Pemilihan Yang di-Pertuan Agong Baru pada 24 Januari
2019.01.07
Kuala Lumpur, Malaysia

Majlis Raja-raja yang mengadakan mesyuarat khas pada Isnin bersetuju menetapkan 24 Januari ini sebagai tarikh untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 manakala 31 Januari pula sebagai tarikh Mengangkat Sumpah Jawatan, demikian menurut Istana Negara.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad mengesahkan mengenai keputusan yang dicapai dalam perbincangan pada mesyuarat khas yang dihadiri enam Sultan dan Raja Melayu di Istana Negara pada Isnin.
“Majlis Raja-raja telah menetapkan hari Khamis, 24 Januari untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Majlis Raja-raja juga menetapkan majlis Mengangkat Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada Khamis, 31 Januari 2019,” demikian kata Syed Danial dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Mesyuarat khas itu berikutan pengumuman mengejut perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Petuan Agong ke-15 pada Ahad, yang terjadi pertama kali dalam sejarah Malaysia.
“Sultan dan Raja yang menghadiri mesyuarat khas tersebut mengakui dan menghormati keputusan Sultan Muhammad V untuk turun tahta sebagai Yang di-Petuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari,” kata Syed Danial.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa enam Sultan dan Raja telah menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang diadakan pada pagi Isnin untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.
Enam Sultan dan Raja yang menghadiri mesyuarat khas selama sejam yang diadakan di Istana Negara adalah dari Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah.
Syed Danial juga memberitahu bahawa Sultan Pahang dan Selangor tidak hadir pada mesyuarat itu.
"Sultan Pahang tidak dapat menghadiri mesyuarat kerana baginda gering, manakala Sultan Selangor sudah berangkat ke luar negara.
"Majlis Raja-raja juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas khidmat yang telah dilaksanakan oleh Sultan Muhammad V dalam memikul amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 16 Disember 2016 hingga 6 Januari 2019,” kata Syed Danial dalam kenyataan itu.
Pada kira-kira pukul 10 pagi Isnin, enam kenderaan dengan lambang kebesaran DiRaja masing-masing dari Johor, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Negeri Sembilan dilihat memasuki pintu depan Istana Negara dan meninggalkannya pada kira-kira 12.30 tengah hari.
Majlis Raja-Raja terdiri daripada sembilan pemerintah tradisional dan empat gabenor. Mereka mewakili 13 negara dalam persekutuan Malaysia, memilih seorang Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh selama lima tahun dan bergilir-gilir menaiki takhta.
Kerajaan terima keputusan
Sementara itu Mahathir pada satu sidang media di Terengganu pada Isnin berkata bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan mahu pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang baru diadakan dengan segera dan kerajaan menerima keputusan Sultan Muhammad V untuk meletak jawatan.
"Kerajaan menerima keputusan Sultan Muhammad V untuk meletak jawatan. Ia selaras dengan Perlembagaan," kata Mahathir sambil mengesahkan bahawa pentadbiran kerajaan tidak mengganggu keputusan Majlis Raja-raja.
"Kerajaan tidak akan campur tangan dalam hal ini. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ditentukan oleh Majlis Raja-raja,” kata Perdana Menteri itu.
Pakar perlembagaan Shamrahayu Abdul Aziz berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam melantik atau memberhentikan seorang pemerintah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan tidak mempunyai suara dalam perkara ini.. Kerajaan juga tidak boleh memilih dan memecat Agong. Ada proses yang harus diikuti kerana proses memilih seorang Yang di-Pertuan Agung termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada BeritaBenar.
Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi mengatakan bahawa perletakan jawatan Sultan Muhammad V tidak akan menjejaskan kestabilan politik di Malaysia.
"Majlis Raja-Raja akan mencari pengganti baru, jadi tiada isu di sini…. Agong telah meletak jawatan dan berkemungkinan Majlis Raja-Raja juga mahu melindungi nama baik institusi itu, "katanya.
Malaysia mempunyai 14 buah negeri dan hanya sembilan buah negeri diperintah oleh Raja-raja Melayu.
Negeri-negeri tersebut terdiri daripada Selangor, Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis manakala, lima buah negeri yang lain berada di bawah bidang kuasa Gabenor.