Malaysia Kritik Kastam AS Keluar Notis Sita Produk Minyak Sawit Syarikat Tempatan
2022.01.31
Kuala Lumpur

Seorang menteri Malaysia pada Isnin mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana mengeluarkan notis berhubung penggunaan buruh paksa dalam produk keluaran syarikat konglomerat minyak sawit Sime Darby dengan menyifatkan tuduhan pihak berkuasa AS itu dibuat secara tidak berasas dan terburu-buru.
Dalam pada itu, sehari selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) menyatakan yang pihak berkuasa berkenaan akan menyita semua produk Sime Darby di kesemua pelabuhannya, agensi berkenaan telah mengeluarkan larangan import terhadap satu lagi syarikat mengeluarkan produk sarung tangan getah dari Malaysia yang didakwa terbabit dalam penggunaan buruh paksa.
Susulan perkembangan terbaru itu, Menteri Sumber Manusia Malaysia berkata bahawa kementerian berkenaan akan memanggil semua syarikat yang telah disekat Washington sejak 2019 manakala Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula berpendapat tindakan agensi AS terhadap Sime Darby Plantation (SDP) sebagai terburu-buru dan tidak berasas.
"Saya berpandangan yang tindakan CBP ini adalah terburu-buru dan tidak berasas memandangkan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada Amerika Syarikat dalam masa yang terdekat.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi berkaitan di Amerika Syarikat, agar penyelesaian segera dapat dicapai.
“Selain itu, Kementerian turut akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra (Kementerian Luar Negara) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," kata menterinya Zuraida Kamaruddin pada Isnin.
M Saravanan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Sumber Manusia pada Ahad memaklumkan tujuan mengadakan pertemuan dengan pemain industri yang terlibat dalam sekatan agensi AS itu adalah untuk membincangkan tindakan segera yang boleh diambil dalam menyelesaikan dakwaan amalan buruh paksa.
"Saya komited untuk menangani isu ini segera bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan amalan buruh paksa. Semua syarikat yang dikenakan sekatan eksport ini perlu memperbaiki amalan dalaman mereka dan tindakan keras akan diambil terhadap syarikat yang masih ingkar," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jumaat lepas, Washington mengumumkan bahawa AS akan merampas produk minyak sawit dan berkaitannya hasil keluaran SDP selepas siasatan oleh pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan negara itu menemui terdapatnya penggunaan buruh paksa dalam produk keluaran konglomerat pengeluar minyak sawit terbesar berkenaan.
CBP mendakwa bahawa siasatan mendapati SDP dan anak-anak syarikatnya telah menggunakan khidmat buruh paksa di ladang-ladang Sime Darby di Malaysia untuk memetik buah sawit, yang mana kemudiannya digunakan untuk menghasilkan minyak sawit serta produk lain yang berasaskan buah berkenaan.
Susulan daripada itu, Sime Darby Plantation dalam satu kenyataan telah meluahkan rasa terkilan mereka atas tindakan diambil AS, terutama sekali kerana syarikat berkenaan telah melantik penasihat bebas mengenai etika perdagangan bagi menjalankan kerja-kerja penilaian di semua fasiliti SDP di Malaysia, dan ia dijangka akan menerbitkan laporan penilaian bebas dalam masa terdekat.
Zuraida pada Isnin pula memberitahu yang industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian yang ketat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk melawan apa yang disifatkannya sebagai propaganda Barat yang mahu menjatuhkan industri minyak sawit Malaysia.
"Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan yang lain.
"Selain itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara kita," kata menteri tersebut.
Syarikat keenam dikenakan WRO
Sementara itu, CBP juga telah mengeluarkan satu arahan sekatan import terhadap produk keluaran syarikat YTY Industry Holdings Sdn Bhd (Kumpulan YTY), termasuk tiga anak syarikat dan syarikat berkaitannya iaitu YTY Industry Sdn Bhd, Green Prospect Sdn Bhd dan GP Lumut.
Dalam kenyataannya, CBP menyatakan bahawa tindakan tersebut diambil berdasarkan maklumat yang menunjukkan penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat Kumpulan YTY.
"Berkuatkuasa pada hari ini, pegawai dan pakar import CBP di semua pelabuhan dan pintu masuk AS akan menahan sarung tangan pakai buang dikeluarkan di Malaysia oleh Kumpulan YTY, termasuk YTY Industry Sdn Bhd, Green Prospect Sdn Bhd dan GP Lumut.
"CBP mengeluarkan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) terhadap Kumpulan YTY berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan adanya penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatan Kumpulan YTY," kata kenyataan media yang dimuatnaik ke laman web CBP.
Menurut pihak berkuasa itu, CBP mendakwa ia telah mengenalpasti tujuh indikator mengenai amalan buruh paksa dalam siasatannya, termasuk penyimpanan dokumen pengenalan diri pekerja, penipuan, intimidasi dan ugutan, ikatan hutang, serta keadaan tempat kerja dan penginapan yang mendera.
Saravanan pada Ahad juga memberitahu yang arahan telah dikeluarkan supaya satu siasatan segera dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia serta Jabatan Tenaga kerja.
"Saya akan memanggil semua syarikat yang telah dikenakan sitaan dan sekatan eksport oleh AS CBP bersama-sama dengan syarikat WRP Asia Pacific Sdn. Bhd serta Top Glove Corporation Bhd, yang mana sekatan terhadap syarikat ini telah ditarik balik bagi membincangkan tindakan segera yang boleh diambil untuk mengatasi isu ini.
"Malah, pendekatan yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua syarikat ini juga boleh digunakan sebagai panduan dan penambahbaikan untuk syarikat lain," kata beliau lagi dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Andy Hall, seorang aktivis bebas berhubung hak-hak pekerja asing, memberitahu BenarNews bahawa beliau percaya tindakan CBP terhadap banyak syarikat Malaysia akan mempunyai impak negatif jangka panjang terhadap negara.
"Tindakan diambil CBP terhadap begitu banyak syarikat Malaysia pastinya akan mempunyai kesan jangka panjang dan impak negatif ekonomi yang berpanjangan, serta impak terhadap reputasi ekonomi Malaysia," kata beliau dalam satu pesanan teks.
Kumpulan YTY adalah yang syarikat keenam di Malaysia yang telah dikenakan WRO oleh AS setakat ini atas dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa dalam rantaian operasi mereka.
Tindakan WRO paling baru diambil AS adalah pada 4 November 2021, apabila CBP mengenakan sekatan import terhadap syarikat sarung tangan getah dari Malaysia, Smart Glove yang berpangkalan di Selangor susulan terdapatnya maklumat adanya elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.
Pada Oktober tahun yang sama (2021), CBP telah mengenakan perintah sekatan ke atas satu lagi syarikat sarung tangan getah dari Malaysia, Supermax Corporation Sdn Bhd dan tiga lagi anak syarikatnya termasuk Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd telah dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, atas kesalahan serupa.