkenaan tapisan. Bagaimana ini selari dengan agenda reformasi beliau?” ujarnya kepada BenarNews.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Anwar tidak menunaikan janji Pakatan Harapan pada 2018 untuk memansuhkan akta tersebut yang menyekat kebebasan bersuara setelah memperolehi kuasa.

Wathshlah bagaimanapun menyambut baik pendirian Anwar untuk tidak menyokong sebarang bentuk gangguan ke atas komuniti LGBTQ dengan menegaskan bahawa kewujudan akta tapisan dan undang-undang lain yang mendiskriminasi individu LGBTQ perlu dimansuhkan.

“Kalau bercakap dengan golongan konservatif, mereka akan berkata perkara yang sama seperti Anwar tiada gangguan, tiada keganasan fizikal.

"Kami amat menghargainya tetapi kewujudan akta tapisan serta undang-undang lain yang mendiskriminasikan golongan LGBT akan secara automatik mewujudkan ruang untuk satu lagi bentuk diskriminasi yang boleh membawa kepada keganasan dan gangguan,” katanya.

Thilaga Sulathireh, pengasas Justice for Sisters berkata persepsi terhadap golongan LGBT memperlihatkan mereka sebagai ancaman kepada masyarakat.

“Kumpulan majoriti sedang memijak-mijak hak kumpuan minoriti. Ini menunjukkan kemerosotan tahap moral masyarakat.

“Kita tidak boleh hidup dalam masyarakat di mana kita hanya mampu melihat kumpulan minoriti dipinggirkan di depan mata sendiri. Di mana sifat moral?

“Kumpulan minoriti seperti kami tidak mendapat sokongan yang diperlukan. Ia menyebabkan semakin sukar untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya,” katanya kepada BenarNews.

Tolak iktiraf LGBTQ

Anwar dalam satu temubual dengan agensi berita CNN di New York minggu lalu mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf LGBTQ sebagai menghormati konsensus rakyat yang ujarnya tidak mahu unsur LGBTQ dipaparkan secara terbuka.

“Penganut agama Islam, bukan Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, mereka semua mempunyai konsensus dalam negara. Mereka tidak menerima ini (LGBTQ),” ujarnya dalam temubual oleh Christine Amanpour.

Anwar berkata demikian apabila menjelaskan keputusan Kementerian Dalam Negeri menyerbu 11 butik jam jenama Swatch dan merampas koleksi jam bertemakan warna pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBTQ.

Pada Ogos lalu, kementerian itu mengeluarkan perintah mengharamkan penjualan, penerbitan termasuk kotak, pembalut, aksesori dan apa-apa berkaitan dengan jam yang bertemakan LGBTQ.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata produk berkenaan cenderung untuk mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ yang tidak diterima oleh masyarakat umum negara berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.