Malaysia mahu platform media sosial banteras jenayah siber
2024.07.24
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 8.00 malam waktu tempatan ETS - 2024-07-24
Malaysia dengan tegas memberitahu penyedia media sosial yang mereka perlu membanteras penipuan dalam talian, buli siber dan gangguan seksual di platform mereka, kata Menteri Komunikasi pada Rabu, beberapa minggu selepas polis mengaitkan kematian seorang pempengaruh dengan dakwaan penderaan dan ugutan yang diterima secara dalam talian.
Penyalahgunaan platform dalam talian merupakan ancaman kepada orang ramai, kata Menteri Fahmi Fadzil dengan pentadbiran Putrajaya bercadang menggubal undang-undang keselamatan dalam talian menjelang akhir tahun ini.
"Jemaah Menteri pada hari ini telah memutuskan bahawa pihak polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneliti untuk mengambil tindakan segera dan menyelaras semua aspek siasatan dan pendakwaan jenayah siber," kata Fahmi pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
"Ancaman ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan ini adalah antara sebab kenapa sejak beberapa hari lalu, SKMM telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform untuk mereka memberi maklum balas berkaitan isu-isu seperti ini.
"Jenayah siber seperti scam (penipuan), buli siber dan jenayah seksual terutamanya terhadap kanak kanak termasuk pedofilia meninggalkan kesan yang sangat negatif kepada rakyat terutamanya kepada para mangsa... dari segi kesihatan mental dan juga masalah-masalah lain, " tambah Fahmi lagi.
Pada 5 Julai lalu, pempengaruh media sosial, A. Rajeswary, 29, yang juga dikenali sebagai Esha ditemui maut di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur, sehari setelah beliau memfailkan laporan polis mendakwa dua individu mengganggunya serta melakukan ugutan seksual menerusi aplikasi TikTok, menurut laporan media tempatan.
Rentetan itu, kerajaan Malaysia pada minggu lalu telah mengumumkan yang Putrajaya merancang untuk menggubal undang-undang khusus bagi menjadikan buli siber sebagai satu kesalahan jenayah selepas pihak berkuasa mengaitkan kematian Rajeswary dengan dakwaan dia menjadi mangsa gangguan dan ugutan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kerajaan mempertimbang untuk meminda peruntukan dalam Kanun Keseksaan kerana undang-undang semasa tidak menangani secara khusus kesalahan buli siber.
Menurut data dibekalkan SKMM, bagi tempoh 2022 hingga Julai lalu, terdapat sejumlah 143 kes eksploitasi seksual kanak-kanak, 9,321 kes penipuan dan 9,483 kes buli siber dilaporkan berlaku di platform-platform media sosial.
Kadar pematuhan berbeza
Selain itu, Fahmi menyatakan SKMM juga memantau tahap pematuhan undang-undang yang berbeza dalam kalangan penyedia platform media sosial.
Menurut maklumat suruhanjaya itu, platform-platform media sosial di bawah syarikat Meta dilaporkan mempunyai tahap pematuhan yang tinggi iaitu Facebook pada kadar 85 peratus, Instagram (88 peratus) dan WhatsApp (79 peratus) manakala beberapa platform lain pula tidak memberikan kerjasama yang memuaskan.
TikTok dilaporkan mempunyai tahap pematuhan sebanyak 76 peratus, Telegram (63 peratus) dan X (dahulu dikenali sebagai Twitter) merupakan yang tercorot iaitu 25 peratus, dedah Fahmi.
"Setiap platform ada mempunyai tahap pematuhan yang berbeza. Ada yang lebih pantas akur, ada yang langsung tidak akur ataupun sangat lewat untuk menjawab kepada pihak berkuasa," kata Fahmi.
"Ada platform yang kerjasamanya sangat tidak memuaskan. Jadi mana-mana (platform) bawah daripada 79 peratus itu tak memuaskan."
Menurut Fahmi, isu yang dihadapi setiap platform juga berbeza seperti Facebook banyak disalahgunakan oleh penjenayah siber untuk tujuan mencuri wang melalui 'scam' atas talian.
Katanya, sejak Januari sehingga Jun lalu, pihak berkuasa menganggarkan mangsa penipuan dalam talian mengalami kerugian antara RM8 juta (AS$1.7 juta) hingga RM132 juta (AS$28.1) melalui platform Facebook.
TikTok dilaporkan berdepan banyak kes buli siber dan penggunaan akaun palsu, Telegram pula melihat banyak kes perjudian atas talian, penyebaran filem cetak rompak dan video lucah kanak-kanak manakala X terdapat banyak kes buli siber dan pengantunan kanak-kanak.
Ketiga-tiga platform berkenaan juga dilaporkan banyak kes yang menyentuh isu-isu agama, kaum dan raja (3R).
"Setiap daripada platform ini ada masalah. Jenayah dalam talian ataupun konten-konten yang boleh membahayakan keselamatan rakyat," kata Fahmi.
Sementara itu, Fahmi dijadualkan bertemu dengan hampir kesemua syarikat penyedia platform media sosial terbabit di Singapura antara 28 dan 30 Julai ini, susulan surat dihantar SKMM kepada mereka bagi meminta kerjasama dalam menangani kes jenayah dalam talian yang menular.
"Daripada awal tahun hingga kini mencecah lebih 100,000 aduan yang telah disampaikan oleh SKMM kepada Facebook, kepada Meta untuk mereka turunkan kandungan yang berbentuk scam.
"Jadi kita lihat pihak Meta perlu mengambil tindakan lebih proaktif menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk mematikan usaha pihak yang menyalahgunakan platform-platform di bawah Meta untuk tujuan scam terutamannya," kata Menteri itu lagi.
"Insya-Allah dalam pertemuan nanti saya akan tegaskan setiap platform ada masalahnya sendiri. Mereka perlu menyelesaikannya."
Tindakan belum jelas
Sementara itu, Benjamin Loh Yew Hoong, pensyarah kanan Pengajian Media dan Komunikasi Taylor's University menyuarakan kegusarannya terhadap tindakan kerajaan dalam menangani kes jenayah siber.
"Setakat ini apa yang ingin dilakukan oleh kerajaan masih tidak jelas, apa yang dimaklumkan hanyalah mereka akan bertemu penyedia platform," kata beliau kepada BenarNews.
"Kita semua sedang menunggu cadangan undang-undang baharu, yang perlu mentakrifkan dengan jelas mengenai aktiviti-aktiviti jenayah dalam talian dan juga menyediakan cara praktikal dan adil bagi mendakwa dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.
"Antara perkara yang paling sukar untuk ditangani ialah isu 'anonymity (ketanpanamaan) dalam talian, dan tindakan meletakkan beban tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini berkemungkinan boleh menyebabkan penyalahgunaan," kata beliau.
Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, A. Aziz Azizam berkata kerajaan memerlukan pelan yang jelas bagi mendidik dan menggalakkan perhubungan secara beretika dan bertanggungjawab dalam talian.
"Sementara para penyedia perkhidmatan menyediakan platform, mereka tidak bertanggungjawab ke atas tindakan setiap pengguna. Ia seperti syarikat pengeluar kenderaan yang mencipta kereta, tetapi pemandu bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan mereka semasa memandu," kata A. Aziz kepada BenarNews.
"Ia adalah penting untuk mengawal ucapan yang boleh merosakkan norma masyarakat dan keselamatan awam."