Polis Malaysia Siasat Insiden Maut Antara Pengawal Pantai, Bot Vietnam
2020.08.17
Kuala Lumpur & Washington
Anggota pengawal pantai Malaysia menembak mati seorang awak-awak Vietnam semasa pertembungan ganas dengan bot nelayan yang memasang bendera negara itu yang disyaki menceroboh perairan Malaysia di Laut China Selatan, kata pihak berkuasa pada Isnin.
Kejadian itu berlaku kira-kira 81 batu nautika (150 km) dari Tok Bali, sebuah jeti di utara negeri Kelantan, pada lewat Ahad ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang melakukan rondaan dan memantau kapal-kapal nelayan dari Vietnam dan negara-negara lain yang cuba menceroboh masuk ke perairan Malaysia.
Ketua APMM Mohd Zubil Mat Som berkata Bot Penyelamat 7 agensi itu sedang menghampiri dua bot nelayan Vietnam untuk melakukan pemeriksaan apabila ia dirempuh dan diserang dengan bom diesel dan benda keras termasuk batang besi, bongkah kayu dan spanar.
"(Anggota kami) tidak punya pilihan dalam usaha mempertahankan diri, nyawa mereka, dan (bot) melainkan menggunakan senjata mereka ke arah bot nelayan itu," katanya, sambil menambah bahawa rempuhan bot nelayan itu menyebabkan bahagian depan kanan bot APMM remuk selain tingkap kacanya pecah.
Beliau memberitahu bahawa para pegawai berkenaan mematuhi peraturan pertembungan dengan melepaskan tembakan amaran, tetapi mendakwa, amaran itu tidak diendahkan. APMM akan memulakan siasatan mengenai kejadian itu.
"APMM mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat sebarang kesalahan di bawah undang-undang Malaysia di zon maritim Malaysia," katanya.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat memberitahu BeritaBenar bahawa mayat mangsa telah dihantar ke sebuah hospital di bandar Pasir Puteh untuk proses bedah siasat.
"Seramai 18 nelayan lagi dibawa ke darat oleh APMM untuk siasatan lanjut," katanya.
Di Hanoi, jurucakap Le Thi Thu Hang berkata Kementerian Luar Negeri Vietnam "amat bimbang" dengan kejadian tersebut dan mahu pihak Malaysia "mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang menyebabkan kematian nelayan Vietnam itu."
Kedutaan Vietnam di Malaysia akan mengatur pertemuan konsulat dengan nelayan-neayan yang ditahan itu, katanya kepada wartawan di Hanoi, menurut Tuoi Tre News.
“Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri bekerjasama dengan agensi-agensi domestik untuk mengenal pasti identiti nelayan berkenaan dan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang kes tersebut bagi menyiasat sebarang salah laku, mengambil langkah-langkah untuk melindungi warganegara, dan melindungi hak-hak undang-undang dan kepentingan nelayan Vietnam,” katanya.
Penyiasat menemui bom diesel dalam satu daripada bot Vietnam yang terlibat dengan pertembungan dengan pengawal pantai Malaysia di Laut China Selatan, 17 Ogos 2020. [Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]
Ratusan ditahan
Dalam kejadian berasingan, APMM Sarawak, sebuah negeri di Borneo Malaysia, mengumumkan pada Ahad bahawa pihaknya telah menahan 20 nelayan Vietnam yang menaiki dua bot di perairan wilayahnya di 225 batu nautika utara Tanjong Po dekat Kuching semasa melakukan Operasi Naga Timur.
"Pemeriksaan ke atas bot pertama menemui seramai 17 individu termasuk tekong manakala di dalam bot kedua terdapat tiga individu termasuk tekong sedang melakukan penangkapan hasil laut secara haram," kata pengarah maritime Sarawak Robert Teh Geok Chuan semasa mengumumkan penangkapan itu pada minggu lepas.
Agensi itu merampas 40 tan ikan, sebanyak 13,000 liter diesel dan dua bot berkenaan. Ia menganggarkan nilai rampasan sebanyak RM2.5 juta (AS$596,000).
Operasi Kuda Laut, yang dilancarkan pada 24 Jun, sehingga kini telah menahan 487 awak-awak Vietnam dari 43 bot. Operasi Naga Timur, yang dimulakan pada April 2019, pula menahan 1,411 awak-awak dari 135 bot nelayan asing. Pegawai tidak memberitahu negara asal mereka.
Ramli Dollah, penganalisis keselamatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata sesetengah pihak di Vietnam beranggapan bahawa mereka berhak menangkap ikan di seluruh Laut China Selatan.
"Vietnam menganggap kawasan ini sebagai milik mereka kerana ia merupakan antara negara yang menuntut pulau-pulau di Laut China Selatan," kata Ramli kepada BeritaBenar.
Menurutnya faktor lain seperti industri perikanan Vietnam yang berkembang pesat selain sumber laut yang banyak di Laut China Selatan adalah antara punca berlakunya pencerobohan itu.
"Laut China Selatan adalah satu daripada zon penangkapan ikan yang besar di Asia terutamanya untuk tuna sirip biru dan spesies laut yang lain," katanya. "Berikutan adanya permintaan tinggi ikan dalam pasaran global, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Vietnam menjadi satu daripada pengeksport utama dunia."
Sementara itu, penganalisis pertahanan Abdul Rahmat Omar yang juga kapten bersara Tentera Darat Malaysia, berkata kes merempuh bot bukanlah perkara biasa.
"Tetapi, dahulu pernah berlaku kejadian di mana kapal-kapal Vietnam memasang tali agar enjin kapal peronda kami tersangkut. Ada juga kejadian di mana mereka merempuh bot-bot peronda Indonesia semasa menceroboh masuk sehingga ke kepulauan Natuna,” katanya kepada BeritaBenar.