Mahkamah: Dua Pengarah Syarikat Bekal Daging Sejuk Beku Mengaku Tidak Bersalah

Pasangan pemilik syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor itu didakwa atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan sah.
Nisha David
2020.12.30
Kuala Lumpur
Mahkamah: Dua Pengarah Syarikat Bekal Daging Sejuk Beku Mengaku Tidak Bersalah Seorang penjual daging sedang menunggu pelanggan di gerainya di sebuah pasar di kawasan Chowkit di Kuala Lumpur, 26 Mac 2010.
AFP

Dua pengarah syarikat pembekal daging mengaku tidak bersalah di sebuah mahkamah di Johor selepas menjadi individu pertama didakwa kerana menggunakan logo halal tanpa diperakui halal, di tengah-tengah siasatan pihak berkuasa berhubung skandal penipuan daging tersebut yang mencetuskan kegusaran dikalangan orang Islam di Malaysia.

Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, yang diwakili Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kasim, 42, yang merupakan pemilik syarikat Raihanah Enterprise membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Baharu Mohd Haldar Abd Aziz, pada Rabu.

"Mengikut pertuduhan pertama, Raihanah Cold Storage Sdn Bhd didakwa telah memperakui perkhidmatan yang berhubung dengan makanan adalah halal dengan menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa dengan sebuah lori jenama Isuzu," kata jurubahasa ketika membacakan pertuduhan dalam Bahasa Melayu.

Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di di Taman Perniagaan Setia, Johor kira-kira jam 1 petang, pada 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM500,000.

Bagi pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat Raihanah Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah lori model Mitsubishi di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, T Ashivinii memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi dan RM50,000 kerana kes logo halal itu mendapat liputan meluas media di samping dibincangkan di Parlimen.

Peguam Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan.

Mohd Haldar kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 setiap seorang.

"Saya menetapkan 19 Januari depan bagi sebutan semula kes," kata Mohd Haldar.

Penubuhan RCI

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal merupakan satu langkah terbaik.

"Saya juga menyambut baik hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zulkifli berkata, beliau berharap agar usaha tersebut akan dipermudahkan demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.

Terdahulu, kerajaan bersetuju dan menyokong penuh penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi tujuan tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, Jawatankuasa Perundangan Khas Halal telah ditubuhkan bagi membuktikan kerajaan memandang serius terhadap isu kartel daging haram.

Polis Malaysia pada Selasa berkata siasatan terhadap dakwaan berhubung skandal memalsukan status halal daging import bermungkinan melibatkan pegawai di beberapa agensi kerajaan dan sindiket transnasional.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata aktiviti penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel serta membabitkan pemalsuan logo halal di negara berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian luas dan didalangi sindiket dalam serta luar negara.

Isu memalsukan status halal daging import ke Malaysia mula disiarkan oleh akhbar tempatan, Sinar Harian pada 30 November lalu, dalam laporan itu dinyatakan, pengangkutan mengimport daging sejuk beku tanpa kelulusan pihak berkuasa membawa kepada serbuan di sebuah gudang simpanan daging import pada 1 Disember di Senai, Johor.

Berdasarkan laporan itu, operasi oleh pihak berkuasa mendapati daging sejuk beku tanpa kelulusan halal dari luar negara diseludup masuk dan dibungkus semula dan diedarkan sebagai daging halal.

Sindiket yang didakwa wujud dan beroperasi sejak 40 tahun dengan purata import bulanan lebih kurang 300 hingga 400 kontena yang setiap satu mampu memuatkan 25 tan daging.

Ia melibatkan daging tidak sah halal dari Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia, China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Bahan itu termasuk daging pejal dan organ seperti paru-paru, ekor, perut dan tulang leher pelbagai ternakan termasuk kerbau, kuda dan kangaroo.

Malah, daging berkenaan juga dilaporkan melibatkan daging kangaroo dan kuda yang didakwa sebagai daging lembu halal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.