Pengarah, pelakon filem kontroversi berkaitan Islam diugut bunuh

Kenderaan milik mereka turut disimbah dengan bahan penghakis dipercayai asid serta cat.
Iskandar Zulkarnain & Haizal Yatiran
2023.03.16
Kuala Lumpur
Pengarah, pelakon filem kontroversi berkaitan Islam diugut bunuh Pihak berkuasa mengawal keadaan semasa demonstrasi solidariti ‘Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh Ahli Politik Sweden" di perkarangan Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur, 27 Januari, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]


Kenderaan milik pengarah dan pelakon sebuah filem yang mencetuskan kontroversi telah menjadi mangsa perbuatan khianat, selain pelaku turut mengancam untuk membunuh mereka, demikian menurut polis Selangor pada Khamis berhubung insiden yang disifatkan oleh penganalisis sebagai satu lagi isyarat bahawa politik berhaluan kanan semakin meningkat.

Kejadian terbaharu tersebut adalah sebagai ancaman yang paling serius setakat ini sejak filem indie, Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani itu mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu, sebelum penayangannya ditarik balik susulan bantahan sekumpulan umat Islam.

“Kejadian berlaku di dua lokasi berasingan iaitu di Kajang dan Ampang melibatkan perbuatan khianat menyimbah cat ke atas kenderaan selain meninggalkan nota ugutan.

“Mangsa membuat laporan polis pada jam 8 pagi dan siasatan awal menunjukkan kejadian dipercayai berlaku di antara jam 3 dan 4 pagi,” ujar Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan kepada BenarNews.

Beliau berkata polis telah membuka kertas siasatan sambil mengesahkan pengadu bagi kedua-dua kes itu terlibat dalam produksi filem Mentega Terbang.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” tambahnya lagi.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial, kereta milik pengadu – sebuah kereta jenis Proton Saga dan Toyota Vios telah disimbah dengan cat.

Turut ditinggalkan di kenderaan itu adalah beberapa keping nota ugutan yang bertulis “Lu dengan family mesti mati”, “Mentega Terbang jangan cabar agama Islam” dan “Islam pasti bangkit #mentegaterbang”.

Politik berhaluan kanan

Dalam reaksi kepada insiden itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengecam sekeras-kerasnya ugutan ke atas pengarah dan pelakon filem berkenan sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan keterlaluan dan bertentangan dengan undang-undang negara.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa... Jangan mengambil tindakan sendiri,” ciap beliau di laman Twitternya.

Dalam satu majlis dengan penggiat hiburan di Kuala Lumpur pada Khamis, Fahmi enggan mengulas mengenai siasatan polis terhadap semua laporan yang dibuat berkaitan filem kontroversi tersebut.

“Isu-isu lain berhubung perkara itu di luar bidang kuasa saya, kita berikan ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan. Saya tidak mahu prejudis terhadap siasatan yang sedang dijalankan,” katanya kepada media.

Sebelum itu, Polis DiRaja Malaysia pada 14 Mac mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa tujuh individu termasuk pengarah serta pelakon filem tersebut telahpun diambil keterangan bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan filem tersebut.

Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar menyifatkan ugutan ke atas produksi Mentega Terbang sebagai isyarat kepada kebangkitan politik berhaluan kanan di Malaysia.

“Biarpun filem itu telah melanggar sempadan sensitiviti, tindakan itu jelas sekali tidak dapat diterima. Sentimen agama digunakan untuk menggerakkan kaum Melayu atas alasan mempertahankan agama dari ancaman nilai-nilai liberal,” ujarnya kepada BenarNews.

Beliau berpandangan apa yang berlaku itu sebagai pertembungan budaya.

“Pada masa yang sama, ada pihak yang menekan norma budaya mereka sebagai pelindung moral. Pertembungan budaya ini adalah bertentangan dengan kebebasan agama yang dijamin oleh hak Perlembagaan.

“Dalam proses ini, ia juga menghalang kebebasan bersuara. Hak untuk memprotes telah disalahfaham sebagai hak untuk menyebarkan kehidupan alternatif,” ujarnya merujuk kepada perarakan LGBT baru-baru ini.

“Apa yang penting adalah untuk kembali kepada pertimbangan akal, namun apabila sentimen mengatasi pemikiran rasional, ia agak mustahil,” katanya.

Cetus kontroversi

Menurut laman data filem IMDB, Mentega Terbang mengisahkan pencarian seorang remaja terhadap apakah yang akan berlaku selepas seseorang itu meninggal dunia.

Media tempatan melaporkan filem Mentega Terbang terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu berhasrat “menyediakan ruang untuk penonton mempersoalkan kepercayaan masing-masing tanpa rasa takut dihakimi atau dibenci.”

Ia telah mula ditayangkan secara ‘underground’ sejak 2021 dan pernah ditayangkan di Festival Filem Jogja-Netpac Indonesia 2021 dan menjadi filem penutup untuk Festival Filem Aceh 2022.

Filem itu mencetuskan kontroversi sejak ditayangkan di platform penstriman selepas tular sedutan babak dalam filem tersebut yang memaparkan isu menyentuh sensitiviti penganut agama di Malaysia.

Dalam filem tersebut, watak bernama Aisyah tanpa berselindung meminta kebenaran untuk memakan daging babi – perbuatan yang haram di sisi Islam, manakala bapanya pula membenarkan Aisyah keluar daripada Islam bagi memeluk agama lain, selain sedutan treler yang memaparkan adegan remaja itu membaca Bible.

Tayangan filem itu telah mencetuskan kemarahan sebahagian umat Islam di negara majoriti Muslim itu dengan ramai mempersoalkan bagaimana ia dibenarkan untuk tontonan umum.

Susulan kecaman itu, pada 27 Feb lalu, pengurusan platform penstiman dalam talian yang menayangkan Mentega Terbang telah mengeluarkan filem itu daripada salurannya.

Sehari kemudian, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebuah parti berhaluan kanan membuat laporan polis terhadap produksi filem itu yang didakwa “boleh memesong dan mencabar akidah umat Islam.”
Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif, Ketua Penerangan Putra mendesak polis untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mengesahkan sekiranya terdapat unsur-unsur bertentangan agama dalam filem tersebut.

Shahrulufti turut meminta Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan filem sambil menyifatkannya “satu provokasi terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.”

Siasat produksi Mentega Terbang

Pada 5 Mac lalu, Fahmi dilaporkan sebagai berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap produksi filem tersebut.

Pada 6 Mac, Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan ke atas produksi Mentega Terbang susulan laporan polis yang mendakwa filem itu mencetuskan provokasi agama.

Dengan itu, 42 individu dan kumpulan hak asasi telah menggesa kerajaan untuk tidak mengambil tindakan menekan penerbit filem dan penggiat seni dalam berkarya.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu menegaskan: “Kami percaya penyelesaian jangka panjang tidak sepatutnya melibatkan mengetatkan tapisan, mengambil tindakan keras ataupun membenarkan penasihat agama untuk menentukan apa yang boleh diterima dan tidak boleh diterima dalam kandungan kreatif.

Antara pihak yang menandatangani kenyataan itu adalah Amnesty International Malaysia, Centre for Independent Journalism, Persatuan Peguam Wanita, Freedom Film Network serta beberapa penggiat seni dan ahli akademik tempatan.

Bagaimanapun, seorang penulis tempatan Zabidi Mohamed membidas kenyataan kumpulan itu.
Zabidi menegaskan semua kandungan kreatif, termasuk filem, yang melibatkan isu agama tidak boleh mengenepikan nasihat dari pakar agama”.

“Bagi saya, statement tu bodoh lah. Katakan kalau saya nak buat filem perang, takkan saya nak minta nasihat penjual burger di tepi jalan?” ujarnya dalam satu program wacana bertajuk “Mentega Terbang: Blasphemy Dalam Filem Indie” di sebuah universiti tempatan baru-baru ini, yang turut dikongsikan di akaun Facebooknya.

Dalam satu posting dimuatnaik pada Khamis, Zabidi berkata “Menonton Mentega Terbang sama seperti Al Quran dipijak-pijak di depan mata. Kita tidak boleh diam atau mengambil sikap ‘play safe’”.

Terdahulu, pengarah dan penulis skrip filem itu, Mohd Khairi mewakili produksi Mentega Terbang telah mengemukakan notis tuntutan terhadap Zabidi atas dakwaan menfitnah, melalui peguam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.