Malaysia bantah akta maritim Filipina, ceroboh sempadannya di Laut China Selatan

Manila bertindak aktif meneruskan tuntutan undang-undangnya namun ia dilihat tidak mendatangkan risiko yang tinggi cetus konfrontasi dengan Malaysia, kata penganalisis
Iman Muttaqin Yusof
2024.11.15
Kuala Lumpur
Malaysia bantah akta maritim Filipina, ceroboh sempadannya di Laut China Selatan Sebuah bot Polis Marin yang ditugaskan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) meronda di perairan berhampiran Semporna, Sabah, Malaysia, 11 Julai 2024.
[Ihsan The Eastern Sabah Security Command (ESSCOM)]

Malaysia bertindak tegas dengan menghantar nota bantahan kepada Filipina pada Khamis berkaitan dua akta maritim baharu republik itu yang didapati melanggar sempadan negara itu di Laut China Selatan, langkah yang diambil di tengah ketegangan serantau akibat sikap tegas Beijing mengenai tuntutannya yang meluas di perairan tersebut. 

Pada Oktober lalu, Malaysia melakukan bantahan serupa terhadap Vietnam selepas artikel BenarNews melaporkan tindakan perluasan oleh Hanoi di terumbu Laut China Selatan yang dituntut kedua-dua negara, menurut agensi berita Reuters pada minggu lalu.

Seorang penganalisis keselamatan berkata meskipun terdapat ketegangan di rantau ini, risiko konfrontasi antara Malaysia dan Filipina atau Vietnam adalah rendah manakala seorang pemerhati serantau menyatakan bahawa Manila dan Hanoi adalah penceroboh dalam kedua-dua kes tersebut.

Timbalan Menteri Luar Malaysia, Mohamad Alamin memberitahu Parlimen pada Khamis bahawa dua undang-undang baharu Filipina melangkaui batas sempadan negeri kaya minyak Malaysia, Sabah di Laut China Selatan.

"Kita telah memuktamad dan mempertimbang isu utama kita masukkan dalam nota bantahan dan ia dihantar hari ini (Khamis) juga demi menunjukkan komitmen bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara akan kita pertahankan," kata Alamin merujuk kepada negeri di Borneo yang merupakan sebahagian daripada Malaysia namun dituntut oleh Filipina.

Pada 8 November, Manila menguatkuasakan Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan, yang menurut Alamin melangkaui batas sempadan dalam peta baharu Malaysia pada 1979, yang dianggap Kuala Lumpur sebagai diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.

Filipina menyatakan bahawa undang-undang tersebut bertujuan untuk mengisytiharkan tuntutan maritim Manila selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan mengehadkan laluan kapal dan pesawat asing kepada laluan yang ditetapkan.

Pegawai Filipina tidak memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan Alamin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kimanis di Sabah. 

photo2-anwar-marcos.jpeg
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) berbual dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, 10 Oktober 2024. [Athit Perawongmetha/Reuters]

Sabah, yang terletak di barat daya Filipina, telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara jiran dan anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN) itu. 

Sabah telah diserahkan kepada British oleh Kesultanan Sulu pada 1878.

Menerusi hasil pengutan suara oleh Suruhanjaya Cobbold, Sabah secara sukarela bergabung membentuk Malaysia pada 1963 apabila Persekutuan itu diwujudkan hasil gabungan tanah jajahan British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Malaya yang berdaulat.

Sejak itu Malaysia mentadbir Sabah tanpa bantahan berterusan oleh negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rakyat Sabah memiliki kad pengenalan Malaysia, bukannya Filipina.

Bagaimanapun, isu tuntutan kembali hangat pada 2020 apabila kedua-dua negara membawa pertikaian mengenai hak Sabah ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan BenarNews pada September 2020 menyebut pertikaian itu tercetus ekoran tindakan Malaysia mengemukakan permohonan kepada PBB pada akhir tahun sebelumnya untuk memperluaskan pentas benuanya melangkaui 200 batu nautika dari titik paling utara Borneo Malaysia.

Pada Mac, Filipina mengemukakan bantahannya melalui nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dengan menyatakan bahawa Malaysia mahu mengunjurkan tuntutannya dari beberapa bahagian di Borneo Utara "di mana Republik Filipina tidak pernah melepaskan kedaulatannya."

Pada Ogos tahun tersebut, Malaysia mengemukakan suratnya kepada Guterres menyatakan bahawa permintaan dan pertimbangan sempadannya adalah sah di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Misi tetap Malaysia ke PBB menyerahkan nota kepada badan dunia itu menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan Malaysia berkata ia akan terus mengambil semua tindakan undang-undang yang penting bagi menghentikan tuntutan oleh waris kesultanan Sulu ke atas Sabah setelah meraih kejayaan terbaru melalui keputusan Mahkamah Agung Perancis pada Rabu yang memihak kepada negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada 7 November lalu berkata keputusan mahkamah Perancis tersebut bermakna "Award Akhir" yang mengarahkan Malaysia untuk membayar AS$15 bilion tidak diiktiraf di bawah perundangan negara berkenaan.

"Mahkamah Rayuan Paris kini akan meneruskan prosiding bagi membatalkan 'Award Akhir' yang kononnya dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzala Stampa pada 28 Februari 2022 dan menamatkan kes Sulu," ujarnya.

Cabaran dihadapi Malaysia

Seorang penganalisis di Yokosuka Council on Asia-Pacific Studies menyatakan Malaysia terpaksa berhadapan dengan usaha peluasan Filipina di Laut China Selatan.

“Dari perspektif Malaysia, Filipina merupakan pencetus masalah utama,” kata Benjamin Blandin, penyelaras rangkaian di majlis tersebut, kepada BenarNews.

Beliau menyatakan Filipina telah merosakkan penanda kedaulatan Malaysia di Kepulauan Spratly pada 1970-an dan 1980-an dan kemudian menduduki Terumbu Commodore dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Zon ekonomi eksklusif sesebuah negara meliputi sehingga 200 batu nautika dari pantainya.

“Jadi berdasarkan ‘sejarah’ dua hala ini, Malaysia hanya boleh menafsirkan secara negatif sebarang langkah lanjut oleh Filipina, sekurang-kurangnya selagi isu Sabah belum diselesaikan,” kata Blandin.

Tambahnya Vietnam juga telah memusnahkan penanda di dua ciri maritim dalam ZEE Malaysia sebelum mendudukinya.

photo3-bot.jpeg
Kapal-kapal yang rosak kelihatan semasa Latihan Solidariti ASEAN Natuna 2023 yang melibatkan Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Laos di perairan Natuna di wilayah Kepulauan Riau, Indonesia, 21 September 2023. [Bay Ismoyo/AFP]

Penganalisis lain, Shahriman Lockman dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berkata beliau meletakkan kesalahan tindakan itu terhadap Vietnam.

“Laporan terkini mengenai nota bantahan Malaysia kepada Vietnam, jika benar, mencerminkan ketidaksabaran yang semakin meningkat dengan sikap Vietnam yang enggan terlibat dalam perbincangan konstruktif, tingkah laku yang patut diberi perhatian sama seperti China,” kata Lockman, seorang penganalisis kanan di institut tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan sebarang peningkatan besar selagi Vietnam cuba menahan nelayannya yang sering menceroboh ZEE asing, bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi di seluruh Asia Pasifik.”

Begitu juga, "kecuali Manila secara aktif meneruskan tuntutan undang-undangnya, saya tidak melihat risiko tinggi konfrontasi dengan Malaysia," kata Lockman.

“[Aduan] ini hanyalah sebahagian daripada hubungan diplomatik yang rutin – urusan biasa bagi diplomat kita... Apabila negara-negara membina asas undang-undang untuk tuntutan wilayah dan bidang kuasa mereka, pertindihan tuntutan yang dikemukakan semula adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan.”

photo4-peta.jpeg

Tuntutan bertindih

Malaysia, Filipina, Vietnam, China, Brunei dan Indonesia, serta Taiwan, mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan dan pulau serta terumbu karangnya.

Beijing menuntut hampir keseluruhan laut tersebut sebagai miliknya berdasarkan hak sejarah yang telah dibatalkan dalam keputusan timbang tara pada 2016 oleh mahkamah antarabangsa di The Hague.

Sejak Filipina melaksanakan dua undang-undang baharu ini, Beijing dan Manila telah melancarkan bantahan terhadap satu sama lain mengenai tuntutan Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Berikutan bantahan Beijing, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. pada Khamis berkata bahawa kerajaannya tetap kekal dengan pendiriannya terhadap wilayah Laut China Selatan, menurut Agensi Berita Filipina yang dikendalikan oleh negara.

“Mereka akan terus melindungi apa yang mereka tafsirkan sebagai wilayah kedaulatan mereka,” katanya kepada wartawan.

“Sudah tentu, kami tidak bersetuju dengan tafsiran mereka mengenai wilayah kedaulatan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.