Delegasi Thailand, Pejuang Selatan Adakan Mesyuarat di Malaysia: Jurucakap MARA
2016.10.26
Kuala Lumpur & Bangkok
Satu pusingan rundingan tinjauan di antara Bangkok dan pejuang selatan Thailand diadakan di Malaysia dan dijangka berterusan sehingga Jumaat dengan isu penting berhubung zon gencatan senjata terkandung dalam agendanya, jurucakap pemberontak memberitahu BeritaBenar.
Mesyuarat itu, yang diadakan dengan bantuan Malaysia bagi memulakan semula rundingan damai rasmi di antara kedua-dua pihak, adalah yang pertama sejak awal September apabila pasukan rundingan bersetuju mengadakan perbincangan akan datang mengenai apa yang dipanggil sebagai zon keselamatan atau gencatan senjata terhad yang dikatakan penting untuk menggerakkan proses damai itu.
Pusingan terbaru bermula pada Selasa dengan mesyuarat delegasi berkenaan diadakan di Putrajaya. Panel teknikal lebih kecil dari kedua-dua pihak akan bertemu pada Rabu, Khamis dan Jumaat untuk membincangkan tentang zon keselamatan serta Terma Rujukan (TOR)-satu peraturan asas untuk rundingan rasmi itu – dan disahkan Abu Hafiz al-Hakim, jurucakap MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan dan puak pejuang wilayah Selatan Thailand.
"Semalam, satu mesyuarat panel utama telah diadakan di Putrajaya,” kata Hafiz ketika dihubungi melalui telefon hari ini.
"Kami bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai zon keselamatan selama tiga hari bermula Rabu, sebagai langkah ke hadapan dalam membina keyakinan kedua-dua pihak."
Ketika diminta mengesahkan sama ada pusingan baru rundingan damai tidak rasmi sudah diadakan, jurucakap pemerintah tentera Thailand di wilayah Selatan hanya bercakap mengenai proses damai secara umumnya.
"Kami meneruskan perbincangan damai dan tugas kami adalah untuk mewujudkan suasana yang menggalakkan bagi rundingan damai dengan kerjasama masyarakat dan ahli akademik," kata Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap pejabat hadapan Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 kepada BeritaBenar pada Rabu.
Sementara itu, agensi berita negara Malaysia, Bernama, melaporkan pada Selasa bahawa kedua-dua pihak telah bertemu di Kuala Lumpur, dan Jeneral Aksara Kerdpol yang mengetuai delegasi Thailand itu.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai isu 'zon selamat' bermula esok sebagai langkah membina keyakinan," lapor Bernama yang memetik sumber MARA Patani sebagai berkata.
'Amat komited': Pemimpin Pemberontak
Sejak 2015, junta Thailand telah cuba menghidupkan semula rundingan damai rasmi bagi menamatkan konflik pemisah yang berlaku sekian lama di wilayah sempadan selatan negara itu, yang kali terakhirnya diadakan semasa kepimpinan kerajaan awam pada 2013. Lebih daripada 6,000 orang telah terbunuh sepanjang 12 tahun yang lalu dalam beberapa keganasan berkaitan dengan pemberontakan di wilayah Selatan, yang kebanyakan penduduknya adalah mereka yang beragama Islam dan berbahasa Melayu.
"Apa yang saya tahu ialah kedua-dua pihak amat komited mengenai isu zon keselamatan. Mudah-mudahan mereka akan mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara pada ... mesyuarat di KL, "kata Kasturi Mahkota, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), satu daripada kumpulan pemberontak yang diwakili MARA, memberitahu BeritaBenar pada Rabu. Menurutnya beliau tidak menghadiri mesyuarat minggu ini di Malaysia.
Pengeboman, tembakan berlaku pada petang sebelum perbincangan
Pusingan terbaru perbincangan bermula pada hari ulang tahun insiden Tak Bai, satu peristiwa yang diingati ramai dalam sejarah masalah di wilayah Selatan dan memarakkan lagi konflik. Seramai 85 orang yang ditahan dalam tunjuk perasaan di luar balai polis di wilayah Narathiwat, mati akibat kelemasan selepas digari dan disusun di atas satu sama lain di dalam kenderaan polis pada 25 Okt 2004.
Mesyuarat itu diadakan ketika keganasan terus berlaku di wilayah Selatan. Sehari sebelum itu, tiga orang terbunuh dan 22 lagi cedera dalam kejadian serangan bom dan tembakan berasingan di wilayah itu. Serangan termasuklah pengeboman gerai mee di pasar malam di wilayah Patani pada petang Isnin di mana seorang wanita berusia 60 tahun terbunuh dan beberapa kanak-kanak cedera.
Pada Selasa, selepas mesyuarat mingguan Kabinet, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha mengulas mengenai pengeboman kedai mee itu.
"Selagi penjenayah cuba mengambil peluang untuk menyerang, keganasan akan berlaku, tetapi kami terus cuba untuk menghentikannya. Penyerang tidak mendedahkan diri mereka tetapi bercampur gaul dengan rakyat, "kata Prayuth kepada pemberita di Bangkok.
Razlan Rashid di Kuala Lumpur dan Nani Yusof di Washington menyumbang kepada laporan ini.