Malaysia mansuh hukuman mati mandatori, pinda tempoh penjara sepanjang hayat
2023.04.03
Kuala Lumpur

Parlimen Malaysia pada Isnin telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan mengurangkan jumlah jenayah yang boleh dihukum gantung kerana langkah itu tidak mampu mengurangkan kadar jenayah.
Parlimen turut meluluskan pindaan bagi menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dengan pemenjaraan selama 30 tahun hingga 40 tahun. Rang undang-undang itu telah dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan melalui undian secara sebulat suara.
“Tiada kajian membuktikan bahawa hukuman mati merupakan pencegahan jenayah paling berkesan kerana keberkesanannya tidak dapat dijamin susulan pelbagai faktor yang mempengaruhi pendakwaan dan kadar jenayah,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh di Parlimen.
Rang undang-undang itu perlu diluluskan oleh Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum ia boleh dikuatkuasakan dan pada kebiasaannya, proses ini hanyalah satu formaliti.
Ketika ini, sebanyak 11 kesalahan jenayah membawa hukuman mati mandatori dan terdapat seramai 1,318 banduan yang menunggu untuk menjalani hukuman itu setakat Mac 2023, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Kerajaan Pakatan Harapan telah melaksanakan moratorium terhadap hukuman mati mandatori pada 2018 bagi memulakan usaha untuk memansuhkannya. Penangguhan pelaksanaan hukuman mati masih diteruskan sehingga hari ini.
Lebih 70 peratus negara di dunia telah memansuhkan hukuman mati sama ada menerusi undang-undang atau amalan, demikian menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati. Bagaimanapun, ia masih wujud di kebanyakan negara di seluruh dunia teutama yang mempunyai populasi besar dan pemerintahan bersifat autoritarian.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv berkata negara telah mengambil langkah ke hadapan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori namun ia bukanlah satu pengakhiran kerana hukuman itu perlu dimansuhkan sepenuhnya.
"Proses undian hari ini sudah lama ditunggu dan meskipun masih banyak yang perlu dilakukan, pindaan ini meletakkan asas untuk pembaharuan selanjutnya yang mengutamakan hak asasi manusia dan prosiding perbicaraan yang adil,” menurutnya dalam satu kenyataan.
“Apabila pindaan ini berkuat kuasa, mereka yang memohon agar hukuman disemak semula perlu diberi masa yang mencukupi, kemudahan serta akses kepada peguam bela dan hak untuk merayu mana-mana keputusan yang telah dibuat,” kata Maliamauv.
Beliau berkata moratorium hukuman mati juga perlu diteruskan sehingga ia dimansuhkan sepenuhnya dan diganti dengan hukuman pemenjaraan.
Penyelaras Eksekutif Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia Dobby Chew berkata Malaysia telah mengambil langkah pertama yang besar ke arah menangani ketidakadilan yang wujud dalam hukuman mati mandatori.
“Saya sangat gembira kerana ia telah diluluskan. Semoga pada hari-hari mendatang, mereka yang dihukum mati akan mendapat peluang yang adil untuk didengar sepenuhnya oleh mahkamah dan faktor mitigasi dipertimbang.
“Bagaimanapun, ia bukan sahaja penting agar keadilan dapat dilaksanakan tetapi juga untuk rakyat Malaysia menilai sendiri hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pesalah dan memutuskan sama ada ia mampu memberikan keadilan,” katanya kepada BenarNews.
'Pembunuh akan berasa selamat'
Sementara itu, ketika Ahli Dewan Rakyat berbahas untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, Tan Siew Ling, 60, mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen dan menunjukkan gambar anak perempuannya yang telah dirogol serta dibunuh secara kejam pada usia 17 tahun pada 2009.
Ling merayu kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk mempertimbang semula keputusan mereka sambil menangis ketika menceritakan detik-detik yang mengerikan di saat anak perempuannya, Annie Kok Yin Cheng, mati dibunuh.
"Anak perempuan saya dibunuh pada 2009 ketika dia berusia 17 tahun. Dia dirogol dan dibunuh. Lehernya dikelar dan dia mati," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Noor Hakimi Abd Halim iaitu rakan mangsa lain yang turut dibunuh dan beliau meluahkan kebimbangan terhadap pemansuhan hukuman mati.
"Jika hukuman mati mandatori ini dimansuhkan, pembunuh akan berasa selamat dan tidak lagi takut untuk membunuh. Sebab itu kami menggesa agar hukuman mati mandatori tidak dimansuhkan."
Christina Teng, peguam dan jurucakap kumpulan dikenali sebagai 'Protect Malaysia' yang menyokong hukuman mati mandatori berkata tempoh pemenjaraan yang lama untuk jenayah sedahsyat itu adalah tidak mencukupi.
"Penjenayah keji yang melakukan perbuatan terancang seperti merogol dan membunuh atau merompak dan membunuh akan dibebaskan selepas hanya menjalani hukuman penjara 30 tahun hingga 40 tahun, ini merupakan hukuman yang tidak mencukupi untuk kesalahan seserius itu," katanya pada sidang media berkenaan.
Bagi Richard Morais yang kehilangan abangnya, Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu selepas mayatnya ditemukan di dalam tong berisi konkrit, meluahkan rasa sedih yang teramat terhadap pindaan itu.
"Bagaimana saya nak maafkan pembunuh terbabit berdasarkan apa yang terpaksa saya lalui?” katanya kepada BenarNews ketika dihubungi.
“Mereka (kerajaan) tidak pernah menghubungi kami dan tidak pernah melibatkan kami dalam sebarang perbincangan sebelum meminda rang undang-undang ini. Tiada pampasan langsung. Tiada sesen pun yang dihulurkan oleh kerajaan untuk pengebumian Kevin. Mereka kurang bijak dalam hal ini dan apa yang mereka lakukan adalah tidak adil."
Ramkarpal pula berkata kerajaan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan keluarga mangsa.
"Kami simpati dengan mereka dan akan cuba menjelaskan kepada mereka bahawa hukuman mati tidak berkesan. Pendekatan kami adalah dengan melihat gambaran yang lebih besar dan mencegah lebih banyak jenayah kejam. Hukuman mati bukanlah penyelesaian untuk mengurangkan kes-kes sebegini," katanya dalam sidang media pada petang Isnin.
Haizal Yatiran di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.