Hakim Perintah Tertuduh Bela Diri Dalam Perbicaraan Kes Bunuh Kim
2018.08.16
Shah Alam, Malaysia
KEMASKINI pada 5.15 pm waktu tempatan pada 2018-08-16
Dua wanita Asia Tenggara yang dibicarakan atas pertuduhan membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un akan memulakan pembelaan mereka pada November selepas seorang hakim di Kuala Lumpur memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi terhadap mereka.
Hakim Azmi Ariffin mengambil masa lebih dua jam membacakan penghakimannya terhadap rakyat Indonesia Siti Aisyah, 26, dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong, 29, sekaligus memusnahkan harapan peguam bela bahawa beliau akan menggugurkan pertuduhan ke atas kedua-duanya selepas mendapati keterangan yang dikemukakan setakat ini tidak mencukupi.
“Saya tidak menolak kemungkinan ini adalah pembunuhan politik. Cukup untuk saya katakana bahawa saya mendapati bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan pada peringkat ini menepati intipati pertuduhan. Saya perlu memanggil mereka untuk membela diri,” kata Azmi.
“Pihak pembelaan telah cuba memusnahkan kredibiliti pegawai penyiasat dengan berhujah bahawa beliau telah melakukan siasataan yang berat sebelah dan prejudis terhadap tertuduh,” kata Azmi sambil menambah, “saya dapati tidak ada sebab untuk tidak mempercayai pegawai penyiasat.
Pembelaan akan memulakan kesnya pada 1 Nov. Enam sesi mahkamah dijadualkan bersidang pada November, tiga dalam bulan Disember, lapan pada Januari dan tiga dalam bulan Februari.
Siti akan menjadi saksi pertama memberi keterangan apabila perbicaraan kes itu disambung semula, dan Doan juga bercadang untuk memberi keterangan, lapor Associated Press (AP).
Kedua-dua wanita berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Mereka telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kim Jong Nam dengan melumurkan agen saraf VX yang berbahaya dan boleh membawa maut ke mukanya di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur pada 13 Feb 2017.
Sanak saudara kedua-dua wanita kecewa dengan keputusan mahkamah itu.
Bapa Siti, Asriah, 50, memberitahu BeritaBenar melalui telefon dari Serang, barat Jakarta, bahawa keluarganya akan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan anak perempuannya itu.
“Anak saya sepatutnya dihantar pulang kerana dia tidak bersalah, Kes ini telah dimanipulasi. Dia tidak kenal lelaki itu,” katanya ketika mengulas mengenai Kim.
Ayah Doan memaklumkan AP bahawa dia tidak boleh tidur pada malam sebelum mahkamah bersidang. “Saya fikir dia akan didapati tidak bersalah,” kata Doan Van Thanh.
Bercakap kepada pemberita selepas mahkamah selesai bersidang, peguam Siti, Gooi Soon Seng berkata beliau kecewa dengan keputusan hakim itu namun akan meneruskan usaha membuktikan bahawa anak guamnya tidak bersalah.
“Itu adalah keputusan yang akan kami terima dan patuhi,” katanya.
“Malangnya, kami tidak dapat mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu pada peringkat ini,” katanya sambil menambah, “kerana keputusan itu bukan keputusan akhir.”
Suspek Siti Aisyah dibawa keluar dari mahkamah untuk dihantar pulang ke penjara Sungai Buloh di Selangor, 16 Ogos 2018. (S. Mahfuz/BeritaBenar)
‘Kemunasabahan perlu diambil kira’
Peguam kedua-dua wanita mempertahankan bahawa mereka telah ditipu oleh beberapa ejen yang disyaki rakyat Korea Utara sehingga mendorong mereka mempercayai bahawaa mereka telah diupah untuk melakukan aksi gurauan bagi rakaman video.
Empat rakyat Korea Utara, dilabel sebagai suspek ejen kerajaan tersebut, telah didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan itu dengan kedua-dua wanita. Mereka didakwa telah merekrut kedua-dua wanita dan memberikan racun berbahaya itu padda hari pembunuhan.
Polis berkata mereka telah melarikan diri dari Malaysia pada hari Kim dibunuh dan tidak seorangpun ditahan.
“Saya tidak terpengaruh dengan cadangan pembelaan bahawa apa yang berlaku adalah sebahagian daripada aksi gurauan. Satu-satunya tujuan aksi gurauan adalah untuk berseronok,” kata Azmi yang menyifatkan usaha pembelaan itu sebagai percubaan untuk menyelamatkan diri.
Beliau berkata tingkah laku kedua-dua wanita susulan serangan ke atas Kim Jong Nam kelihatan seperti diselaras dan serupa.
“Dalam hal ini, kemunasabahan perlu diambil kira,” katanya.
Pembunuhan Kim Jong Nam adalah antara alasan yang digunakan oleh para pegawai Amerika Syarikat untuk menggesa Korea Utara dimasukkan semula pada November 2017 ke dalam senarai hitam negara-negara yang didakwa menaja keganasan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menolak dakwaan bahawa Pyongyang adalah dalang di sebalik pembunuhan itu.
“Tidak ada bukti langsung bahawa terdapat konspirasi oleh rakyat Korea Utara atau [pemimpin] Korea Utara,” kata Wan Shaharuddin kepada pemberita sebelum perbicaraan kes itu ditangguh pada Jun.
Beliau telah memaklumkan mahkamah bahawa pembunuhan yang berlaku di lapangan terbang itu adalah sesuatu “yang hanya dapat dilihat dalam filem-filem James Bond,” sambil menambah bahawa adalah tidak masuk akal untuk berpendapat bahawa kedua-dua wanita tidak menyedari bahawa mereka telah melumurkan sejenis bahan kimia berbahaya dan boleh membawa maut ke muka Kim.
Tria Dianti di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.