MH17: Mahathir Sokong Rusia Berbanding Penyiasat Malaysia
2019.06.20
Putrajaya, Malaysia
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis mahukan bukti yang lebih kukuh sebelum menuduh Rusia bertanggungjawab menembak jatuh Penerbangan 17 Malaysia Airlines, dengan menolak hasil siasatan para penyiasat antarabangsa termasuk seorang dari negaranya sendiri.
Mahathir berkata sejak awal lagi, siasatan itu berat sebelah dalam usaha untuk menentukan bagaimana 298 penumpang dan anak kapal terbunuh di ruang udara Ukraine dalam kejadian lima tahun lalu. Pada Rabu, para penyiasat mengumumkan bahawa tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine akan dibicarakan bagi pertuduhan membunuh kerana mempunyai peranan dalam menembak jatuh pesawat itu dengan peluru berpandu buatan Rusia.
"Kita rasa tidak gembira kerana sejak awal lagi, ia menjadi isu politik tentang bagaimana Rusia dituduh melakukan kesalahan. Malah, sebelum pun mereka menyiasatnya, mereka sudah pun menuduh Rusia, dan sekarang mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti," kata Mahathir pada Khamis. "Jadi, sangat sukar bagi kita untuk menerimanya.
"Kami mahu bukti pembabitan Rusia. Tetapi, setakat ini tiada bukti, hanya cakap-cakap sahaja," katanya kepada pemberita di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.
Pada Rabu, Peguam Cara Malaysia Hanafiah Zakaria memberitahu wartawan di Belanda bahawa keputusan untuk megemukakan pertuduhan itu dibuat berdasarkan penyiasatan dan penyelidikan perundangan yang menyeluruh.
Hanafiah adalah antara anggota Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang turut diwakili anggota dari Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine.
"Objektif JIT adalah untuk menyelesaikan siasatan, mengumpulkan bukti atau menemu bual saksi untuk tujuan mendakwa pihak yang melakukan kesalahan," katanya. "Pendirian Malaysia adalah berpegang kepada undang-undang dan proses yang sewajarnya. Jadi, kami bersama-sama dengan JIT dalam hasil penemuan ini. "
Pada sidang berita yang sama, pendakwa raya Belanda Fred Westerbeke berkata siasatan itu menemukan pembabitan Rusia dalam menembak jatuh pesawat Malaysia itu.
MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Rusia merampas wilayah Ukraine di Semenanjung Crimea itu pada 2014 dan dikatakan menyokong kumpulan pemisah di negara itu.
Westerbeke berkata para penyiasat mendapati kerajaan Rusia telah membekalkan peluru berpandu BUK Telar yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.
"Kami mempunyai semua bahan yang boleh membuktikannya," katanya. "Ini juga bermakna, jika anda imbau kembali, anda dapati bahawa selepas 17 Julai 2014, Persekutuan Rusia tidak mendedahkan apa-apa pun tentang apa yang berlaku. Ia adalah suatu tamparan bagi semua keluarga mangsa dan mereka yang kehilangan orang tersayang.”
JIT mengumumkan bahawa empat suspek - Igor Girkin, bekas kolonel dengan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, yang bekerja untuk Perkhidmatan Perisikan Ketenteraan Rusia; dan Leonid Kharchenko, bekas komandan tentera Ukraine, akan didakwa dengan pertuduhan membunuh dan perbicaraan itu akan diadakan pada Mac 2020 di Belanda.
Kesemua mereka mungkin akan dibicarakan tanpa kehadiran kerana Rusia dan Ukraine dijangka tidak akan mengekstradisi suspek-supek tersebut.
Kenyataan Kementerian Luar Negeri
Malaysia mengeksport minyak sawit ke Rusia, dan Mahathir pernah meminta Putin untuk membantu negaranya pada November 2018 dalam menyenggara pesawat-pesawat Malaysia buatan Rusia, menurut laporan media.
Empat bulan sebelum itu, menteri pertahanan Malaysia mengumumkan bahawa hanya empat daripada 28 jet pejuang buatan Rusia, yang terdapat dalam armada tentera udaranya, yang boleh digunakan.
Ditanya sama ada pendiriannya terhadap JIT adalah kerana hubungan Malaysia dengan Rusia, Mahathir berkata, "Tidak, tidak, itu perkara berbeza," lapor The Star.
Sebelum Mahathir mengulas perkara itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia telah mengeluarkan kenyataan ringkas bahawa ia tetap "komited kepada proses JIT" sambil menambah, "kesimpulan mestilah berasaskan bukti, dan bukannya bermotifkan politik."
Balu juruterbang MH17 Ahmad Hakimi Hanapi menganggap kenyataan Mahathir sebagai "melukakan hatinya."
"Sebenarnya, ia amat melukakan hati apabila mendengarnya membuat kenyataan seperti itu. Tugas yang dilakukan dalam menjalankan siasatan itu adalah sangat besar. Anda tidak boleh bayangkan betapa terperincinya tugas itu," kata Asmaa Aljuned kepada BeritaBenar pada Khamis.
"Anda tidak tahu jumlah data yang perlu mereka teliti ... ia mengambil masa lima tahun untuk melakukannya," kata beliau. "Saya sangat menghormati dan menghargai JIT."
Keraguan tentang penyiasatan
Mahathir pernah menyuarakan keraguan tentang siasatan MH17 pada Mei lalu semasa berada di Kelab Wartawan Asing Jepun di Tokyo.
"Kita tahu peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu adalah sejenis peluru berpandu Rusia, tetapi ia juga boleh dihasilkan di Ukraine," kata Mahathir pada masa itu, menurut agensi berita nasional Malaysia, Bernama. "Anda memerlukan bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa ia dilancarkan oleh orang Rusia."
Kerajaan Rusia bersetuju dengan kebimbangan Mahathir, semasa ia menyangkal hasil siasatan JIT.
"Siapa yang membenarkan penerbangan di ruang udara zon tentera? Adakah Rusia? Tidak. Di mana jet-jet pejuang itu? " kata Presiden Rusia Vladimir Putin kepada pemberita pada Khamis, menurut laporan Agence France-Presse.
"Terdapat banyak persoalan di situ. Tetapi ia tidak dijawab. Mereka hanya pilih sekali itu sahaja dan terus memilih pihak yang bersalah. Pendekatan penyiasatan sedemikian adalah tidak sesuai dengan kami," kata Putin, yang mengulangi kenyataan Mahathir.
Kementerian Luar Negeri Rusia berkata kerajaan Rusia telah memberikan bukti bahawa peluru berpandu itu dimiliki Ukraine dan klip-klip video yang menyokong kesimpulan JIT telah dipalsukan.
"Selain itu, Rusia telah mencadangkan untuk bekerja bersama-sama dari awal lagi. Sebaliknya, penyiasat antarabangsa mengecualikan Rusia daripada penyertaan penuh dalam JIT, dengan memberikan hanya peranan kecil kepada Rusia," kata kementerian itu dalam kenyataan yang diperolehi BeritaBenar.