Terengganu ikut negeri lain larang pemimpin jadikan masjid tempat berpolitik
2023.03.03
Kuala Lumpur
Raja-raja Melayu telah memulakan tindakan tegas ke atas amalan mencampuri agama dan politik, dengan Sultan Terengganu pada Jumaat melarang ahli politik daripada menyampaikan ceramah politik dan khutbah di masjid serta surau tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa agama.
Negeri Terengganu berada di bawah pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti Islam berpegangan keras, yang memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya umum November lalu, dengan para pengkritik mendakwa kemenangan tersebut bersandarkan kepada kempen kebencian dan tidak bertoleransi.
Menurut titah Sultan Mizan Zainal Abidin seperti diumumkan Majlis Agama Islam dan Adab Melayu Terengganu (Maidam), masjid tidak sepatutnya disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat.
Titah tersebut menuruti langkah sama yang telah diambil oleh Sultan Selangor dan Sultan Johor dalam melarang masjid dijadikan tempat melakukan aktiviti berkait politik.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan rasa dukacita dengan situasi penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adab Melayu Terengganu (Maidam).
“Sehubungan dengan itu, Maidam mengambil keputusan bersetuju untuk membuat ketetapan semua Ahli Yang Berhormat sama ada Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu.
“Semua Ahli Yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai Khatib dan Imam solat Jumaat di Masjid,” ujar Yang Dipertua Maidam Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan bertarikh 2 Mac.
Menurutnya, arahan berkenaan telah mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Shaikh Harun berkata larangan yang sama turut dikenakan ke atas kepimpinan dan aktivis politik.
“Semua program keagamaan anjuran agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berlangsung di premis agensi atau di tempat awam juga hanya boleh melibatkan penceramah yang mendapat tauliah,” tambah Shaikh Harun lagi.
Susulan larangan berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu melalui unit penguatkuasaan di setiap daerah telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan.
“Sultan Mizan juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh Maidam dan JHEAT,” katanya lagi.
Reaksi pemimpin dan rakyat
Dalam reaksinya, Raja Kamarul Bahrin Shah pengerusi Pakatan Harapan Terengganu menyambut baik tindakan Maidam.
“Kenyataan Yang Dipertua Maidam adalah bijaksana serta tepat dan amat di alu-alukan rakyat yang cintakan pendamaian.
“Memandangkan keadaan suasana yang tidak sihat khususnya di Terengganu, sudah pasti majoriti rakyat negeri mengalu alukan kenyataan tersebut.
“Malah bersetuju masjid dan surau sebagai rumah ibadat sepatutnya menyatukan rakyat melalui mesej perpaduan dan bukan perpecahan,” katanya seperti dilaporkan oleh portal Harapan Daily.
Raja Kamarul, yang juga ahli kerabat diraja Terengganu turut mengharapkan suasana toksik disebabkan politik kepartian dihentikan segera dan semangat persaudaraan diutamakan bertepatan dengan ajaran Islam mulia yang sebenarnya.
Sementara itu, Zawawi Mughni pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Selangor dalam ciapannya di Twitter membidas PAS yang sebelum ini mengkritik pentadbiran agama Islam di Selangor.
“Menunjung kasih Tuanku. Sebelum ini ada yang kata Selangor malap dan sunyi dari kuliah agama. Lepas ni kita tengok masjid dan surau di Terengganu pulak,” ciapnya sebagai menjunjung titah Sultan Terengganu yang dikeluarkan oleh Maidam.
Seorang lagi pengguna Twitter, Mas Shaari dalam ciapnya berkata: “Lepas ini tak boleh bagi alasan lagilah tak hadir sidang Parlimen.”
Ciapan itu difahamkan merujuk kepada ahli-ahli Parlimen dari parti PAS dari Terengganu khususnya presiden parti itu, Abdul Hadi Awang yang mencatatkan kehadiran terendah di Parlimen tahun lalu iaitu cuma 21 daripada 71 hari persidangan sejak Julai 2021 hingga April 2022.
Pada 17 Jan lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) telah menitahkan larangan penggunaan masjid dan surau di negeri tersebut untuk menyebarkan pengaruh politik.
Mainj turut memberi amaran dan melarang sekeras-kerasnya mana-mana individu atau ahli politik supaya tidak menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran atau perbincangan hal ehwal politik.
“Ingin ditegaskan bahawa penganjuran program berbaur politik di dalam masjid tidak boleh dilaksanakan sama sekali dan mana-mana pihak yang membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan.
“Sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj),” umum Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid seperti dilaporkan media tempatan.
Sebelum itu, beberapa negeri lain turut melarang perbuatan menyalahgunakan masjid bagi tujuan menyebarkan dakyah politik kepartian.
Pada Oktober lalu, Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengeluarkan arahan melarang sebarang aktiviti kempen politik di semua masjid di negeri tersebut menjelang pilihan raya umum ke-15.
Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua Maik berkata semua imam di negeri itu telah diarahkan untuk tidak membenarkan sebarang kempen politik di masjid masing-masing.
Kelantan yang berjiran dengan Terengganu, turut berada di bawah pentadbiran PAS.
Terdahulu, pada Disember 2021, Majlis Agama Islam Negeri Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar agama yang dikeluarkan kepada semua aktivis politik di negeri itu, atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Abdul Aziz Mohd Yusof, pengerusi Mais dilaporkan berkata Sultan Sharafuddin tidak mahu agama Islam “dipolitikkan serta dijadikan bahan politik” oleh mana-mana pihak di Selangor.
Pada Oktober 2019, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kepada mana-mana ahli jawatankuasa kariah masjid atau penceramah yang diberikan tauliah untuk berundur dari jawatan sekiranya mempunyai cita-cita politik.
Sultan Nazrin menegaskan semua pihak yang diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah masjid supaya bersifat tegas dan bijaksana serta tidak membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik.
Titahnya lagi, masjid perlu dilindungi daripada sebarang kegiatan politik yang memecahbelahkan ummah dan mencemar kesucian masjid sebagai institusi yang menyatupadukan ummah.