Jaminan PM pelajar cemerlang semua kaum diterima ke matrikulasi terus dikritik
2024.07.02
Kuala Lumpur

Jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memastikan semua pelajar tanpa mengira kaum yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat tempat di pusat pengajian matrikulasi terus mendapat kritikan ekoran pendirian kerajaan mempertahankan sistem kuota yang berasaskan etnik sedia ada yang memihak kepada pelajar Melayu dan Bumiputera di negara itu.
Dasar sedia ada memperuntukkan kuota kemasukan kolej matrikulasi, program persediaan lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke universiti sebanyak 90 peratus kepada etnik Melayu dan Bumiputera serta anak pribumi Sabah dan Sarawak.
Kuota kemasukan ke matrikulasi merupakan antara kelebihan yang diberikan kepada etnik Melayu dan Bumiputera di Malaysia selain beberapa kelebihan dalam sektor lain berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan menjaga hak keistimewaan tersebut.
“Kadar kuota tidak boleh dikira sebagai seimbang seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebaliknya ia mengabaikan hak bukan bumiputera dalam pendidikan,” kata Lawyer for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pengarahnya Zaid Malek menyuarakan kekecewaannya apabila Anwar yang sering menggambarkan dirinya sebagai reformis gagal menunjukkan keprihatinan terhadap struktur perkauman yang menurutnya telah diterapkan dalam program matrikulasi susulan dasar kuota kemasukan mengikut kaum yang tidak seimbang.
Anwar pada Ahad lalu mengumumkan bahawa pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM akan mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian ke pusat matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tanpa mengira kaum sambil memberi jaminan bahawa sistem kuota Bumiputera sedia ada terus dikekalkan.
Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dengan Jemaah Menteri bertujuan bagi mengurangkan ketegangan yang dihadapi oleh KPM hampir saban tahun berikutan keputusan penempatan matrikulasi.
“Masih ramai orang Bumiputera tidak mendapat persaingan yang adil… jadi, yang betul-betul cemerlang kita bagi ruang, tapi jangan lupa yang tidak cemerlang….Kalau kita fikirkan hanya Bumiputera saja, tapi anak India yang miskin di estet dapat 10A diketepikan itu tak jadi,
“Kalau kita fikirkan dari sudut meritokrasi semata-mata tanpa mempertimbangkan keadilannya, tidak adil juga. Jadi marilah kita ambil pendekatan secara berhati-hati dan berhemah,” kata Anwar ketika menjelaskan isu tersebut kepada penjawat awam di Putrajaya pada Isnin.
"Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A, kita beri jaminan tempat di matrikulasi dan asasi.”
Menurut KPM, program matrikulasi yang diwujudkan di bawah kementerian pada 1998 merupakan satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Ia telah diselaraskan dengan program matrikulasi dan asasi yang dijalankan oleh pihak universiti sebelum itu.
Mulai sesi 2003/2004, program matrikulasi telah membuka ruang 10 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengikutinya.
Populasi rakyat di Malaysia merangkumi 70 peratus etnik Melayu, 22.6 peratus kaum Cina dan 6.6 peratus India.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada Isnin berkata bagi mencapai arahan Perdana Menteri itu, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang telah membuat permohonan ke program matrikulasi KPM atau program-program melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA.
"Ini bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar," katanya.
Bagaimanapun kata kenyataan itu, tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM manakala KPT memberikan tumpuan kepada kemasukan program asasi dan diploma di Universiti Awam
Ketetapan itu dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM termasuk dari keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara C Sivaraj pada Isnin menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan kuota khas sebanyak 2,500 tempat kepada pelajar India untuk mengikuti program matrikulasi kerana popolusi pelajar Cina adalah jauh lebih ramai.
Kurangkan ketegangan kaum
Zaid berpendapat bahawa pengumuman itu secara tidak langsung menambah lagi halangan kemasukan bukan bumiputera ke peringkat pengajian tinggi memandangkan hanya sebilangan pelajar yang menduduki peperiksaan untuk 10 mata pelajaran.
“Bagaimana pula dengan pelajar bukan Bumiputera yang juga cemerlang dan mencapai keputusan 9A, 8A atau 7A? Adakah mereka tidak layak mendapat tempat di matrikulasi?
“Walaupun pengumuman itu dikatakan dibuat dengan niat mengurangkan ketegangan kaum, ia tidak bermakna memandangkan kuota berdasarkan kaum masih dikekalkan,” katanya.
Satu kumpulan yang memperjuangkan isu pendidikan turut bersependapat bahawa jaminan perdana menteri itu bersifat retorik semata-mata tanpa menyelesaikan isu sebenar.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata jika diteliti secara mendalam kebanyakan pelajar hanya menduduki sembilan mata pelajaran dalam SPM.
“Melihat kepada sistem kuota sedia ada, daripada 40,000 penempatan di matrikulasi, 90 peratus telah diperuntukkan untuk pelajar Bumiputera, 5.5 peratus atau bersamaan 2,200 tempat untuk pelajar Cina manakala 3.5 peratus atau 1,400 tempat lagi untuk pelajar India.
“Besar kebarangkalian, pelajar cemerlang yang meraih 10A yang memohon telah terjamin mendapat tempat di matrikulasi di bawah sistem kuota ini,” kata Noor Azimah Rahim, pengerusi PAGE kepada BenarNews.
Sebuah pertubuhan hak asasi manusia bukan kerajaan yang memperjuangkan diskriminasi perkauman di Malaysia, Pusat Komas berkata kerajaan harus lebih telus dalam isu kemasukan matrikulasi.
“Program matrikulasi memilih pelajar berdasarkan kuota 90 peratus untuk Bumiputera dan hanya 10 peratus untuk bukan Bumiputera menyebabkan beberapa pelajar yang bukan Bumiputera terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempat yang terhad dan berasa tidak mencukupi apabila mereka tidak terpilih ke program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan cemerlang.
“Walaupun tindakan afirmatif adalah terjamin mengikut Perlembagaan Persekutuan, ia tidak seharusnya merugikan rakyat Malaysia yang lain.
“Mereka yang layak mendapat bantuan seharusnya diberikan sokongan yang diperlukan tetapi kita juga tidak boleh melupakan mereka yang juga layak menerimanya berdasarkan merit,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA) Wee Ka Siong turut mempersoalkan tentang manfaat dari pengumuman itu kepada pelajar bukan Bumiputera.
“Bagaimana semua pelajar SPM kaum Cina yang mendapat 10A dapat diterima masuk sekiranya dasar pengambilan pelajar tidak berubah. Ini kerana setiap tahun, jumlah pelajar Cina yang memperoleh keputusan SPM cemerlang jauh melebihi jumlah yang diterima masuk program matrikulasi.
“Dalam keadaan kekurangan tempat di matrikulasi, adakah kerajaan dapat memastikan satu situasi menang-menang untuk semua atau adakah berlaku situasi ‘zero sum game’ di mana satu pihak terpaksa berkorban?” soal beliau dalam hantaran di Facebook pada Isnin.