Permohonan Habeas Corpus Maria Chin Dibatalkan Mahkamah

Hata Wahari
2016.11.29
Kuala Lumpur
161129-MY-maria-peluru-620.jpg Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih menunjukkan surat ugutan dan peluru yang diterimanya kepada wartawan di Petaling Jaya, 29 November 2016.
[Ihsan Bersih 2.0]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa membatalkan permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berhubung penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah  Khas) 2012 [SOSMA], dengan Ketua Polis Negara pula berkata, bahawa pemimpin aktivis itu boleh ditahan semula, walaupun telah dibebaskan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nordin Hassan membuat keputusan bahawa writ Maria  itu tidak sah kerana Maria telah dibebaskan dari tahanan SOSMA pada Isnin .

Hakim itu juga menegaskan tidak ada keperluan untuk beliau membuat keputusan mengenai pembebasan Maria ataupun mendengar bayaran ganti rugi walaupun peguam Maria , Gurdial Singh Nijar berhujah agar mahkamah mendengar merit lain yang dipohon oleh Maria terutama dari segi pampasan kerana penahanan tidak sah tersebut.

Maria telah diwakili oleh Gurdial , Ambiga Sreenevasan, Honey Tan  sementara Kementerian Dalam Negeri diwakili oleh  penasihat undang-undang Mohammad Al-Saifi Hashim manakala  Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti mewakili responden, Supt Tham Lai Kuan.

Maria ditahan dalam satu serbuan di pejabat Bersih pada 18 Nov. Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen kerana Bersih telah menerima pembiayaan daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan kepada pembiaya George Soros.

Dalam pada itu, Khalid Abu Bakar, yang mengetuai pasukan Polis Malaysia pula berkata, pasukan siasatan membebaskan Maria selepas segala butiran dan fakta yang diperlukan sudah diambil kira.

"Pasukan siasatan sedang melengkapkan dan mengemaskini kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

"Sehubungan itu, kami menafikan dakwaan Maria Chin yang menyatakan siasatan terhadapnya sudah selesai sepenuhnya dan dia tidak bersalah," katanya seperti dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian pada Selasa.

Khalid berkata, tiada keperluan untuk pihaknya menahan Maria lebih lama selepas siasatan awal selesai.

"Ini bukan bermaksud dia tidak bersalah, namun kita membawa keputusan siasatan untuk pendakwaan. "Selain SOSMA, dia juga berhadapan siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

Maria pada 22 Nov lepas telah memfailkan habeas corpus berkenaan, dengan menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas  di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Supt Tham Lai Kuan; Ketua Polis Negara; Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pemimpin aktivis itu, memohon perintah agar beliau dibebaskan serta-merta, dibawa ke mahkamah sepanjang perbicaraan permohonan itu, tidak ditangkap atau ditahan semula atas alasan atau berkaitan serta tidak dikenakan sebarang sekatan di bawah SOSMA.

Anak sulung Maria, Azumin Mohamad Yunus, 23, dalam afidavit sokongannya, berkata ibunya ditangkap ketika beliau berada di pejabatnya di Blok A, Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, pada 3.10 petang 18 Nov, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.0 pada Sabtu lepas.

Maria yang ditemui selepas kes mahkamah itu, memberitahu beliau  telah mengarahkan peguam-peguamnya untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Katanya, keputusan untuk membuat rayuan tersebut bukan untuk dirinya dan kesnya sahaja tetapi kini juga melibatkan Empower sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak wanita di mana pejabatnya telah diserbu dibawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas seksyen yang sama beliau telah di tahan di bawah SOSMA.

Soalnya adakah perkara ini akan dibuat keatas pertubuhan bukan kerajaan lain atau individu lain? Beliau menambah, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada penahanan di bawah SOSMA yang tidak melibatkan pengganas atau militan sah atau tidak.

Sementara itu Ambiga menegaskan, rayuan itu perlu dibuat supaya Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan sama ada perlu  atau tidak mengambil  tindakan kebertanggungjawaban menggunakan SOSMA untuk menahan Maria.

Tegasnya, pada masa ini tidak ada kebertanggungjawaban mengapa Maria di tahan di bawah SOSMA dan perkara ini perlu diputuskan oleh mahkamah .

Ugutan peluru

Sementara itu Maria juga memberitahu yang beliau ada menerima ugutan dalam nota yang bertulis "Last Warning, If Not R.I.P Maria & Family" beserta sampul surat mengandungi sebutir peluru hidup berukuran 0.45mm yang diletakkan di atas meja di pejabatnya di Petaling Jaya.

Katanya, beliau  akan membuat laporan polis berhubung ugutan itu dan menegaskan  menemui surat ini pagi selasa tetapi percaya  ia telah dihantar pada 17 November lepas.

‘’Anak-anak saya  mungkin telah mengambil dan membawa masuk surat itu di dalam rumah pada 17 Nov tanpa pengetahuan mereka sebelum perhimpunan Bersih 5, tetapi hanya menemui surat di atas meja di rumah pada pagi Selasa,’’ katanya pada media pada Selasa.

Apabila ditanya bagaimana dia merasakan selepas membaca surat itu dan mendapati peluru, Maria berkata “dia berasa jijik” dengan ugutan itu.

"Orang yang melakukan semua ini perlu dimasukkan ke dalam penjara dan menegaskan dua ancaman bunuh yang diterimanya sebelum melalui aplikasi  WhatsApp, tetapi masih belum menerima sebarang maklumat daripada pihak polis mengenai laporan yang telah dibuat,’’ ujar beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.