Polis Filipina Tangkap Balu Pemimpin Militan Marawi

Froilan Gallardo & Richel V. Umel
2017.11.05
Cagayan de Oro & Iligan City, Filipina
171105-minhati-620.jpg Rakyat Indonesia, Minhati Madrais, balu pemimpin militan Omarkhayam Maute yang terbunuh bulan lalu di bandar Marawi, selatan Filipina, menjalani pemeriksaan fizikal di sebuah hospital kerajaan di bandar Iligan selepas penangkapannya, 5 Nov 2017.
[Richel V. Umel/BeritaBenar]

Polis menahan seorang wanita Indonesia yang merupakan balu Omarkhayam Maute pada Ahad dan merampas peralatan pembuatan bom dari rumahnya di selatan Filipina, kata para pegawai.

Suspek, Minhati Madrais, ditahan polis di bandar Iligan, kira-kira 30 km (19 batu) di utara bandar selatan Marawi, yang telah dikepung selama lima bulan oleh para pejuang militan pimpinan suaminya, yang menyokong Negara Islam (IS). Pekerja sosial diberi hak penjagaan terhadap enam anaknya - empat perempuan dan dua lelaki.

Polis merampas bahan-bahan yang digunakan untuk membuat peranti letupan, termasuk peledak, serta pasport Indonesia milik Minhati yang telah tamat tempoh semasa pihak berkuasa menyerbu rumahnya, kata pengarah polis wilayah Supt. Timoteo Gascon Pacleb dalam laporan insiden itu.

"Berdasarkan pasportnya, dia telah mengunjungi negara ini tiga kali di antara 2012 dan 2016. Apabila ia tamat pada 2016, dia memohon permit lanjutan setiap kali dia berada di sini," kata Supt Senior. Leony Roy Gia, ketua polis Iligan, kepada BeritaBenar.

Gia berkata, suspek itu sedang disoal siasat pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tentang hubungannya dengan mereka yang masih berada di Marawi atau di Mindanao, pulau ketiga terbesar di selatan negara itu.

Penangkapan itu dibuat selepas para pegawai mengarahkan anggota polis di wilayah itu supaya meningkatkan kewaspadaan setelah pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan bahawa para pejuang militan mungkin cuba melarikan diri daripada pertempuran di Marawi, di mana kira-kira 39 pejuang sedang bertempur dengan pasukan kerajaan.

Para pegawai berkata, para pejuang tersebut yang mungkin termasuk militan asing, dalam keadaan yang semakin terdesak setelah pihak tentera mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan pertempuran itu.

Minhati, yang bekerja sebagai guru, bertemu dengan Omarkhayam ketika mereka menuntut di institusi pengajian tinggi di Mesir. Selepas menamatkan pengajian universiti, mereka pulang ke Indonesia tetapi akhirnya kembali ke Marawi, kata polis.

Minggu lalu, polis turut menahan Mohammad Ilham Syahputra, 23, yang merupakan anggota militan Indonesia, ketika dia meninggalkan rakan-rakannya dan berenang menyeberangi sebuah tasik di Marawi, bandar yang mempunyai 200,000 penduduk serta banyak masjid yang kini musnah dan ranap.

Pertempuran Marawi meletus pada 23 Mei lalu apabila polis dan tentera melakukan gerakan untuk menangkap Isnilon Hapilon, pemimpin yang diakui mengetuai cawangan IS di Asia Tenggara dan berada dalam senarai orang paling dikehendaki oleh FBI.

Tetapi, mereka bertembung dengan sekumpulan besar pejuang militan termasuk ahli-ahli Kumpulan Abu Sayyaf yang dianggotai Hapilon dan beberapa pejuang dari Timur Tengah dan Asia Tenggara. Mereka juga mendapat sokongan sekumpulan militan yang diketuai oleh Omarkhayam dan abangnya, Abdullah Maute.

Para penembak hendap mengambil kedudukan strategik di bangunan-bangunan yang ada tetapi jet-jet Tentera Udara mengurangkan ancaman itu dengan melancarkan pengeboman setiap hari.

Pihak tentera membunuh Hapilon dan Omarkhayam pada 16 Okt manakala Abdullah dibunuh sebelum itu.

Mahmud Ahmad, profesor universiti Malaysia yang didakwa mendalangi serangan Marawi, pula dibunuh selepas itu, lapor pihak tentera. Menurut pihak tentera, kematian Mahmud disaksikan oleh beberapa tebusan yang telah melarikan diri tetapi mayatnya masih belum ditemui.

Pertempuran itu, yang membangkitkan kebimbangan bahawa IS mungkin bertapak di Asia Tenggara, telah mengorbankan hampir 1,000 militan, 165 anggota tentera dan polis serta 47 orang awam.

Jeoffrey Maitem turut menyumbang kepada laporan ini.

Rakyat Indonesia, Minhati Madrais, balu pemimpin militan Omarkhayam Maute, memegang tanda namanya semasa dia ditahan di balai polis di bandar Iligan, selatan Filipina selepas penangkapannya, 5 Nov, 2017. [Edaran Polis]





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.