Kim Jong Nam: Suspek Tukar Pakaian Selepas Serangan

Hareez Lee & Fadzil Aziz
2017.10.26
Shah Alam, Malaysia
171026-MY-kim-620.jpg Polis Malaysia mengawal Doan Thi Huong, warga Vietnama yang juga salah seorang daripada dua defendan dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, ke kompleks Mahkamah Shah Alam dekat Kuala Lumpur, 25 Oktober 2017.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pendakwaraya Malaysia menunjukkan rakaman CCTV yang memperincikan penglibatan empat lelaki yang dianggap sebagai suspek termasuk tindakan mereka menukar pakaian dan penampilan bagi membolehkan mereka melarikan diri daripada dikesan sejurus selepas Kim Jong Nam diserang oleh dua wanita Asia Tenggara, penyiasat kes itu memberi keterangan pada mahkamah yang bersidang pada Khamis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam juga mendengar perbicaraan paada hari ke-11  terhadap wanita Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam bahawa suspek lain yang dikenali sebagai "Hanamori", yang dirakam oleh kamera keselamatan lapangan terbang bertindak sebagai "dalang" dalam kematian Kim Jong Nam.

Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, yang bertugas di ibu pejabat polis daerah Sepang, memberi keterangan di hadapan Hakim Azmi Ariffin bahawa salah seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai "En. Chang" juga mencukur janggutnya selepas kejadian itu.

Keterangan itu diberikan selepas pegawai berkenaan menjawab soalan daripada pendakwaraya Muhammad Iskandar Ahmad semasa pemeriksaan utama.

Kim Jong Nam, anak sulung bekas diktator Korea Utara Kim Jong Il, telah diserang dengan agen saraf VX oleh Siti Aisyah dan Doan ketika bersiap sedia untuk menaiki penerbangan ke Macau, di mana beliau tinggal.  Kedua-dua mereka berhadapan dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, empat suspek lelaki Korea Utara dipercayai terlibat dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, seperti yang ditunjukkan dalam rakaman visual CCTV lapangan terbang, dan dikenal pasti oleh Wan Azirul Nizam semasa memberi keterangan pada 12 Okt lalu, sebagai Encik Chang, Encik Y, James dan Hanamori (alias Datuk atau Pakcik).

Keempat-empat mereka masih bebas dan pulang ke Korea Utara tetapi nama mereka disebut dalam kertas pertuduhan sebagai defendan, bersama dengan kedua-dua wanita Asia Tenggara berkenaan.

"Siasatan mendedahkan bahawa suspek Hanamori memainkan peranan sebagai dalang kejadian," kata Wan Azirul Nizam sambil menambah "Hanamori" telah tiba di lapangan terbang bajet itu dengan menaiki kenderaan yang sama dengan "Encik Chang" dan "Encik Y", kira-kira 90 minit sebelum serangan berkenaan.

"Hanamori juga bertemu dengan Encik Chang dan En. Y kemudiannya di Bibik Heritage Restaurant," kata penyiasat itu sambil menambah "mastermind" [dalang] juga bertemu dengan "James", individu keempat di kafe yang sama sebelum serangan berkenaan.

Semasa keterangannya, Wan Azirul Nizam menjelaskan rakaman CCTV yang ditayangkan di mahkamah mengenai perubahan penampilan telah dibuat oleh suspek, yang dipercayai seorang warga Korea Utara.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa "Encik Chang" kelihatan dalam kamera memakai baju kelabu yang mempunyai hoodie, sepasang kasut hitam dengan jalur putih, dan sepasang cermin mata hitam berjalur sebelum bertemu" Hanamori" di kafe Bibik Heritage Restaurant, kira-kira pukul 7.49 pagi.

Mahkamah turut mendengar keterangan bahawa "Encik Chang "masih mempunyai misai dan janggut, sementara dia juga memegang beg plastik putih.

"Imej lelaki ini, yang memakai baju ungu, adalah Hanamori pada jam 7.49 pagi."

"Apa yang saya ingin tunjukkan dalam video ini ialah selepas Encik Chang bertemu Hanamori di Bibik Heritage dan mengadakan perbualan ringkas, Chang mengambil topi hitam Adidas dan memakainya sebelum dia pergi menemui Hanamori, dia tidak memakai topi, " katanya.

Video keselamatan lapangan terbang itu kemudiannya menunjukkan yang Encik Chang bertemu  dengan Siti Aisyah di kafe yang sama dan Encik Y berjalan bersama-sama dengan Doan berhampiran tempat kejadian, sebelum serangan.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua wanita tersebut melumur sesuatu di muka Kim Jong Nam, rakaman menunjukkan "Encik Chang ", "Encik Y" dan "Hanamori" telah menukar baju mereka.

Wan Azirul juga memaklumkan mahkamah bahawa "Encik Chang" telah masuk ke dalam tandas di Aras 4 lapangan terbang  itu pada kira-kira pukul 9 pagi, sebelum keluar pada pukul 9.12 pagi dengan penampilan yang berbeza.

"Selepas keluar daripada tandas imej Encik Chang kelihatan telah berubah dengan beliau memakai baju merah, tidak lagi memakai topi hitam, manakala beg plastik yang dipegangnya juga berwarna, oren."

"Pada masa ini, saya dapat mengenali beliau melalui bentuk badannya, dan beliau juga memakai sepasang kasut yang sama. Kita juga dapat melihat bahawa Encik Chang tidak lagi mempunyai misai dan janggut, kerana beliau sudah mencukurnya bersih," katanya.

Pegawai Penyiasat itu turut menjelaskan yang "Encik Y" dan "Hanamori" juga telah menukar pakaian mereka. Encik Y juga menanggalkan topi dan beg sandangnya.

Iskandar kemudian meminta saksi kesembilan pendakwaan sama ada beliau menyiasat ke mana perginya suspek selepas meninggalkan lapangan terbang murah, yang mana Wan Azirul Nizam menjawab: "Ya, saya ada. Tiga daripada mereka "Encik Y "," Encik Chang "dan" Hanamori "kemudiannya dilihat di KLIA (lapangan terbang utama). Saya juga mendapati mereka telah menukar pakaian dan kemudian berada bersama-sama di dewan berlepas. "

"Ketiga-tiganya meninggalkan terminal bajet itu dalam kenderaan yang sama menuju KLIA (lapangan terbang utama)," katanya.

Dalam pada itu, menurut pegawai penyiasat berkenaan, individu keempat yang terlibat turut kelihatan menuju ke Hotel Sama-Sama di KLIA dan masuk ke dalam bilik, sebelum dia keluar dan kemudiannya kelihatan di dewan berlepas KLIA.

"James kemudian kelihatan berada di dewan berlepas KLIA bersama tiga lelaki yang lain," katanya.

Penyiasat itu juga mengenal pasti Encik Y dan Encik Chang dengan berkata mereka dipercayai telah menyapu cecair pada tangan kedua-dua wanita itu sebelum mereka menyentuh wajah Kim sambil memberitahu persidangan mahkamah bahawa James merekrut Siti Aisyah untuk plot pembunuhan itu.

Peguam pertahanan mendakwa kedua-dua wanita Asia Tenggara itu telah dibuat sebagai kambing hitam bagi keempat-empat lelaki yang terlibat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azmi Ariffin bersambung pada 6 November ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.