Rempuhan Di Mina, Tiada Jemaah Malaysia Terlibat

Staf BeritaBenar
2015.09.24
150924-MY-SEA-STAMPEDE620 Anggota-anggota Pasukan Kecemasan dan Jemaah Haji Arab Saudi berdiri berdekatan mayat-mayat yang diselubungi kertas, selepas beratus-ratus orang terbunuh atau cedera dalam rempuhan di Mina, dekat kota suci Makkah. 24 September 2015.
AFP

Rempuhan Di Mina, Tiada Jemaah Malaysia Terlibat

Tiada jemaah dari Malaysia terlibat dalam kejadian rempuhan manusia di kawasan perkhemahan Mina, di pinggir kota suci Makkah, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Khamis.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia, agensi pengendali jemaah Malaysia berkata, pemeriksaan di semua tujuh maktab Muassasah Tabung Haji serta maktab pakej swasta yang dikelolakan oleh 15 syarikat jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn Bhd mendapati semua jemaah haji Malaysia disahkan selamat.

"Tiada jemaah Malaysia terbabit. Semua pasukan unit peronda Tabung Haji juga telah membuat pemantauan sejak awal lagi (sebelum kejadian itu berlaku) bagi memastikan keadaan dan masa yang sesuai untuk jemaah haji memasuki kawasan untuk melakukan ibadat melontar itu," katanya dalam kenyataan itu.

Asyraf Wajdi berkata, insiden berlakunya rempuhan itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) antara Jalan 204 dan 223 di Mina, dan bukannya di Kompleks Jamrat (kompleks melontar) seperti yang diviralkan dalam media sosial.

“Jalan 204 dan 223 ini merupakan kawasan perkhemahan yang menempatkan jemaah haji negara Arab. Lokasi kejadian adalah terletak jauh daripada kawasan Jamrat,” kata Asyraf Wajdi.

Menurutnya, jemaah Malaysia dijadualkan mula ke Jamrah Kubra pada 5.30 petang dan 8 malam untuk ibadat melontar.

"Jemaah Malaysia tidak akan melalui kawasan perkhemahan atau tempat berlakunya insiden rempuhan itu. Laluan jemaah Malaysia adalah bersama jemaah-jemaah dari Indonesia dan Turki.

"Berdasarkan maklumat unit peronda Tabung Haji, jemaah dari Turki telah pun selesai melakukan ibadat melontar di Jamrah Kubra hari ini," katanya.

22,000 Jemaah dari Malaysia

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci umat Islam itu bagi melaksanakan ibadat haji.

Mina ialah antara kawasan wajib dalam rukun ibadah haji umat Islam dengan jemaah mesti melontar di tiga jamrah - Kubra, Wusta dan Sughra - sebagai simbolik merejam syaitan,  selepas bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah malam tadi.

Jemaah haji akan terus berada di Mina sehingga 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau dikenali sebagai Hari Tasyriq. Terdapat lebih daripada 160,000 khemah jemaah haji disediakan di  Mina untuk menempatkan jutaan jemaah sepanjang ibadah haji itu.

Pada 11 Sept lalu, seramai 109 jemaah haji dari pelbagai negara maut dalam insiden tren tumbang di kawasan Masjidilharam di Makkah.  Selain itu, seramai 238 lagi  cedera.

Sementara itu, pihak Pertahanan Awam Arab Saudi berkata sehingga kini, seramai 717 orang dari pelbagai negara maut dalam insiden rempuhan itu.

Sambil menjangkakan angka korban terus meningkat, Pertahanan Awam Arab Saudi juga berkata seramai 863 jemaah lagi cedera dalam tragedi itu dan  mereka dihantar ke empat buah hospital di sekitar Mina untuk mendapatkan rawatan.

Menurut saluran televisyen Al-Arabiya News pada Khamis, Ketua Jawatankuasa Haji Pusat Arab Saudi Putera Khaled Al-Faisal menyalahkan "sesetengah jemaah dari pelbagai negara Afrika" yang menyebabkan rempuhan itu berlaku.

Ia melaporkan bahawa kejadian itu dipercayai berlaku apabila sekumpulan besar jemaah dari negara Afrika berada di kawasan menuju ke kawasan melontar bukan pada waktu yang sepatutnya.

"Jalan 204 adalah jalan utama dari  kawasan khemah ke Jambatan Jamrat.  Apa yang berlaku ialah sekumpulan jemaah dibenarkan turun dari bas untuk ke jalan-jalan menuju ke Jambatan Jamrat pada masa yang tidak diperuntukkan kepada mereka.

"Akibatnya,  mereka telah berkumpul dengan kumpulan jemaah sedia ada di kawasan itu yang menyebabkan berlakunya lebihan kapasiti di kawasan berkenaan," lapor Al Arabiya News.

Berikutan insiden itu, Putera Mahkota Arab Saudi Nayef bin Mohammed telah mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk mencari punca mengapa prosedur dan protokol yang ditetapkan tidak dipatuhi hingga menyebabkan rempuhan berlaku.

Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi berkata  kira-kira 4,000 anggota  kecemasan dan pasukan Palang Merah dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu membawa jemaah ke laluan yang lebih selamat dari kawasan rempuhan.

Pada 2006, lebih 360 jemaah terbunuh dalam rempuhan manusia di Mina.

Sehari sebelum musim Haji 2006 bermula, sebuah bangunan lapan tingkat yang dijadikan asrama berhampiran Masjidilharam di Makkah runtuh  dan meragut 73 nyawa.

Dua tahun sebelum itu, seramai 244  jemaah terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera dalam satu kejadian rempuhan di Mina.

Pada tahun 2001,  kejadian rempuhan di Mina membunuh 35 orang.

Tragedi yang paling buruk dalam sejarah haji ialah pada 1990 apabila seramai 1,426 jemaah terbunuh dalam sebuah terowong pejalan kaki menuju ke Makkah apabila berlakunya kejadian rempuhan di situ.

Dalam pada itu,  Perdana Menteri Najib Razak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden rempuhan itu.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Sedih terima berita tragedi di Mina. Takziah kepada keluarga mangsa. InsyaAllah mereka dimasukkan di kalangan syuhada.

"Setakat ini tiada laporan kematian membabitkan jemaah haji Malaysia," katanya," catat Najib dalam laman Twitternya malam Khamis.

Beliau turut meminta jemaah haji Malaysia agar mengikut arahan dan peraturan yang telah ditentukan oleh TH agar urusan haji berjalan dengan sempurna dan selamat.

Menurutnya TH akan mengambil tindakan segera mengesahkan status jemaah haji Malaysia dan melaporkan kepada beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.