Malaysia kutuk pemimpin Hamas dibunuh, dakwa ada unsur sabotaj
2024.07.31
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran dan menyebutnya sebagai "pembunuhan kejam," dengan penganalisis meramalkan insiden itu berkemungkinan akan meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.
Anwar yang menyifatkan Ismail sebagai "sahabat yang diakrab," melalui Kementerian Luar menuntut siasatan segera dengan berkata bahawa "mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan."
“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam, jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang telah meragut lebih 40,000 nyawa,” kata Anwar dalam satu kenyataan berasingan.
Beliau turut menyifatkan pembunuhan tersebut satu sabotaj bagi mengagalkan usaha perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza.
Malaysia yang majoritinya beragama Islam, terkenal dengan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin, sebelum ini mengalu-alukan kehadiran ketua biro politik Hamas itu ke Putrajaya ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 2020.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri Anwar mengadakan pertemuan dengan Ismail di Qatar semasa lawatan tiga hari.
Kabinet Malaysia pada Rabu turut mengeluarkan kenyataan mengecam keras pembunuhan pemimpin Hamas itu dan bersolidari bersama rakyat Palestin, demikian kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.
Pembunuhan Ismail dilakukan ketika puluhan pemimpin negara berkumpul di ibu kota Iran itu termasuk Malaysia yang diwakili Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ke majlis angkat sumpah presiden Iran yang baru dipilih Masoud Pezeshkian pada Selasa.
Pada awal pagi Rabu, Ismail dilaporkan maut bersama seorang pengawal peribadinya dalam serangan udara ke atas kediamannya di Tehran, sehari selepas beliau menghadiri majlis mengangkat sumpah presiden Iran itu di bangunan Parlimen.
"Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.
"Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan turut sama mengecam tindakan tersebut," kata Wisma Putra.
Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar memaklumkan Johari bersama anggota delegasinya berada dalam keadaan selamat dan dijadual pulang ke tanah air pada Rabu malam.
“Hamas berkabung untuk rakyat Palestin, kepada negara Arab dan Islam dan semua orang merdeka di dunia atas kesyahidan pemimpin dan pejuang Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan khianat Israel ke atas kediamannya di Teheran,” kata kumpulan pejuang Palestin itu yang disiar sebuah portal berita antarabangsa.
Gagalkan gencatan senjata
Perdana Menteri Anwar yang terkenal dengan kelantangannya di persada antarabangsa menentang kezaliman Israel yang mengorbankan ratusan ribu rakyat Palestin turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan Ismail yang disifatkan sebagai seorang tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.
Anwar dalam kenyataannya berkata pembunuhan yang tragik itu jelas bertujuan menggagalkan rundingan gencatan senjata di Gaza yang dilaporkan berada di peringkat akhir pada minggu lalu dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membincangkan jurang yang masih ada.
Bagaimanapun, media melaporkan Hamas pada Isnin telah mendakwa Netanyahu sekali lagi kembali kepada strategi melengahkan, menunda dan mengelak dengan menetapkan syarat dan tuntutan baharu.
Perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel hingga mengorbankan 1,100 mangsa dan ratusan menjadi tawanan.
“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum,” kata Anwar.
Ahli Biro Politik Hamas, Basem Naim dalam perbualan telefon bersama Anwar mendedahkan pihak Israel sentiasa mencari alasan baharu untuk menangguh dan menggagalkan usaha genjatan senjata.
“Ismail telah melakukan yang terbaik untuk menamatkan keganasan dan memeterai perjanjian gencatan senjata supaya penderitaan ini berakhir tetapi mereka (Israel) sentiasa mencari alasan baharu untuk menangguh atau menggagalkan usaha ini," katanya.
Anwar berkata maklumat terkini yang diterima daripada rakan-rakannya di Turkiye beberapa hari lalu jelas menunjukkan bahawa Ismail adalah tonggak perjuangan Palestin dengan salah satunya perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin.
“Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” kata Anwar.
Beliau berkata berita pembunuhan Ismail itu diterima ketika Kabinet sedang bermesyuarat dan seluruh anggota pentadbiran kerajaan terkejut dengan kegilaan rejim itu menyerang kediaman dan menyiksa tahanan Palestin dan menganggap perang serta keganasan ini boleh berakhir dengan cara sedemikian.
"Saya sedar bahawa anda (Basem) dan Ismail Haniyeh adalah mujahid (pejuang) dan sahabat yang akrab,” katanya.
Anwar berkata rakyat Malaysia tetap teguh mendukung perjuangan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.
"Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mengutuk kekejaman ini,” ujarnya.
Anwar turut membidas pihak yang sebelum ini mengkritiknya mengadakan pertemuan dengan Ismail di Qatar sebagai gagal menghargai keinginan mendalam pemimpin Hamas itu bagi mewujudkan keamanan di Timur Tengah dan pembentukan sebuah negara Palestin.
Sementara itu, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran gambar Anwar dengan delegasi Hamas diketuai Ismail semasa satu lawatan rasmi di Qatar pada Mei lalu dari aplikasi Instagram pada Selasa.
“Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
“Sehubungan itu, kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan di Facebook Jabatan Perdana Menteri pada Rabu.
Bagaimanapun, hasil semakan BenarNews lewat petang Rabu mendapati hantaran tersebut telah dinaikkan semula.
Konflik dijangka memburuk
Pembunuhan Ismail dijangka lebih memburukkan konflik di Palestin selain menjejaskan hubungan utama komunikasi antara Malaysia dan Hamas, demikian menurut pandangan para penganalisis.
Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara menyifatkan Ismail sebagai seorang yang lebih sederhana dalam kalangan pemimpin Hamas yang berjuang untuk keamanan di bumi Gaza dan bukan hanya kemerdekaan rakyat Palestin semata-mata.
Menurut Azmi, sifat Ismail yang disenangi menyebabkan beliau dekat di hati rakyat Malaysia sekali gus menarik lebih banyak sokongan kepada kumpulan pejuang Hamas itu.
“Konflik (di Gaza) akan bertambah buruk kerana Ismail telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata Israel-Hamas yang melibatkan tiga fasa namun Netanyahu sering melengahkan urusan berkaitan cadangan itu.
“Ismail lebih bersikap sederhana berbanding pemimpin lain dan sesiapa sahaja yang mengambil alih tempat beliau (Ismail) akan lebih radikal,” Azmi memberitahu BenarNews.
Tunku Mohar Mokhtar, profesor madya sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut berkongsi pendapat yang sama iaitu Malaysia kehilangan hubungan komunikasi utama dengan Hamas memandangkan Ismail mempunyai hubungan rapat dengan Anwar selain beberapa ahli politik di Malaysia.
Ia juga hanya akan lebih memburukkan lagi konflik di rantau Asia Barat, kata beliau.
“Kini Iran dan sekutunya akan lebih terlibat sama dalam konflik di rantau itu dan usaha perdamaian menjadi lebih sukar.
“Kita menjangkakan tindakan balas dari Hamas dan mungkin juga Iran dan sekutunya,” kata Tunku Mohar.
Pakar Asia Barat dan Iran, Julia Roknifard berkata tindakan menyasarkan Ismail di negara asing sangat memudaratkan apatah lagi apabila beliau berada di Teheran sempena majlis pelantikan presiden baharu negara itu.
Profesor madya di Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa University of Nottingham itu menjangka Iran akan menghadapi tekanan daripada rakan sekutu dan rakyatnya untuk melancarkan sebarang bentuk tindak balas yang mungkin bakal melebarkan konflik yang cuba dielakkan banyak pihak.
“Pembunuhan seorang pemimpin seperti Ismail di negara asing adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Ini mungkin mengundang tindakan balas namun berkemungkinan juga terdapat pertimbangan di pihak Iran untuk tidak bertindak balas sebaliknya meneruskan rundingan (damai),” kata beliau ketika dihubungi BenarNews.