Kebebasan Media: Malaysia di Tangga ke-145 belakang Indonesia dan Thailand

Hareez Lee
2018.04.26
Kuala Lumpur
180426-MY-Reporters1000.jpg Setiausaha Agung Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) Christophe Deloire semasa bercakap pada sidang media ketika membentangkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2018, di Paris, Perancis, 25 April 2018.
AFP

Malaysia turun satu anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2018 yang dikeluarkan oleh badan pemantau media antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini.

Laporan itu menyatakan Malaysia turun ke tangga 145, ketinggalan di belakang negara jiran Indonesia (124) dan Thailand (140). Sebuah lagi negara jiran, Singapura, pula kekal di belakang Malaysia di tangga ke-151.

Halaman ringkasan ulasan laporan RSF itu ada menyebut Malaysia telah mengumpul markah sebanyak 47.41 berbanding 46.89 dalam indeks yang sama tahun lalu.

Kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia ditentukan melalui jumlah markah yang dikumpul dan negara dengan markah terendah dianggap sebagai paling baik.

"Di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan Malaysia, syarikat akhbar perlu memohon kepada kerajaan setiap tahun untuk memperbaharui lesen operasi mereka. Wartawan dan syarikat media juga tertakluk kepada gangguan apabila mereka dianggap terlalu bebas atau kritikal kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak, yang terbabit dengan skandal rasuah ‘1MDB’. Laman sesawang seperti Sarawak Report dan The Edge juga selalu disekat aksesnya kerana menyiarkan berita ini.

"Beberapa cadangan pindaan undang-undang juga bakal memperkukuhkan lagi Akta Rahsia Rasmi dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang sudah sedia zalim, mendedahkan lagi ancaman terhadap kebebasan pihak media dalam membuat liputan pilihan raya 2018," kata laporan itu.

Kerajaan, pada awal April sebelum Parlimen dibubarkan, telah meluluskan satu akta baharu bagi menghukum mereka yang menyebarkan berita palsu dengan hukuman denda dan penjara.

Akta itu, yang telah digazetkan baru-baru ini, didakwa oleh pembangkang dan sesetengah aktivis sosial sebagai satu percubaan untuk mendiamkan pengkritik kerajaan serta Perdana Menteri Najib Razak.

Antara faktor lain yang diambil kira oleh RSF ialah pemantauan ketat ke atas blogger di Malaysia oleh pihak berkuasa yang boleh mendakwa mereka kerana menyebarkan berita palsu, dan Akta Hasutan yang dikatakan masih menjadi ancaman paling besar kepada wartawan dengan pindaan terkini membolehkan seorang wartawan yang didapati bersalah menghasut dihukum penjara antara 3 hingga 20 tahun.
Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ Malaysia) ketika dihubungi BeritaBenar berkata kemerosotan kedudukan Malaysia dalam indeks terbaharu RSF menunjukkan bahawa kebebasan media perlu diperbaiki, dan kerajaan atau pihak berkuasa perlu melihat perkara tersebut dengan lebih serius lagi.

Setiausaha Agung NUJ Malaysia, Chin Sung Chew, memaklumkan BeritaBenar bahawa undang-undang baharu Akta Anti Berita Palsu yang diluluskan Dewan Rakyat bulan ini mampu memburukkan lagi situasi dalam konteks kedudukan Malaysia dari segi kebebasan media.

"Saya rasa ia bergantung kepada bagaimana kerajaan akan menggunakannya (Akta Anti Berita Palsu). Jika ia digunakan dengan betul terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu, ia adalah baik. Tetapi jika ia digunakan untuk menghukum seseorang atau wartawan semata-mata, maka ia akan membawa impak negatif," katanya.

Ditanya apakah rancangan NUJ untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media RSF, Chin berkata kesatuan itu mempunyai kemampuan yang terhad, tetapi mereka akan meminta kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) negara pada bulan depan untuk melihat secara serius dan mengkaji semula undang-undang sedia ada.

Sebuah lagi badan perikatan wartawan tempatan, Gerakan Media Marah atau Geramm, dalam satu kenyataan menyebut, secara amnya ia bersetuju dengan laporan RSF termasuk sikap permusuhan terhadap media "yang digalakkan secara terbuka oleh pemimpin politik."

"Kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mengambil langkah untuk memperkukuh demokrasi dan mengembalikan kebebasan kepada media, sebaliknya memilih untuk mengenakan lebih banyak sekatan dengan lulusnya Akta Anti Berita Palsu 2018.

"Walaupun kerajaan menjamin bahawa akta ini tidak akan disalah guna, Geramm tetap melihat ia dengan berhati-hati kerana telah berulang kali terjadi undang-undang sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 digunakan untuk menutup mulut media. Ini berpotensi untuk menyebabkan kedudukan Malaysia dalam indeks RSF semakin merosot pada tahun-tahun hadapan," kata badan itu.

Dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2018, Norway kekal di tangga teratas dengan 7.63 mata manakala Korea Utara kekal di tangga terakhir dari keseluruhan 180 negara dalam laporan itu dengan mengumpul markah sebanyak 88.87.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.