Rakyat Malaysia terlibat pengeboman Bali 2002 dibebas dari Guantanamo

Keluarga Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep menyambut dengan gembira berita kepulangan mereka.
Muzliza Mustafa dan Helmi Foad
2024.12.18
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia terlibat pengeboman Bali 2002 dibebas dari Guantanamo Najib Lep, abang kepada Mohammed Nazir Lep berkongsi gambar yang dihantar adiknya untuk tatapan keluarga di Muar, Johor, 30 September 2023.
[Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

KEMASKINI pada 2 petang waktu tempatan ETS - 2024-12-18

Dua rakyat Malaysia yang mengaku bersalah terlibat dalam insiden pengeboman Bali 2002 kini berada dalam tahanan kerajaan Malaysia setelah Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pemindahan mereka dari penjara di Teluk Guantanamo, Cuba selepas hampir dua dekad dimasukkan ke dalam kem tahanan tentera itu.

Kedua-dua lelaki tersebut, Mohammed Farik Amin, 49, dan Mohammed Nazir Lep, 47, telah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur.

“Kerajaan Malaysia atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat telah menerima dua orang warganegara Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, yang diserah oleh kerajaan Amerika Syarikat selepas ditahan sejak 2006 di kem tahanan Teluk Guantanamo,” kata kementerian itu dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyebut sama ada kedua-duanya akan dipenjarakan setibanya di Malaysia setelah dipindahkan dari pusat tahanan di pangkalan tentera laut Amerika di Cuba.

Pada Januari, seorang hakim tentera AS di Teluk Guantanamo menjatuhkan hukuman tambahan lima tahun penjara ke atas Mohammed Farik dan Mohammed Nazir selepas mereka mengaku bersalah atas lima pertuduhan berkaitan peranan sokongan kepada serangan berkembar yang mengorbankan 202 nyawa pada Oktober 2002 – serangan pengganas paling dahsyat dalam sejarah Indonesia.

Kedua-dua lelaki itu dihantar pulang ke Malaysia secara rahsia pada minggu ini dengan peguam mereka hanya diberitahu mengenai perkara itu pada saat-saat akhir.

18-gitmo-bin-lep2.jpg

Najib Lep berkongsi gambar keluarga Mohammed Nazir Lep dengan anak saudaranya di Muar, Johor, Malaysia, 30 September 2023. [Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

Peguam Brian Boufford menyatakan bahawa anak guamnya telah berubah dan bersedia untuk kembali ke pangkuan keluarganya.

“Sudah lebih dua dekad Nazir ditahan. Dia telah matang dalam tempoh itu dan kini menjadi seorang lelaki yang cintakan keamanan dan mahu menjalani sisa hidupnya dengan damai. Kami bersyukur kepada semua pihak di Malaysia dan Amerika Syarikat, yang memahami bahawa sudah sampai masanya untuk membawa Nazir pulang,” kata Boufford melalui pesanan teks kepada BenarNews.


LAPORAN BERKAITAN

Rakyat Malaysia terlibat pengeboman Bali perlu jalani hukuman penjara tidak lebih 6 tahun

Guantanamo: Rakyat Malaysia mengaku bertanggungjawab dalam insiden pengeboman Bali, dakwa sudah berubah

Dua saudara lelaki defendan Malaysia tiba di Guantanamo untuk beri keterangan

Hakim Gitmo terima pengakuan salah dua rakyat Malaysia dalam insiden pengeboman Bali 2002


Jabatan Pertahanan AS dalam kenyataan berkata kedua-dua lelaki itu telah memberikan keterangan yang dapat digunakan dalam kes terhadap warga Indonesia Encep Nurjaman (Hambali), dalang serangan dikaitkan dengan Al-Qaeda ke atas kelab malam di Bali pada 2002 dan Hotel J.W. Marriot di Jakarta, Indonesia pada 2003.

Hambali dijangka dibicarakan di mahkamah tentera di Teluk Guantanamo atas pertuduhan yang sama.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan mereka, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dilarang kembali ke Amerika Syarikat atas sebarang sebab, menjadikan proses memberi keterangan sebelum mereka dipulangkan sebagai satu keperluan, kata Bouffard.

gitmo3.jpg

Mohammed Farik Amin kelihatan dalam gambar tanpa tarikh ini. [Ihsan pasukan pembelaan Mohammed Farik Amin]

Ditahan di Thailand pada 2003, kedua-dua lelaki itu telah ditempatkan di sebuah pusat rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Cuba pada 2006.

Mereka mengaku bersalah pada Januari lalu atas pertuduhan membunuh yang menyalahi undang-undang perang, berkonspirasi dan tiga tuduhan lain berkaitan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 nyawa.

Sebelum ini, seorang sumber yang meminta namanya dirahsiakan atas sebab privasi memberitahu BenarNews bahawa kedua-dua lelaki itu mungkin akan dihantar pulang sebelum upacara angkat sumpah Presiden terpilih AS Donald Trump pada 20 Januari.

Kami menyayanginya

Ahli keluarga Mohammed Nazir berasa gembira dengan kepulangannya ke Malaysia.

Meluahkan kasih sayang terhadap adik lelakinya, Najib Lep, 60, berkata dia telah merancang untuk membantu Nazir bagi menyesuaikan diri dalam masyarakat apabila pulang ke pangkuan keluarga nanti.

“Kami sayangkan dia. Kami akan menjaga kebajikannya apabila dia pulang nanti. Buat masa ini, kami masih belum menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia. Apa yang kami tahu setakat ini hanya dari laporan media. Kami tidaklah boleh terlalu gembira, tapi bersyukur kepada Allah,” kata Najib kepada BenarNews.

Sementara itu, sumber yang meminta namanya dirahsia berkata keluarga Mohammed Farik bersedia menyambutnya pulang.

“Mohammed Farik telah menyatakan hasrat untuk menjaga ibu bapanya yang uzur sekembalinya ke tanah air.

“Adik-beradiknya telah menyediakan tempat untuk dia tinggal dan memberikan bantuan lain yang diperlukan. Ia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri semula kerana dia telah lama berada di luar negara selama lebih 20 tahun.

“Keluarga belum bersedia untuk bercakap dengan media dan sedang menunggu kebenaran untuk bertemu dengan Mohammed Farik,” kata sumber itu kepada BenarNews.

Ibu bapa Mohammed Farik, masing-masing berusia 82 dan 88 tahun telah dimaklumkan tentang kepulangannya.

gitmo-4.jpeg

Ketua Polis Negara Malaysia, Razarudin Husain (dua dari kiri) bercakap pada sidang media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, 17 September 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ketua Polis Negara Malaysia Razarudin Husain berkata kedua-dua individu itu akan menjalani proses penilaian dan memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum diintegrasi semula ke dalam masyarakat sambil menambah "setiap orang berhak mendapat peluang kedua".

“Kedua-dua individu tersebut diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat pulang ke tanah air dan akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing," katanya dalam kenyataan mengenai penyerahan dua warga Malaysia itu.

“Kedua-duanya mempamerkan sikap yang positif dan terbuka untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif."

Kongres AS dimaklumkan bulan lepas

Menjelang pembebasan mereka, Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin memaklumkan Kongres pada 14 November “mengenai hasratnya untuk memulangkan” rakyat Malaysia itu “dan dengan perundingan bersama rakan-rakan kami di Malaysia, kami melengkapkan syarat pemindahan yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan dari Pentagon.

Notis selama 30 hari mesti difailkan sebelum pemindahan sedemikian dapat dilakukan.

Dalam gambar disemak oleh pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) ini, bangunan Suruhanjaya Tentera yang digunakan untuk prosiding Lembaga Kajian Berkala dilihat di Pangkalan Tentera Laut Amerika, Teluk Guantanamo, Cuba, 19 April 2019. [Alex Brandon/AP]

Rakyat Malaysia itu telah dikaitkan dengan Hambali sehingga kes mereka dipisahkan daripadanya pada 2023 sebelum perjanjian pengakuan mereka dilakukan.

Dokumen mahkamah menyatakan bermula pada penghujung 2001, “termasuk tempoh sebelum, semasa, dan selepas pengeboman Bali pada 12 Oktober 2002,”, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik membantu Hambali “memindahkan wang untuk operasi dan mendapatkan serta menyimpan barang seperti dokumen pengenalan palsu, senjata dan arahan membuat bom.”

Dengan pemindahan rakyat Malaysia itu, jumlah tahanan di penjara Teluk Guantanamo telah dikurangkan kepada 27, kata Pentagon.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.