Dua dekad pemberontakan Selatan Thailand berlalu, parut kedukaan tetap ada

Ribuan nyawa terkorban sejak pemberontak mencuri ratusan senjata semasa menyerbu kem tentera.
Mariam Ahmad dan Nontarat Phaicharoen
2024.01.05
Pattani dan Bangkok, Thailand
Dua dekad pemberontakan Selatan Thailand berlalu, parut kedukaan tetap ada Pelajar-pelajar sekolah Thailand melawat Masjid Krue Se di Pattani untuk mempelajari tentang sejarah konflik di wilayah itu, 25 Dis 2018.
(Yostorn Triyos/BenarNews)

Suara Imron Yusoh kedengaran serak ketika beliau bercakap. “Tujuh ahli keluarga saya telah terbunuh dalam keganasan – ditembak atau dibom. Namun, pihak berkuasa masih mengesyaki saya, seolah-olah kami yang paling menderita ini turut terlibat,” kata penduduk wilayah Yala itu kepada BenarNews.

Kisahnya mencerminkan realiti pemberontakan Selatan Thailand selama dua dekad di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di Songkhla di sempadan selatan negara itu. Konflik itu telah meragut ribuan nyawa selain ramai lagi kehilangan tempat tinggal.

Pada 4 Januari 2004, serbuan dan kecurian lebih 400 senjata dari kem tentera Pileng di Narathiwat telah membawa titik perubahan, yang mencetuskan berlakunya peningkatan dalam penempatan pasukan keselamatan. Lebih 75,000 tentera, polis dan pengawal sukarela pergi ke wilayah itu untuk meredakan beberapa siri insiden berikutan serbuan itu.

Selepas serbuan itu, keganasan terus berlaku di Selatan Thailand pada 2004.

Pada 28 April, puak pemisah melancarkan serangan meluas sebelum subuh ke atas 11 pusat pemeriksaan keselamatan dan lokasi kerajaan di wilayah Pattani, Songkhla dan Yala. Laporan awal menyatakan terdapat 108 kematian membabitkan kedua-dua pihak, tetapi pihak berkuasa Thailand kemudian melaporkan bahawa 107 suspek pemberontak dan lima anggota pasukan keselamatan telah terbunuh.

Serangan itu membawa kepada pembunuhan beramai-ramai di Masjid Krue Se yang bersejarah, apabila 32 suspek pemberontak yang bersembunyi di dalam sebuah struktur konkrit kecil telah terbunuh selepas seorang jeneral mengerahkan supaya dilakukan serangan habis-habisan.

Enam bulan kemudian, tujuh orang terbunuh apabila pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di taman permainan berhampiran balai polis bagi menuntut pembebasan enam pengawal keselamatan sukarela yang dituduh membekalkan pemberontak dengan senjata curi yang dikeluarkan kerajaan.

Polis dan tentera kemudian menahan dan menangkap para penunjuk perasaan dengan menyusun 1,370 orang secara meniarap dengan tangan terikat di belakang dalam trak tentera. Pegawai berkata 78 orang mati akibat lemas semasa mereka dibawa ke sebuah kem tentera sejauh 150 kilometer (93.2 batu) di wilayah Pattani.

'Bersandar pada harapan'

Walaupun bilangan pasukan keselamatan telah menurun kepada kira-kira 50,000 orang menjelang 2023, kehadiran tentera terus menjadi punca ketegangan. Bagi Imron dan lain-lain, pengawasan secara berterusan menimbulkan rasa tidak percaya dan menghalang perdamaian.

"Tidak mungkin tahun depan, iaitu ulang tahun ke-21 konflik, akan membawa sebarang penyelesaian," kata Imron. “Penduduk kampung menanggung kesukaran yang berterusan dan sentiasa dicurigai oleh pihak berkuasa. Rundingan damai tidak membuahkan hasil yang ketara, namun saya masih bersandar pada harapan bahawa ia akan berhasil suatu hari nanti.”

Deep South Watch, sebuah pertubuhan bukan meraih keuntungan yang memantau konflik di wilayah sempadan Selatan Thailand, mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa lebih 22,200 insiden keganasan di wilayah itu tercetus pada Januari 2004. Laporan itu juga mendapati 7,540 orang telah terbunuh dan 14,021 lagi cedera sejak dua dekad lalu.

Deep South_2.jpg

Anggota pasukan khas tentera Thailand melakukan rondaan di wilayah Narathiwat beberapa hari selepas berlakunya serbuan di kem tentera Pileng, 7 Jan 2004. [Pornchai Kittiwongsakul/AFP]

Walaupun "Panel Dialog Damai" 2013 dilancarkan, namun keamanan yang berkekalan masih sukar dicapai. Parut yang mendalam dan rasa tidak percaya berterusan telah membelenggui usaha penyatuan dua pihak itu.

"Kesengsaraan rakan-rakan kami yang dicederakan oleh pegawai menyebabkan kami tiada pilihan," kata ahli puak pemisah, Mah (nama keluarga dirahsiakan kerana keselamatannya) kepada BenarNews.

“Kami membalas dendam, tetapi sebelum kami boleh bertindak, takdir campur tangan. Kini, kami hidup dalam ketakutan dan rasa syak wasangka, sentiasa diperhatikan oleh pegawai yang menganggap kami sebagai musuh,” kata Mah.

"Pendekatan ini tidak akan membawa keamanan. Jika boleh, kami tidak akan berada di sini selepas 20 tahun."

Kata-kata Mah itu menunjukkan kekecewaan yang dirasai ramai orang di wilayah itu.

Walaupun dengan pelantikan seorang awam baru-baru ini untuk mengetuai delegasi damai kerajaan dilihat menawarkan secebis harapan, namun laluan menuju usaha damai yang berkekalan masih penuh berliku.

Selepas bertahun-tahun usaha itu diterajui pihak tentera, Perdana Menteri Srettha Thavisin pada November melantik Chatchai Bangchuad, timbalan setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara (NSC), sebagai ketua Panel Dialog Damai.

Ini merupakan kali pertama orang awam diberi peranan mengetuai usaha itu. Langkah itu sejajar dengan cadangan semasa menjelangnya pilihan raya Mei 2023.

Ramai di Selatan Thailand menggesa supaya dikurangkan kehadiran tentera dan sebaliknya, memberi penekanan yang lebih besar terhadap inisiatif yang diterajui orang awam untuk menangani isu rumit yang melanda wilayah tersebut. Pemerintah Wilayah Tentera Keempat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC 4) disebut secara khusus sebagai dilihat berlebihan dan tidak berkesan dalam aspek ini.

Pasukan Chatchai ditugaskan untuk berunding dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), kumpulan pemberontak utama di wilayah itu. BRN, yang terikat dalam konflik beberapa dekad dengan kerajaan Thailand, diwakili oleh satu kumpulan yang diketuai oleh Ustaz Anas Abdulrahman dalam rundingan itu.

Negara jiran, Malaysia, pula bertindak sebagai fasilitator untuk rundingan tersebut.

Pelantikan orang awam untuk mengetuai pihak kerajaan dalam usaha damai itu mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat tentang perlunya pendekatan berbeza dilakukan di wilayah selatan. Walaupun kejayaan jangka panjang masih tidak menentu, anjakan ini menawarkan secebis harapan untuk keamanan.

Namun, pasukan keselamatan di wilayah itu kekal sebagai faktor penting – Perdana Menteri Srettha Thavisin mengekalkan Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) kerana ia penting dan tidak harus dibubarkan.

Draf bajet 2024 "memperuntukkan 6.65 bilion baht (kira-kira US$191.7 juta) untuk rancangan bersepadu di wilayah sempadan selatan," kata Srettha semasa mengumumkan rancangan perbelanjaannya pada 3 Januari. Ini mewakili peningkatan 400 juta baht ($11.5 juta) berbanding 2023 .

Deep South_3.jpg
Rondaan tentera adalah perkara biasa di sepanjang jalan pantai menuju ke daerah Sai Buri di wilayah sempadan Selatan Thailand, 25 Dis 2018. [Yostorn Triyos/BenarNews]

Sementara itu, pada ulang tahun ke-20 kebangkitan semula konflik itu, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak iaitu komander Wilayah Tentera Ke-4 dan pengarah Komando Hadapan Wilayah 4 ISOC, mengulangi bahawa kesiapsiagaan tentera di wilayah itu. Beliau juga menekankan pentingnya identiti dan perpaduan pelbagai budaya Thailand.

"Thailand tidak boleh dibahagikan," kata Santi pada Khamis sempena ulang tahun ke-20 serbuan Pileng. “Kami adalah masyarakat yang pelbagai, dan kaya dengan budaya. Jika keadaan bertambah baik, tanpa keganasan atau senjata, keadaan normal akan kembali.

“Walaupun rantau ini mempunyai penduduk Islam yang besar, isu utamanya ialah mata pencarian, dan kami mengalakkan langkah-langkah bagi komuniti tempatan berkembang maju.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.