Pencarian MH370 Digantung Hujung Tahun
2016.07.22
Malaysia, Australia dan China pada Jumaat bersetuju untuk menggantung pencarian pesawat MH370 di perairan Lautan Hindi hujung tahun ini jika masih gagal menemui sebarang tanda kedudukan pesawat itu di kawasan pencarian seluas 120,000 km persegi, sambil memaklumkan penggantungan itu bukannya bermakna pencarian berkenaan akan ditamatkan.
Keputusan itu diambil semasa Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri berhubung isu MH370 yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai; Menteri Pengangkutan China, Yang Chuan Tang dan Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester di Putrajaya pada Jumaat.
"Ketiga-tiga menteri bersetuju bahawa sekiranya pesawat tidak ditemui di kawasan pencarian sekarang, dan sekiranya tidak terdapat bukti baru yang berwibawa dalam mengenal pasti lokasi pesawat, pencarian tidak akan dihentikan, tetapi digantung dahulu sehingga usaha mencari selesai dilakukan di kawasan seluas 120,000 km persegi," katanya ketika membacakan kenyataan bersama tiga muka surat pada sidang media selepas mengadakan pertemuan berkenaan.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Tiong Lai berkata, tinggal kurang 10,000 km persegi sahaja lagi kawasan pencarian yang belum diliputi sambil para menteri mengaku bahawa segala usaha telah dilakukan oleh semua pihak yang terlibat tetapi harapan untuk menjumpai pesawat berkenaan semakin tipis.
“Usaha mencari MH370 tidak pernah diabaikan dan penggantungan ini “tidak bererti usaha mencari ditamatkan,” sekiranya terhadap maklumat baru dalam mengesan lokasi pesawat, satu pertimbangan akan dibuat tentang langkah yang bakal diambil seterusnya,
“Kami semua sudah bersepakat untuk tidak mengabaikan usaha mencari pesawat MH370,” kata Tiong Lai.
Jun lalu, mesyuarat khas mengenai MH370 yang melibatkan ketiga-tiga negara turut diadakan dalam usaha membincangkan tindakan seterusnya untuk mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.
Pada mesyuarat berkenaan, maklum balas dari pakar penerbangan, kajian terhadap beberapa penemuan serpihan selain perbincangan mengenai hala tuju masa depan operasi pencarian MH370 turut diadakan.
Sementara itu, Efi Jasmi, yang kehilangan dua rakannya, adik beradik Dina dan Maria Ramli, berkata, adalah malang sekali pencarian itu akan dihentikan.
"Kami tahu ia bukan mudah, dan kami pasti mereka cuba lakukan yang terbaik. Kami amat merindui rakan-rakan kami dan kami pasti mereka berada di tempat yang lebih baik. Mudah-mudahan lebih banyak petunjuk akan muncul supaya ia boleh diselesaikan dan kita mendapat ketenangan, "katanya kepada BeritaBenar..
Ibu kepada Dina dan Maria, Biby Nazli Hashim serta ibu saudara mereka Noorida berada di dalam pesawat itu.
‘Kawasan salah’
Kerajaan Malaysia pada Mei lepas mengesahkan dua serpihan yang ditemui masing-masing di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Mauritius, hampir pasti milik penerbangan MH370 tetapi sehingga kini bangkai pesawat tersebut masih tidak dijumpai.
Reuters dalam laporannya dua hari lalu memetik Paul Kennedy, Pengarah Projek Fugro, syarikat Belanda yang mengetuai misi pencarian pesawat itu, mengakui selama ini mereka mencari pesawat berkenaan di kawasan yang salah di perairan tersebut.
Sekumpulan jurutera Fugro percaya pesawat MH370 mungkin meluncur dan bukannya menjunam semasa saat-saat akhir tragedi berkenaan, menurut laporan Reuters itu.
“Jika (MH370) tiada di situ (Lautan Hindi) bermakna pesawat itu berada di tempat lain,” kata Kennedy.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sebab pesawat itu gagal ditemui di zon pencarian sambil memaklumkan bahawa pasukannya berpendirian bahawa pesawat itu mungkin telah meluncur turun.
Menurutnya, pesawat malang itu mungkin masih dikawal oleh seseorang ketika saat-saat akhir dan berada di luar kawasan yang ditanda mengikut pengiraan dari imej satelit.
“Jika MH370 dikawal, berkemungkinan pesawat tersebut meluncur lebih jauh lagi. Secara logik pesawat itu berada lebih jauh dari zon pencarian,” katanya.
Keraguan yang timbul tentang sama ada pasukan itu mencari di kawasan yang betul atau tidak akan mewujudkan gesaan agar kesemua data tentang misi itu didedahkan kepada umum bagi membolehkan pakar akademik dan syarikat pesaing meneruskannya dengan penyelesaian melalui ‘sumber terbuka’.
Hipotesis Fugro bahawa pesawat itu telah meluncur menyokong teori yang sering dipertikaikan bahawa seseorang telah mengawal pesawat tersebut pada saat-saat akhir kejadian.
Menurut Kennedy, juruterbang yang mahir akan meluncurkan pesawat itu kira-kira 193 kilometer dari altitud penerbangannya selepas kehabisan minyak. Bagaimanapun, seorang juruterbang memberitahu Reuters, jarak berkenaan mungkin kurang daripada itu.
Pencarian pesawat berkenaan telah menelan belanja hampir AS$135 juta yang melibatkan operasi pencarian di dasar laut yang menjangkau 120,000 km persegi di Lautan Hindi.