Media Malaysia Desak Putrajaya Kotakan Janji Hapus Akta Anti Berita Tidak Benar
2018.05.14
Kuala Lumpur, Malaysia

Aktivis media dan badan bukan kerajaan Malaysia mendesak Pakatan Harapan yang baru saja memenangi pilihan raya umum untuk mengotakan janji memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya.
Menurut Gerakan Media Merdeka (Geramm) pengumuman Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Ahad bahawa akta tersebut, yang diluluskan secara tergesa-gesa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya, tidak akan ditarik balik, sebaliknya akan dipinda, merupakan suatu kenyataan yang janggal dan bertentangan dengan janji mereka sebelum ini.
Ahad lalu, Mahathir berkata kerajaan barunya akan menentukan dengan jelas apa yang ditakrif sebagai berita palsu dan apa yang bukan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan baru tidak akan menyekat kebebasan akhbar, beliau memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk menghasut rakyat tidak akan diterima.
Mahathir juga tidak menyatakan sama ada beliau merancang untuk memansuh, meminda undang-undang sedia ada mengenai berita palsu ataupun menggubal rang undang-undang yang baru.
"Kami menuntut janji PH dalam manifesto mereka untuk membebaskan media. Walaupun penarikan akta ini tiada dalam manifesto secara spesifik, seluruh pimpinan tertinggi PH sebelum ini termasuk Mahathir sendiri telahpun memberi komitmen untuk menghapuskan undang-undang zalim termasuk akta ini, " kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada BenarBenar.
Geramm yang berjuang menentang akta Percetakan dan Mesin Cetak sejak 2015 turut mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa pada sidang Majlis Presiden Pakatan Harapan 4 April lalu mereka telah menyatakan pendirian terhadap akta itu yang diluluskan tanpa perbahasan mencukupi selepas hanya beberapa hari.
Mahathir pada 3 April berkata bahawa akta berita tidak benar akan dihapuskan bersama akta-akta lain yang bersifat menekan orang ramai.
Mahathir dalam sidang media tersebut juga turut mengulang janji PH antaranya menghapuskan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej 1971, Akta Media Cetak dan Pencetakan 1984 , Akta Keselamatan Negara 2016 dan mana-mana peruntukan undang-undang yang membawa kepada hukuman mati.
"Rakyat yang mengundi mereka turut menyokong pendirian untuk menarik balik undang-undang zalim seperti akta ini(Akta Berita Tidak Benar) apabila mereka menyatakan pendirian mereka," tambah Geramm.
Sementara itu wakil NGO Legal Hack, Quratulain Atiqah turut memberi pendapat sama kerana kandungan akta anti berita tidak benar itu sebenarnya terdapat di dalam beberapa akta lain seperti Akta Hasutan, kanun keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta beberapa Akta yang telahpun sedia ada.
"Tidak perlu ada dua undang-undang digunakan untuk tujuan sama di negara ini," kata beliau kepada BeritaBenar.
Bertentangan dengan kenyataan Mahathir, beberapa pemimpin tertinggi PH walaubagaimanapun memberi komitmen mereka bahawa akta kontroversi tersebut akan tetap ditarik balik seperti yang dijanjikan.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat kenyataan pada Isnin memberi jaminan kepada rakyat berkenaan hal tersebut.
"Saya akan bertemu perdana menteri esok (Selasa 15 Mei) dan membawa hal ini. Saya yakin pendirian beliau masih sama dengan kami (untuk menarik akta ini)," kata Guan Eng.
Mahathir turut menjadi antara orang pertama yang menyatakan ketidakperluan akta tersebut selepas taklimat Rang Undang-undangnya 27 Mac lalu.
"Amat jelas sekali bahawa mereka (BN) keliru dan tidak tahu apa sebenarnya tujuan undang-undang ini, selain daripada tujuan politik.
“Undang-undang lain sudah pun cukup tetapi (undang-undang ini) dibuat untuk memberi kerajaan kuasa untuk menahan pengkritik-pengkritik kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat RUU tersebut di bangunan Parlimen ketika itu.
Akta Berita Tidak Benar 2018 yang telah diluluskan dalam persidangan Parliamen ke 13 digazetkan pada April 11, empat hari selepas Parlimen dibubarkan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh akan berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih enam tahun dan boleh didenda sehingga RM500,000
Pengkritik mendakwa bahawa akta tersebut yang diluluskan dalam keadaan tergesa-gesa itu adalah usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengekang suara mereka yang kuat mengkritik beliau dan gabungan parti politik di bawah Barisan Nasional.
Akta itu turut didakwa untuk menyekat pihak pembangkang pada waktu itu dari menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad sebagai bahan kempen pilihanraya untuk meraih undi.
Pada pilihanraya yang lepas Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Mahathir telah berjaya merampas Putrajaya dari BN yang telah membentuk kerajaan sejak kemerdekaan.