Hina Sultan Selangor, Bekas Pemimpin PKR Didakwa

Hata Wahari
2018.04.13
Shah Alam, Selangor
180413-MY-CheguBard1000.jpg Pegawai polis sedang bertugas di luar bangunan Kompleks Mahkamah Shah Alam, di luar Kuala Lumpur, 28 Julai 2017
AP

Mahkamah Malaysia pada Jumaat mendakwa bekas pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat [PKR] kerana mengeluarkan satu kenyataan berbaur hasutan mengenai institusi di raja Selangor melalui laman media sosial Facebook beliau, awal tahun ini.

Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Beliau yang diwakili oleh peguam Muhammad Nor Izzat Nordin membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rihaida Rafie.

Badrul Hisham didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948(Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama. Jika didapati bersalah, Badrul Hisham boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau ke dua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan artikel itu menerusi FB miliknya di Seksyen 7, Shah Alam, pada 11 Januari lalu jam 5 petang.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan pasport antarabangsanya ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan kerana Badrul Hisham sepatutnya hadir untuk didakwa di mahkamah pada Khamis tetapi gagal untuk berbuat demikian. Beliau juga tidak dapat dihubungi.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nor Izzat memohon agar jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 hingga RM5,000.

Hakim kemudian memutuskan ikat jamin sebanyak RM6,000 dan meminta Badrul Hisham menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah untuk simpanan.  Kes tersebut akan disebut semula pada 16 Mei depan.

Badrul Hisham dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah pada jam 4 petang Jumaat.

Badrul Hisham di dalam FBnya pada malam Khamis telah menulis satu kenyataan bahawa beliau telah ditahan polis ditepi jalan dan akan dibawa ke Pejabat Polis Daerah Shah Alam seterusnya didakwa keesokan harinya.

Badrul Hisham merupakan antara watak yang lantang bersuara tentang pentadbiran Kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.  

Mahkamah yang sama pada 9 April lepas menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas seorang penceramah agama setelah mendapatinya bersalah mengeluarkan kata-kata yang menghina Sultan Selangor berkaitan dengan isu keagamaan.

Penceramah agama, Wan Ji Wan Hussin , 35 dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan oleh hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail.

Wan Ji, yang juga Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bebas dengan  ikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu proses rayuan.

Wan Ji, yang juga seorang pemimpin dalam Pemuda Parti Keadilan Rakyat [PKR] didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada jam 10 pagi 5 November 2012.

Beliau kemudiannya didakwa pada 10 September 2014 kerana menyebarkan catatan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook atas nama wanji.attaaduddi.

Pada Oktober 2017, Seorang pelajar tingkatan enam didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak setelah mengaku bersalah mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Perak di laman sosial.

Majistret Siti Hafizah Jaafar turut menjatuhkan hukuman denda atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, ke atas pelajar lelaki sebuah sekolah di Muar, Johor.

Tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Twitter, dan membuat dan menghantar komen biadap terhadap baginda dengan niat untuk menyakiti hatinya.

Pelajar tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Baru Medan Ipoh, Perak pada jam 10.30 malam pada 13 Oktober lalu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.