Malaysia cadang hapus hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat

Cadangan menghapuskan hukuman mati melibatkan 11 kesalahan dibentangkan buat pertama kalinya semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.03.27
Kuala Lumpur
Malaysia cadang hapus hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat Aktivis hak asasi manusia mengadakan malam nyalaan lilin bagi rakyat Malaysia, Kalwant Singh yang akan menjalani hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah di Singapura di hadapan pejabat Kedutaan negara itu di Kuala Lumpur, 6 Julai, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Isnin membentangkan sebuah rang undang-undang baharu di Parlimen bagi menghapuskan peruntukan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat, satu langkah oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang mendapat pujian Amnesty International.

Rang undang-undang tersebut mencadangkan supaya hukuman penjara sepanjang hayat, yang membawa maksud seorang pesalah dipenjarakan sehingga mati, digantikan dengan hukuman penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta 12 kali sebatan.

"(Di bawah pindaan ini) terma 'pemenjaraan sepanjang hayat' akan digugurkan daripada semua akta berkaitan," kata Menteri Undang-undang Azalina Othman Said dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Cadangan tersebut telah dibawa pada 11.50 pagi Isnin itu akan melalui proses perdebatan di Parlimen pada minggu ini, sebelum satu sesi undian yang dijadualkan pada 3 April ini.

Kerajaan hanya memerlukan bilangan undi majoriti mudah di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan, kerana ia tidak membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Azalina berkata penghapusan hukuman mati mandatori itu adalah untuk menghormati nilai nyawa manusia dan memastikan keadilan untuk semua pihak, termasuk mangsa dan keluarga mereka.

"Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa yang sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa pembunuhan, kes yang melibatkan pengedaran dadah, serta keluarga mangsa," kata Menteri itu.

Pada tahun lepas, rang undang-undang tersebut telah mendapat peluang untuk dibentangkan di Parlimen, namun gagal dilakukan kerana Dewan Rakyat kemudiannya dibubarkan empat hari selepas itu pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Di bawah cadangan pindaan berkenaan, peruntukan undang-undang baru akan memberikan hakim mahkamah kuasa budi bicara untuk memilih hukuman lain selain hukuman mati bagi 11 jenis kesalahan termasuk pembunuhan, pengedaran dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan penculikan yang menyebabkan kematian.

Di bawah undang-undang sedia ada, kesemua kesalahan tersebut hanya memperuntukkan satu hukuman iaitu hukuman mati mandatori.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Penjara, terdapat sejumlah 1,318 banduan akhir yang sedang menunggu untuk dihukum mati setakat Mac 2023.

BenarNews telah menghubungi beberapa ahli keluarga jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais yang mati dibunuh bagi mendapatkan maklumbalas mereka mengenai rang undang-undang baharu itu, namun tidak mendapat sebarang respon.

Kerajaan pimpinan Anwar pada Januari telah menyatakan bahawa Putrajaya akan melihat semula cadangan menggantikan hukuman mati mandatori dan memberikan pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan, satu langkah yang selari dengan janji dibuat blok politik pimpinannya dalam manifesto pilihan raya mereka pada 2018.

Selepas blok Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum Malaysia pada 2018, kerajaan baharu yang ketika itu dipimpin Mahathir Mohamad telah mengumumkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati yang berkuatkuasa sehingga hari ini walaupun selepas beberapa kali tampuk pentadbiran negara bertukar ganti.

Reformasi sistem keadilan

Badan antarabangsa Amnesty International telah memuji Malaysia atas usaha negara itu mereformasikan sistem keadilannya.

"Kami memuji komitmen kerajaan dalam menghapuskan hukuman mati mandatori dan memberikan kuasa budi bicara kepada badan kehakiman, yang mana sekiranya diluluskan nanti oleh Parlimen ia akan memberikan kesan kepada banduan-banduan yang kini sedang menunggu hukuman mati serta keluarga mereka," kata Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia dalam satu kenyataan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, badan itu turut menekankan bahawa cadangan terbaru Malaysia itu bukan satu langkah akhir dalam menuju ke arah penghapusan hukuman kejam.

"Menghapuskan hukuman mati mandatori adalah langkah penting, namun ia tidak patut menjadi yang terakhir. Malaysia mampu dan mesti berusaha ke arah menghentikan semua jenis hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina," kata beliau.

Katrina turut menyatakan bahawa tujuan asas pemenjaraan sepatutnya membabitkan usaha pemulihan sosial, kerana penggunaan terma 'hukuman penjara seumur hidup' melanggar prinsip asas tersebut.

Dobby Chew, penyelaras eksekutif Jaringan Anti Hukuman Mati Asia, berkata hukuman mati mandatori telah menafikan mahkamah daripada menggunakan budi bicara serta keadaan di mana hukuman boleh dikurangkan, sekaligus menyebabkan lebih ramai pesalah terpaksa diletakkan sebagai banduan akhir.

"Hukuman mati mandatori menafikan budi bicara mahkamah dan gagal mengambil kira situasi dalam sesuatu jenayah di mana hukuman boleh dikurangkan.

"Mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati dan menjalani hukuman itu telah terlepas peluang untuk kisah mereka didengar dan diambil kira. Disebabkan peruntukan hukuman mandatori ini, kita mempunyai bilangan banduan akhir yang lebih ramai berbanding negara-negara seperti India dan Indonesia," kata beliau kepada BenarNews.

Ketepikan hak mangsa jenayah

Bagaimanapun, Christina Teng, seorang peguam dan jurucakap bagi kumpulan dikenali ‘Protect Malaysia’ yang menyokong hukuman mati berkata, peruntukan hukuman mandatori perlu dikekalkan, dan menggesa supaya kerajaan membersihkan sistem keadilan negara terlebih dahulu.

"Hukuman mati mandatori mesti ada. Kami sangat kecewa dengan cara mereka membawa cadangan ini. Mereka mengenepikan hak dan maruah para mangsa jenayah.

"Sebelum kerajaan berlembut dalam undang-undang atau jenayah dan membuang apa-apa peruntukan, mereka patut memperbaiki sistem yang rosak dahulu," kata beliau kepada BenarNews.

Kata Christina, penghapusan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat akan mewujudkan satu kelemahan yang membolehkan penjenayah terlepas daripada hukuman setimpal.

"Tiada hakim yang akan mahu menggunakan hukuman mati. Sekiranya penjenayah dipenjarakan dan tiada hukuman penjara sepanjang hayat, mereka hanya akan menjalani hukuman untuk satu jangka masa pendek sebelum dilepaskan. Ia akan menyaksikan pelaku jenayah berbahaya dibebaskan. Dan ini satu ancaman kepada orang ramai," kata beliau.

Muhammad Akmal Nordin, seorang pengguna media sosial, turut berkongsi pandangan serupa dan menyatakan bahawa hukuman mati mandatori adalah satu keperluan bagi menangani mereka yang membunuh dan mengedar dadah, kerana terdapat isu dan kos dalam pelaksanaan hukuman alternatif.

"Walaupun langkah ini dikatakan sesuatu yang progresif, ia akan menyebabkan lebih banyak masalah bagi negara. Tambahan pula, kos untuk menyara penjenayah-penjenayah ini bagi tempoh 30 ke 40 tahun adalah satu pembaziran, dan ia satu penyalahgunaan wang pembayar cukai.

"Hukuman mati sepatutnya menjadi satu-satunya pilihan hukuman bagi mereka yang terbabit dalam menyebabkan kematian dan pengedaran dadah," kata beliau.

Seorang lagi pengguna media sosial, Musthafah Mohdtahir, berkata pindaan baharu itu tidak akan membawa sebarang kebaikan.

"Apakah kebaikan daripada keputusan ini untuk rakyat? Ia seperti membuatkan penjenayah menjadi lebih ancaman kepada umum, kerana mereka tidak lagi takut dengan hukuman untuk membunuh orang," katanya.

Timbalan Menteri Undang-Undang Ramkarpal Singh dalam satu sesi penerangan kepada media minggu lalu bagaimanapun berkata kerajaan memutuskan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori kerana fakta menunjukkan bahawa ia tidak berkesan dalam menghalang perbuatan jenayah bagi tempoh jangka masa panjang.

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk menghapuskan peruntukan mandatori dalam hukuman mati.

"Bukti menunjukkan bahawa ia bukan sesuatu yang berkesan dalam mengurangkan jenayah. Ia tidak mencapai tujuan yang kita sasarkan dalam jangka panjang," kata beliau pada Jumaat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.