Malaysia Komited Selesai Misteri Kehilangan MH370

Fahirul N. Ramli
2016.03.08
Kuala Lumpur
160308-my-mh370-620 Poster yang memaparkan gambar anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370 semasa majlis berdoa di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor, 8 Mac 2016.
AFP

Malaysia berkata, negara itu komited untuk mencari dan menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370, walaupun sudah dua tahun berlalu, dengan pakar mendakwa 'pencarian paling mencabar dalam industri penerbangan' akan menemui pesawat itu dalam tempoh empat bulan akan datang.

Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia komited untuk menyelesaikan misteri kehilangan di kawasan perairan yang dikategorikan paling ganas di dunia yang mempunyai kedalaman hingga enam kilometer termasuk banjaran gunung dalam laut dan arus terpantas di dunia, walaupun operasinya dijangka tamat hujung tahun ini.

"Operasi mencari dijangka siap pada akhir tahun ini, dan kami tetap berharap MH370 akan ditemui di kawasan 120,000 kilometer persegi di kawasan pencarian,” katanya dalam kenyataan sempena dua tahun kehilangan MH370 yang disiarkan di laman blog beliau, pada Selasa.

"Sekiranya tiada sebarang penemuan, Malaysia, Australia dan China akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan langkah seterusnya," tambah beliau.

Pada 8 March dua tahun lepas, pesawat Boeing 777-200ER, MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua orang bayi, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kita meratapi kehilangan 239 orang, termasuk 50 warga Malaysia yang berada di dalam pesawat itu. Dalam hari-hari yang sukar ini, ingatan dan doa kami bersama keluarga yang kehilangan mereka," tambah Najib.

Sementara itu, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan yang mengetuai operasi mencari berkata, pesawat itu "kemungkinan besar" akan ditemui dalam tempoh empat bulan akan datang, kerana usaha mencari telah memasuki fasa terakhir.

"Kami telah meliputi hampir tiga suku daripada kawasan pencarian, dan di sebabkan operasi tidak menemui pesawat di kawasan berkenaan, ia sekaligus meningkatkan kemungkinan bahawa pesawat itu boleh berada di kawasan yang belum diterokai," kata Dolan, dipetik oleh The Guardian.

Dua tahun lalu, selepas 17 hari pesawat itu hilang, dengan operasi mencari dan menyelamat dijalankan di Laut China Selatan dan Selat Melaka, kerajaan Malaysia pada 24 Mac membuat pengumuman bahawa penerbangan MH370 berakhir dengan tragis di selatan Lautan Hindi.

Pada Julai lepas, serpihan daripada pesawat Boeing 777-200ER ditemui di Pulau La Reunion, sebuah pulau milik Perancis, yang sekaligus membawa kepada pengumuman oleh Perdana Menteri Najib bahawa ia milik MH370 pada 6 Ogos .

Beberapa serpihan lain juga ditemui di Thailand sejak Januari lepas manakala sebahagian daripada objek dipercayai dari pesawat Boeing 777 dilaporkan dijumpai berdekatan pantai Mozambique serta terbaru dijumpai di Pulau Reunion, yang turut dikaitkan dengan pesawat MH370, beberapa hari lepas.

Usaha mengesan pesawat itu masih diteruskan sehingga ke hari ini.

‘Fail saman’

Pada hari mengingati tahun kedua kehilangannya, beberapa tindakan undang-undang telah difailkan terhadap MAS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Beijing manakala keluarga mangsa warga Amerika Syarikat memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Boeing di Chicago, di mana syarikat pengeluar pesawat itu beribu pejabat.

"Keluarga terlibat menuntut ganti rugi kerana kehilangan nyawa orang tersayang dan kecederaan psikiatri traumatik, kejutan saraf serta stres pasca trauma yang dialami keluarga," kata peguam Messrs Thomas Philip, yang mewakili kumpulan 44 keluarga penumpang yang memfailkan tindakan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap MAS, Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Allianz Global Corporate and Speciality.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pada Selasa, tuntutan mengenai kecuaian dan melanggar kontrak oleh MAS difailkan oleh kesemua waris yang terdiri daripada 42 warga China dan dua warga Amerika Syarikat, pada 4 Mac lalu.

Keluarga Philip Wood pula telah mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Boeing, yang dipercayai sebagai kes pertama difailkan di Amerika Syarikat terhadap pengeluar pesawat yang hilang itu, minggu lalu, lapor Agence France-Presse (AFP).

AFP turut melaporkan 12 keluarga penumpang China memfailkan tindakan yang sama di Mahkamah Beijing.

Sementara itu, ahli keluarga dan waris mangsa MH370, yang sebahagian besar masih berhadapan dengan trauma kehilangan dan berperang dengan emosi dan psikologi, kekal kukuh dengan pendirian mereka yang mahu usaha mencari perlu diteruskan.

Pada Ahad lepas, sebahagian daripada keluarga mangsa mengadakan pertemuan di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur yang menggesa “Siasatan semula, nilaian semula dan carian semula” pesawat dibuat.

Seorang ahli perniagaan Malaysia, Calvin Shim, yang isterinya Christine Tan, pramugari pesawat MH370, memberitahu BeritaBenar, pada mulanya dia menyangka perhimpunan yang dianjurkan adalah sia-sia.

"Kemudian, pada majlis itu saya menyedari bahawa masih terdapat orang yang mengambil berat walaupun tidak ramai. Ramai yang cenderung untuk melupakan, tetapi saya perlu mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas semua usaha yang mereka lakukan, walaupun berdepan dengan kesedihan pada masa yang sama, terutamanya mereka yang datang dari China dan India.

"Ia adalah keadaan yang kompleks melibatkan emosi yang kita semua perlu melalui. Ada kalanya amat sukar dan tidak dapat berbicara dengan kata-kata. Bagi saya, saya hanya mengatakan bahawa perlu menghadapi, walaupun kesan daripada kejadian itu akan melanda secara tiba-tiba," katanya semasa ditemui BeritaBenar.

Sementara itu, pasukan penyiasatan bebas yang menyiasat kehilangan pesawat MH370 tidak mengeluarkan maklumat faktual mengenai insiden itu pada ulang tahun keduanya seperti dilakukan tahun lepas.

Ketua pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia, Kok Soo Chon berkata hanya penyata interim dikeluarkan pada

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.