Rakyat Malaysia bangga kejayaan Michelle Yeoh rangkul Oscar

Aktres tersebut melakar sejarah apabila menjadi wanita Malaysia dan Asia pertama dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara berprestij Oscar itu.
Ray Sherman & Ili Shazwani
2023.03.13
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia bangga kejayaan Michelle Yeoh rangkul Oscar Michelle Yeoh dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi wataknya dalam filem “Everything Everywhere All at Once” pada acara Anugerah Akademi edisi ke-95 (Oscars) di Dolby Theatre di Los Angeles, Amerika Syarikat, March 12, 2023.
[Mario Anzuoni/Reuters]

Di saat seorang lagi bekas Perdana Menteri Malaysia berdepan dengan kemungkinan sabitan kesalahan rasuah, rakyat negara ini meraikan kegembiraan yang dibawa oleh pelakon Hollywood, Michelle Yeoh.

Pelakon wanita berusia 60 tahun tersebut telah berjaya memenangi Anugerah Akademi (Oscar) kategori Pelakon Wanita Terbaik pada acara berprestij edisi ke-95 itu yang berlangsung di Dolby Theatre di Los Angeles pada malam Ahad.

Beliau melakarkan sejarah sekaligus mengharumkan nama negara apabila menjadi pelakon Malaysia dan Asia yang pertama memperoleh pencapaian tersebut.

Anugerah itu dirangkul oleh Yeoh menerusi lakonannya dalam filem "Everything Everywhere All at Once", di mana beliau memainkan watak imigran Cina-Amerika, Evelyn Quan, yang secara tidak rela terjebak di dalam siri pengembaraan yang memerlukannya berhubung dengan versi dirinya yang berbeza di alam semesta lain dalam usaha menghentikan tindakan individu yang berniat membahayakan alam-alam tersebut.

Selain dari anugerah pelakon wanita terbaik, filem itu yang juga dikenali dengan nama singkatan EEAAO telah mengondol enam lagi anugerah pada acara tersebut termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Daniel Kwan dan Daniel Scheinert), Suntingan Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan juga Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik (Ke Huy Quan dan Jamie Lee Curtis).

Dalam ucapan penerimaan beliau, Yeoh yang kelihatan beremosi mendedikasikan anugerah tersebut yang disifatkan sebagai tunjang harapan dan segala kemungkinan bagi "semua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kelihatan seperti beliau".

“Ini membuktikan angan-angan, mimpi yang besar dan impian mampu menjadi kenyataan. Dan kepada kaum hawa, jangan pernah biarkan sesiapa beritahu anda bahawa anda sudah terlambat untuk menggapai zaman ulung. Jangan sesekali berputus asa.”

Selain daripada para pengarah dan rakan artis, Yeoh turut menzahirkan penghargaan beliau kepada ibunya yang berusia 84-tahun, Janet Yeoh.

“Saya ingin mendedikasikan ini kepada ibu saya, kepada semua ibu di dunia ini kerana merekalah adiwira sebenar dan tanpa mereka, tiada seorang pun antara kita akan berada di sini pada malam ini.

“Beliau (ibu saya) berusia 84 tahun dan saya akan membawa pulang ini kepadanya. Beliau sedang menonton (acara ini) bersama keluarga dan rakan saya di Malaysia. Saya sayang kalian,” katanya.

Di Malaysia, ibu Yeoh ditemani oleh Menteri Belia dan Sukan negara itu Hannah Yeoh, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri serta ahli keluarga dan rakan-rakan aktres tersebut di Majlis The Pride of Malaysia Exclusive Viewing Party Oscar 2023.

Michelle Yeoh turut menyampaikan ‘tribute’ pada “keluarga besarnya” di Hong Kong, di mana beliau memulakan kerjayanya.

MY-Janet-Yeoh.jpg

Janet Yeoh (tengah kanan), ibu kepada pelakon Michelle Yeoh, meraikan kemenangan Anugerah Akademi anak perempuannya, di Kuala Lumpur, 13 Mac 2023. [Arif Kartono/AFP]

Dibanjiri Ucapan Tahniah

Rakyat Malaysia tidak membuang masa untuk meraikan kejayaan Yeoh merangkul anugerah tersebut, momen kebanggaan buat semua, sebuah berita yang mungkin membawa harapan kepada semua setelah disajikan dengan berita politik dan rasuah yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah pada Yeoh kerana melakarkan sejarah dan membanggakan rakyat Malaysia.

“Dengan mencipta sejarah menjadi bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga warga Asia pertama yang memenangi kategori itu, kita sangat berbangga akan pencapaian beliau, ditambah pula dengan senarai panjang kejayaan sepanjang kerjaya lakonannya selama berpuluh tahun.

“Beserta dengan pencapaian terkininya, kejayaan Michelle dalam bidang ini sudah pasti akan menjadi sumber inspirasi dan ‘motivate’ yang besar buat pelakon tanah air kita selain memberikan impak besar kepada perkembangan industri tempatan. Teruskan usaha, Michelle!” ciap Anwar di Twitter.

Netizen turut mencelah, bertanyakan kepada Perdana Menteri sekiranya kejayaan Yeoh merupakan sebab yang kukuh untuk mendapat cuti umum.

Pengguna akaun Twitter Xuansoo berkata Michelle Yeoh layak menerima anugerah tersebut kerana usaha kerasnya.

“Beliau memang layak, beliau telah berkecimpung dalam bidang seni perfileman selama 40 tahun. Beliau memenangi anugerah ini pada usia 60 tahun dan kami semua amat bangga dengannya,” ciap Xuansoo.

Nancy, yang menemani orang tua Yeoh ketika majlis tonton khas itu menulis di akaun Facebooknya: "Kasih seorang ibu tiada batasnya. Saya menyaksikan saat Janet Yeoh mendengar anaknya diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi pagi ini. Saat-saat yang sangat menyentuh perasaan,”

“Tahniah Tan Sri Michelle Yeoh! Terima kasih kerana menjadi inspirasi kepada kami semua dan terima kasih juga kerana mengingatkan kami semua agar tidak membiarkan sesiapa mengatakan yang kami telah melepasi zaman ulung kami,”

Sementara itu, ikon badminton Malaysia Lee Chong Wei berkata aktress itu telah mencipta sejarah tersendiri dalam industri seni dengan memenangi anugerah tersebut.

Michelle Yeoh, bekas ratu cantik, memulakan kerjayanya di Hong Kong pada tahun 1990, sebelum menjadi bintang antarabangsa.

Sepanjang tempoh tiga dekad kerjayanya, beliau telah membintangi beberapa ‘blockbuster’ termasuk filem Bond Tomorrow Never Dies (1997), Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000), dan sebagai pelakon pembantu dalam filem komedi romantic The Crazy Rich Asians (2018).

Beliau turut merangkul beberapa pencalonan dan anugerah termasuk Pelakon Terbaik dalam “Motion Picture – Muzikal atau Komedi di Golden Globes, Pelakon Wanita Terbaik (dan juga Pelakon Terbaik di Motion Picture) serta Lakonan Terbaik pada Anugerah Independent Spirit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.